suria

Anak curi rakam gelagat ibu ketika dicium, pemuda senyum meleret sepanjang naik motor ke tempat kerja... Ramai sangka kakak!

Tangkap layar video Aliff menghantar ibu ke tempat kerja.

MERAKAM momen bersama ahli keluarga sudah menjadi satu kebiasaan, begitu juga dengan seorang pemuda yang membuat rakaman ketika menghantar ibunya ke tempat kerja.

Video menunjukkan aksi dua beranak itu menjadi perhatian apabila rakaman dibuat secara bersembunyi dari bakul motosikal tetapi disedari oleh si ibu.

“Hari ni saya hantar ibu pergi kerja. Saya ingat dia tak nampak saya rakam, rupa-rupanya dia nampak. Saya tak berhenti senyum sepanjang perjalanan pergi kerja tadi,” tulisnya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial.

Pemuda berkenaan, Mohammad Aliff Farhan Mohd Asri berkata, kebiasaannya tugas menghantar ibu ke tempat kerja di Cheras, Kuala Lumpur dilakukan oleh bapanya.

Namun hari itu, ibunya yang bekerja dalam bidang peruncitan di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam, Selangor ditugaskan ke Cheras dan dia diminta menghantar wanita itu.

“Saya tak hantar mak setiap hari, selalunya ayah yang hantar. Sejujurnya, saya tak ada niat apa pun. Rakam momen bersama mak sekadar suka suka je.

“Lepas baca komen-komen, ada yang rindu mak sebab ibu mereka dah tak ada (meninggal dunia),” katanya yang mesra disapa Aliff kepada mStar.

Aliff dan ibu sering meluangkan masa bersama.

Selain komen rindu netizen, Aliff yang berusia 24 tahun itu turut menyedari ramai yang menyangka ibunya, Musalmah Mohamad, adalah kakaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini korbankan kerja dan impian demi jaga ibu sakit di kampung, tapi bapa pergi dulu selepas buat 3 permintaan - “Terakhir ayah minta tidur sebelah mak”

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi bebelan ibu, yang ada cuma ‘sakit rindu’! Anak beli bunga, tulis 1,000 kad untuk wanita-wanita di mall

Menurut Aliff, ibunya kini berusia hampir separuh abad dan sangkaan orang ramai itu mungkin disebabkan wajah wanita itu kelihatan muda.

“Saya tak nafikan, kadang memang nampak macam setiap kali saya berjalan sebelah dengan mak. Saya sendiri keliru ni mak saya atau kakak,” ujarnya secara berseloroh.

Aliff mengakui bahawa ibunya sering disangka sebagai kakaknya.

Anak kelahiran Selangor itu memberitahu, sebelum ini mereka sekeluarga pernah berniaga nasi lemak bermula pada 2012 dan ketika itu dia masih bersekolah.

“Disebabkan saya bersekolah pada sesi petang, mak minta saya jaga dan jual nasi lemak di sebelah pagi. Mak bangun awal pagi untuk masak dan ayah akan bungkuskan.

Rakamlah detik bersama mak dan bahagiakan mak. Rindu bila kehilangan orang tersayang tu tiada ubat.

MOHAMMAD ALIFF FARHAN MOHD ASRI

“Lepas dah siap set up meja niaga, ayah dan mak pergi ke tempat kerja masing masing. Jika dah habis jualan, saya akan akan sorong peralatan niaga dengan troli.

“Sepanjang tempoh berniaga ni memang selalu pelanggan akan ingat mak ni kakak saya,” katanya sambil menambah mereka berniaga nasi lemak sehingga 2020 selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Ibu banyak memberi sokongan kepada Aliff.

Menyifatkan ibunya mempunyai personaliti yang ceria dan peramah, Aliff yang bekerja di bahagian pentadbiran berkata, ibunya juga lemah-lembut tetapi tegas.

“Mak seorang yang supportive. Kalau ada masalah, kita boleh cerita dengan dia dan dia akan tenangkan kita. Mak juga seorang pendengar yang baik,” tambahnya.

Menurut Aliff, ibunya berperwatakan lemah-lembut tetapi tegas.

Mengenai video yang merakamkan momen bersama ibu sehingga meraih hampir sejuta tontonan di TikTok, anak ketiga daripada lima beradik itu mengakui tersenyum sepanjang perjalanan ke tempat kerja di Shah Alam.

“Selepas saya hantar mak, saya singgah makan untuk sarapan. Saya lihat balik video tu, tengok reaksi mak sangat comel. Ya, sepanjang perjalanan tu saya tak berhenti senyum.

“Menerusi perkongsian video ni, saya cuma nak berpesan kepada orang yang masih mempunyai insan yang bergelar ibu, hargailah mereka ketika masih ada.

“Kita tak akan tahu bila mak kita akan pergi. Rakamlah detik bersama mak dan bahagiakan mak. Rindu bila kehilangan orang tersayang tu tiada ubat,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain