PERBEZAAN bangsa dan agama bukan penghalang untuk masyarakat hidup harmoni dan bersatu-padu. Buktinya, seorang pemuda berbangsa Cina dilihat segak memakai baju Melayu warna kelabu lengkap bersama samping ke sebuah perpustakaan, baru-baru ini. Namun apa yang pelik apabila dia kerap memegang sampingnya yang hampir terlucut. Menerusi satu video yang dikongsikan seorang wanita di TikTok, pelajar Cina itu kemudian didekati seorang pemuda Melayu dan membantunya untuk memakai samping. Menurut Linda Ensil, dia merakamkan kejadian yang berlaku di Perpustakaan Al-Zarqali di Kolej Matrikulasi Selangor di Banting, Selangor, pada pagi Jumaat. Pemuda ini melihat pemakaian samping seorang pelajar Cina. Dia yang bertugas sebagai pembantu pustakawan itu bertanyakan kepada pelajar Cina berkenaan mengapa dia memegang sampingnya dan pemuda itu memberitahu tidak tahu mengikatnya dengan kemas. “Perbualan kami kemudian didengari seorang pelajar Melayu yang turut berbaju Melayu warna hijau beserta samping. Pemuda Melayu itu datang dan tolong ikatkan samping dia. “Setelah selesai, saya tanya pelajar Cina itu adakah pemuda Melayu merupakan rakannya. Rupanya mereka berdua tidak kenal antara satu sama lain pun,” katanya kepada mStar. Berkhidmat di perpustakaan di Kolej Matrikulasi Selangor selama 11 tahun, Linda memaklumkan bahawa kedua-dua pelajar tersebut berusia sekitar 18 tahun. ARTIKEL BERKAITAN: Gadis Melayu risau sari terlondeh depan orang ramai, nasib baik 3 wanita India tolong betulkan... Terus bersiap depan LRT Masjid Jamek ARTIKEL BERKAITAN: Tauke Cina kongsi rezeki untuk manfaat orang lain tak kira agama! NGO tukar 4 tayar cuma bayar separuh harga, kadang bagi free Malah wanita berusia 42 tahun itu berkata, pelajar Cina itu sering kali dilihat berkunjung ke perpustakaan, sambil menambah bukan pertama kali pemuda berkenaan memakai baju Melayu. “Dia memang rajin datang ke perpustakaan dan selalu bercakap dengan saya termasuk staf lain. Saya juga pernah nampak dia berpakaian baju Melayu sebelum ini. “Beberapa kali nampak, tapi dia pakai baju Melayu tanpa samping. Hari ini je dia pakai samping,” katanya yang berasal dari Kuala Penyu, Sabah. Reaksi seorang pemuda selepas membantu mengikat samping pelajar Cina. Menurut Linda, pelajar Cina itu disifatkannya sebagai seorang yang baik budi pekerti, rajin dan sentiasa ceria. Ternyata kebaikan dan hubungan antara dua pemuda berlainan bangsa yang tidak mengenali antara satu sama lain itu membuatkannya berasa kagum dan terharu. Kita perlu belajar menerima perbezaan baik daripada segi kepercayaan, bangsa, agama dan asal usul. LINDA ENSIL “Pelajar Melayu itu selalu nampak di perpustakaan... dia juga sweet dan sangat baik. Selesai je tolong pakai samping, pelajar Cina itu mengucapkan terima kasih. “Apabila saya tahu kedua-dua mereka bukan rakan dan tidak mengenali, saya beritahu kepada pelajar Cina itu yang dia patut berkawan dengan budak Melayu dan dia bersetuju. Memuat naik rakaman tersebut di TikTok, Linda menjelaskan bahawa perkongsian itu untuk mempromosikan keamanan dan keharmonian. Pelajar Cina terharu dibantu mengikat sampingnya. Baginya, sikap yang ditunjukkan antara kedua-dua pelajar Melayu dan Cina itu wajar dicontohi masyarakat pelbagai bangsa dan agama di negara ini. “Ini terutamanya anak-anak muda. Kita perlu belajar menerima perbezaan baik daripada segi kepercayaan, bangsa, agama dan asal usul kita. “Malaysia pernah menjadi negara yang hebat tanpa perkauman dan ketaksuban, mari kita menjadikan Malaysia kembali hebat,” katanya. Sementara itu, di ruangan komen menerusi perkongsian Linda di laman sosial turut meraih perhatian dan pujian netizen. “Kisah yang bagus. “Terbaik. Semangat perpaduan dan kebangsaan,” komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube