PEMPENGARUH media sosial Zhiddin Aziz akhirnya mampu menghela nafas lega selepas dia berjaya menamatkan pengajian di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Menerusi majlis graduasi yang berlangsung di ibu negara minggu lalu, Zhiddin turut menerima tiga anugerah, sekali gus menjadi penutup cemerlang buatnya untuk tahun 2023. Menurut graduan bidang Penulisan Kreatif dan Filem berusia 21 tahun itu, kejayaan berkenaan tidak datang dengan bergolek, sebaliknya banyak pengorbanan yang dilaluinya sepanjang bergelar siswa. Zhiddin merupakan anak kepada personaliti televisyen, Allahyarham Aziz Desa. "Saya baru sahaja menamatkan pengajian diploma di Aswara. Saya menerima Anugerah Graduan Cemerlang Akademik, Anugerah Graduan Terbaik dan Canon Top Achiever Award 2023. "Perasaan tu rasa berbaloi sangat dengan penat lelah selama ini. Contohnya sepanjang pengajian, saya buat kerja sambilan sebagai wartawan sementara di Radio Televisyen Malaysia (RTM), jadi pengacara televisyen dan jadi pengacara majlis-majlis rasmi. "Saya juga buat kelas pembangunan belia untuk kemahiran bercakap. Saya buat semua kerja itu untuk bayar yuran. Akhirnya, saya dapat tiga anugerah dan menang wang tunai hampir RM6,000," ujarnya kepada mStar. Kesedihan tempoh hari bukan sebab tak dapat anugerah, namun saya sedih diperlakukan sedemikian rupa. ZHIDDIN AZIZ Menurut Zhiddin, dia dan ibunya berangkat ke Indonesia pada Rabu bagi meraikan kejayaan itu, malah dia juga ada rencana yang lebih besar sempena kunjungannya ke negara jiran. "Selepas keluar dewan konvo, saya terus ajak mak pergi Jakarta. Pukul 4 petang Rabu kami bertolak ke sana. Saya belanja mak ke sana selama lima hari. "Saya juga memilih Jakarta sebab merancang untuk menyambung pengajian di Institut Kesenian Jakarta (IKJ)," ujar Zhiddin yang juga anak kepada personaliti televisyen, Allahyarham Aziz Desa. ARTIKEL BERKAITAN: Anak arwah Aziz Desa terkilan dah tempah baju ribuan ringgit tapi anugerah batal saat akhir ARTIKEL BERKAITAN: Anak arwah Aziz Desa tunjuk bukti dihubungi penganjur APBN, siap minta gambar HD... Disuruh ikut garis panduan foto pemenang anugerah Perkongsian Zhiddin tentang pencapaiannya itu turut menjadi perhatian netizen, lebih-lebih lagi dia baru sahaja dihimpit kontroversi apabila mendakwa kemenangannya di Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2023 digugurkan pada saat akhir. Menurut Zhiddin, dia yakin rezeki yang memihak kepadanya kali ini adalah berkat doa ibunya serta rakyat Malaysia yang banyak memberikan sokongan sejak isu itu tular. "Berkat doa netizen selepas isu panas. Ramai yang doakan kejayaan dan masa depan saya. Mak saya juga doakan saya ketika APBN tempoh hari, rupanya Allah nak makbulkan dan beri lebih lagi. Zhiddin rancang untuk sambung pengajian ke Indonesia. "Kesedihan tempoh hari bukan sebab tak dapat anugerah. Namun saya sedih sebab diperlakukan sedemikian rupa. Sebenarnya kalau daripada awal mereka maklumkan dan minta maaf, saya dah okey. Tak perlu dipanjangkan. "Namun waktu itu semua tak boleh jawab. Saya tiada medium, sebab itu saya hasilkan video. Tapi semuanya dah terubat selepas pertemuan saya dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim," dedahnya lagi. Untuk rekod, Zhiddin yang aktif memperjuangkan bahasa Melayu di media sosial mempunyai lebih 800,000 pengikut di TiKTok dan 172,000 pengikut di laman Instagram. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube