suria

Hanya ingat mati! Gadis sempat mengucap sebelum pengsan... Serangan anxiety selepas sejam terperangkap dalam lif tambah parah

Ieslah pengsan selepas hampir sejam terperangkap di dalam lif di kediamannya.

MALANG tidak berbau.

Seorang gadis dikenali sebagai Ieslah, 25, berdepan detik cemas apabila lif dinaikinya di sebuah apartment rosak secara tiba-tiba pada Selasa.

Lif kediaman Ieslah di Subang Jaya, Selangor itu terhenti di tingkat dua, menyebabkan dia terperangkap seorang diri di dalamnya selama hampir satu jam.

1

Ieslah berdepan kejadian cemas ketika menaiki lif di kediamannya.

"Ini detik paling menakutkan. Saya memang ada ketakutan untuk naik lif sejak kecil. Tak sangka perkara yang paling saya takut tu la yang terjadi.

"Ceritanya saya nak pergi kerja. Saya turun lif macam biasa. Tiba-tiba ia bergegar dan terus tersekat di tingkat dua. Saya menggigil dan panik," ujarnya mengimbas kembali kejadian itu.

Ketika terperangkap di dalam lif, Ieslah sempat memaklumkan kejadian itu kepada keluarga sebelum dia membuat panggilan kecemasan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Saya dah siap mengucap dan saya standby handbag dekat kepala, sekiranya saya jatuh.

IESLAH

Namun kata Ieslah, dia juga terkena serangan panik ketika menunggu untuk diselamatkan sehingga ditemukan pengsan dan terpaksa dibawa ke klinik untuk menerima rawatan.

"Perkara pertama saya buat, saya hubungi mama dan papa... kemudian hubungi bomba. Tu pun kejap ada line, kejap tiada. Dalam kepala, saya fikir bukan-bukan, takut platform lif jatuh.

"Saya dah siap mengucap dan saya standby handbag dekat kepala, sekiranya saya jatuh. Selepas hampir sejam, saya dah pengsan dan dibawa ke klinik. Saya kurang oksigen di dalam lif dan sangat terkejut," ceritanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pintu lif terbuka, anak terus menangis... Ibu cepat-cepat tutup, terkejut sampai ke aras kosong - “Tak tahu apa yang dia nampak”

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai teruja tengok kondo ada lif ‘private’, buka pintu terus masuk rumah... Sesuai untuk antisosial dan introvert, tak perlu jumpa jiran

Menurut Ieslah, dia lega berjaya diselamatkan dalam kejadian itu meskipun akhirnya didiagnos menghidap anxiety selepas menerima rawatan.

"Lepas dah dapat rawatan saya dah tenang. Alhamdulillah. Petangnya saya dah dibawa balik rumah. Tapi trauma sampai hari ni. Nak pandang lif dekat mall pun tak boleh.

"Sebelum ini saya menolak untuk percaya saya ada anxiety. Tapi saya tahu ada 'benda' tu sebab tangan selalu shaky bila saya takut," ujarnya.

Menerusi video tular yang meraih lebih 100,000 tontonan di TikTok, Ieslah dilihat sedang menangis ketika dia terperangkap di dalam lif berkenaan.

2

Ieslah dibantu keluarganya selepas lif berjaya dibuka.

Sementara menunggu ketibaan bomba, bapanya juga cuba membuka pintu lif namun ia tidak berhasil.

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen menzahirkan rasa simpati atas kejadian menimpa Ieslah dan turut menyuarakan fobia yang sama.

"Saya pernah naik lif hospital. Macam lif usang. Ia stuck, gelap. Sejak itu saya fobia. Tapi dah bertahun berlalu, saya dah boleh atasi ketakutan itu.

"Saya pernah alami juga. Pertama kali kena serangan panik. Tunggu maintenance sampai 40 minit. Sampai rumah, tak mampu nak buka grill sebab panic attack tak habis lagi.

"Adik saya trauma naik lif sebab pernah tersangkut," kongsi beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain