SALAH satu perkara yang membentuk tingkah laku serta keperibadian seseorang adalah latar belakang keluarga. Pasti ada dalam kalangan kita yang pernah 'berburuk sangka' atau menghakimi seseorang berdasarkan tingkah lakunya, tanpa mengetahui situasi yang dilalui oleh individu tersebut. Begitu juga dengan kisah yang dikongsikan seorang wanita ini, yang mengaku pernah bersangka buruk dengan dua rakannya ketika masih menuntut di sekolah rendah dahulu. "Masa sekolah rendah dulu, saya ada seorang kawan yang sangat suka ke hadapan, masuk pertandingan syarahan, bercerita, berpidato. Saya sampai pelik... yakinnya 'minah' ni. "Tapi sampai satu masa, tiba-tiba saya perasan perubahan mendadak pada diri dia. Daripada seorang yang ceria dan yakin, tiba-tiba dia berubah menjadi seorang yang sangat pendiam. Mendiamkan diri daripada join pertandingan di sekolah. "Akhirnya saya dapat tahu, rupanya dia dah kehilangan mak ayah. Sebelum itu dia anak yatim, kemudian dia jadi yatim piatu. Saya tak menjiwai apa yang dia rasa itu dan saya tinggalkan persoalan tersebut," kongsinya. Situasi yang paling perit bagi seorang anak adalah menghadapi kematian ibu atau bapanya. -Gambar hiasan Dia turut membuat perbandingan dengan satu lagi situasi di mana seorang rakannya yang lain yang membesar dalam keluarga bercerai-berai. "Kawan saya yang ini mempunyai personaliti yang sangat kasar luar dan dalam. Dia perempuan tapi setiap yang dia buat adalah kasar. Dia tak pandai menyantuni orang dan sebagainya. "Saya macam judge.... kenapalah dia ni ganas sangat. Kadang-kadang saya pun tak boleh 'masuk' dengan dia," ceritanya lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita buat 2 set bekal, bagi duit belanja lebih... Rupanya kirim satu untuk kawan sekolah anak - “Ibu dia dah meninggal dunia” ARTIKEL BERKAITAN: Dari kecil perhati bapa, ibu saudara mewah makan harta anak yatim, wanita dapat kembali hak nilai jutaan ringgit selepas upah peguam Tambah wanita ini, semua pandangan dan persepsinya terhadap dua rakannya itu mula berubah selepas dia sendiri merasai pengalaman yang sama. "Saya betul-betul memahami keadaan mereka apabila saya diuji dengan kehilangan mak dan ayah. Saya kehilangan ayah dahulu waktu tingkatan tiga dan masa saya masuk asasi, saya kehilangan mak pula. "Waktu itu baru saya tahu tinggi rendah langit ini. Kenapa saya cakap macam tu? Sebab sebenarnya hanya mak ayah kita saja yang kisah pasal kehidupan kita. "Walaupun ada pakcik dan makcik, tapi yang betul-betul sayangkan kita adalah mak ayah kita saja. Walaupun garang dan kuat bebel sekalipun, tapi merekalah manusia yang ikhlas mendidik dan besarkan kita," kongsinya lagi. Waktu itu baru saya tahu tinggi rendah langit ini. Kenapa saya cakap macam tu? Sebab sebenarnya hanya mak ayah kita saja yang kisah pasal kehidupan kita. PELAYAR TIKTOK Menurut wanita berkenaan, dia sekadar berkongsi pengalamannya di media sosial kerana mungkin terdapat segelintir individu yang pernah mempunyai persepsi negatif sama seperti dia dahulu. "Saya saja share dekat sini supaya ramai lagi boleh faham betapa peritnya seorang anak yang kehilangan mak ayah atau tengok mak ayah dia bercerai. Tak mudah untuk anak-anak lalui benda ni," tulisnya pada keterangan video yang dimuat naik di laman TikTok. Hanya mereka yang melalui kehilangan insan tersayang sahaja yang tahu betapa sukarnya meneruskan kehidupan. -Gambar hiasan Perkongsian wanita berkenaan mengundang perhatian warga maya yang rata-ratanya turut tersentuh malah berterima kasih kerana membuka mata ramai agar tidak sesekali menghakimi seseorang tanpa mengetahui kisah atau latar belakangnya. Sebagai info tambahan, umat Islam sememangnya dianjurkan untuk menyantuni anak yatim malah Rasulullah SAW sendiri memberi jaminan bahawa pahala menyantuni anak yatim adalah standing dengan pahala orang yang berjihad. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube