suria

Hanya fikir nak cari duit selepas dibuang kerja, gadis ini cabar diri jadi pemandu kontena... Lega bapa bagi sokongan penuh

Amira menjadikan pemandu lori kontena sebagai kerjaya.

BADANNYA genit, namun siapa sangka gadis ini mampu mengendalikan sebuah treler yang cukup besar.

Sebesar itu juga semangat gadis manis berusia 26 tahun itu ketika dia cuba menembusi bidang yang dipelopori lelaki.

Tetap berpewatakan feminin, Amira Fatihah Khairudin berkata dia sudah memandu kenderaan berat sejak lebih dua tahun lalu.

Mesra disapa Amira, dia menjadi pemandu lori sejak berusia 23 tahun selepas kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.

"Saya diberhentikan kerja atas sebab syarikat tak mampu beroperasi. Ketika itu saya bekerja sebagai penjual dan juruwang di premis bebas cukai.

"Masa tu, saya cuma fikir mana nak cari duit untuk teruskan hidup. Saya tiada pilihan, dan saya selesaikan untuk mendapatkan lesen memandu (kenderaan berat) sejak sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

"Waktu PKP, kenderaan tak banyak dan saya cuma nampak lori atas jalan. Apa lagi saya boleh buat? Saya cuba jadi pemandu lori. Alhamdulillah, ada yang nak ambil saya bekerja meskipun saya kecil orangnya," katanya kepada mStar.

Amira selesa membawa kenderaan berat.

Amira memiliki lesen memandu kenderaan berat iaitu Lesen Vokasional untuk kenderaan barangan (GDL) atau Lesen Memandu Kelas E; merangkumi kenderaan seperti lori treler, lori tangki dan lori kontena.

Anak kelahiran Selangor itu mengakui segelintir pihak cuba mempertikaikan kemampuannya mengendalikan kenderaan berat itu, apatah lagi menjadikannya sebagai sumber rezeki.

Kerja la apapun, jangan kita memilih.

AMIRA FATIHAH KHAIRUDIN

Malah, dia sebenarnya berupaya mengendalikan treler panjang dan berat dengan gaya bersahaja.

"Ada yang cakap betul ke perempuan boleh bawa? Betul ke dia bawa ikut keselamatan? Betul ke atas jalan dia bawa tak terburu-buru.

"Kalau tak boleh buat, susah nak hadap... ada orang kata tak berbaloi. Saya boleh buat benda ni, tak salah saya teruskan yang boleh menampung kehidupan saya," ujarnya yang mendapat sokongan dan galakan daripada bapanya.

Amira (kiri) bersama sepupu, Fatima Zahara Nor Azman.

Berkongsi pengalaman, Amira pernah membawa lori kontena sepanjang 40 kaki untuk menghantar tayar kereta ke Johor Bahru dan dua kereta Proton X70 sepanjang 20 kaki dari Pelabuhan Klang ke gudang.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua gadis enjoy jadi pemandu, kelindan! Selalu karaoke dalam perjalanan hantar barang, akui belum cukup gagah buka pintu kontena

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu posmen, kini pemandu lori kontena... pemuda akui realiti kerjanya susah nak balik rumah, siap pesan “kalau lori masuk simpang tolonglah mengalah!”

Menjadikan kerjaya pemandu lori sebagai sumber rezeki, katanya, pendapatannya boleh mencecah sehingga RM5,000 sebulan, bergantung kepada jenis kenderaan yang dikendalikan.

"Kerja la apapun, jangan kita memilih. Selagi boleh menyara hidup saya, pada saya tiada masalah. Macam saya jadi pemandu lori berdasarkan apa yang terlintas di mata dan fikiran saya," tambahnya.

Amira mahu mengumpul kekayaan dan mencuba nasib dalam perniagaan.

Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu lagi, dia kini lebih fokus dalam kehidupannya berbanding sebelum ini.

"Saya lebih fokus dengan apa jua yang saya lakukan sekarang kerana cara kerja yang berbeza. Kerja sekarang lagi mencabar dan memerlukan lebih tumpuan.

"Sekarang saya lebih cergas selain berdaya tahan kerana suasana kerja yang sentiasa berhujan dan berpanas," katanya.

Ditanya mengenai impiannya, kata Amira, dia mahu mengumpul kekayaan demi kesenangan di waktu persaraan.

"Jika ada rezeki, saya juga mahu mengusahakan bisnes, sebahagian daripada usaha saya untuk mengumpul duit sebanyak yang boleh, Insya-Allah," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain