suria

Bapa kecewa murid buat ‘pickup line’ jadi ‘content’ penceramah, haramkan guna wajah anak untuk ‘marketing’

Tangkap layar video yang tular membabitkan pelajar-pelajar ketika membuat 'pickup line' -Gambar hiasan

NAMPAKNYA budaya ‘pickup line’ semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar, sehingga dijadikan sebagai sebahagian aktiviti di sekolah.

Mungkin kedengaran kelakar seperti mana penggunaannya dalam drama komedi atau ayat santai untuk mengurat, tetapi ia menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir ibu bapa.

Seorang bapa meluahkan kekecewaannya menerusi satu surat terbuka selepas mendakwa anaknya ‘digunakan’ dalam video yang dikongsi di media sosial oleh pihak penganjur yang merupakan perunding pendidikan.

“Saya salah seorang ibu bapa yang anaknya sudah digunakan dalam video content dan marketing pihak berkenaan berasa sangat kecewa dengan tindakan yang kalian telah lakukan.

“Anak-anak kami bukan bakat percuma yang kalian boleh perdagangkan secara percuma untuk digunakan sebagai alat atau bahan marketing. Sudah pasti pihak sekolah telah membayar kalian untuk program-program tersebut,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Perunding pendidikan itu tampil menjelaskan pihaknya amat menitikberatkan dalam melahirkan insan yang berani tampil ke hadapan.

Bapa berkenaan turut mempersoalkan sama ada pihak penganjur yang juga merupakan penceramah di sekolah itu telah mendapat keizinan ibu bapa untuk menggunakan anak-anak mereka sebagai bahan pemasaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh ‘pickup line’ di sekolah, perunding nafi abai adab! Pelajar sangat bagus, aksi spontan sebab teruja

ARTIKEL BERKAITAN: Murid lelaki nampak miang, melompat-lompat bagi ‘pickup line’ untuk ustazah! Ramai risau pelajar hilang adab, bergurau tak bertempat

“Adakah kalian telah meminta izin pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa untuk menggunakan wajah-wajah mereka sebagai bahan marketing kalian?

“Saya sebagai ibu bapa tidak mengizinkan bahkan mengharamkan kalian menggunakan wajah anak saya!” katanya dengan nada tegas.

Malah katanya lagi, pengisian jenaka ‘pickup line’ seharusnya wajar dihentikan kerana berpandangan tiada sebarang keperluan untuk terus melakukan aktiviti sedemikian.

“Nampak lebih menjadikan remaja berani menggatal. Jika mahu menjadikan mereka berani, wajar menggalakkan mereka buat public speaking (pengucapan umum) atau berdebat. Jika mahu mereka berseni, budaya kita sudah ada pantun dan gurindam, sajak dan syair.

“Saya faham ia hiburan, ia jenaka. Tapi, sebagai pasukan konsultan, takkan kalian tidak mampu menghasilkan hiburan dan jenaka yang bersifat ilmiah dan matang.

“Saya rasa normalisasi perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah mesti segera dihentikan,” ujarnya.

Jika mahu menjadikan mereka berani, wajar menggalakkan mereka buat public speaking (pengucapan umum) atau berdebat.

BAPA

Jelasnya lagi, dia mengharapkan pihak sekolah menjadi benteng terakhir untuk menjaga dan menerapkan gagasan budaya timur dalam masyarakat.

“Kita sudah tidak mampu mengawal media sosial, media massa dan hiburan di luar sana. Tetapi, apabila kalian juga membawa masuk budaya tersebut ke dalam sekolah.

“Apalah daya saya untuk menghalang. Saya orang biasa-biasa, tidak punya wang yang banyak, suara saya terhad,” katanya sambil menambah pernah menegur pihak penganjur, namun telah ‘disekat’.

Justeru, dia merayu agar penganjur lebih peka dan pihak sekolah dapat menghentikan kemasukan modul program motivasi yang tidak membawa kepada budaya timur dan akhlak Islam.

“Jadikan sekolah benteng terakhir pertahanan daripada segala pengaruh media sosial, viral, trending dan apa saja yang tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anak bangsa.

“Saya juga mohon mencadangkan supaya pihak sekolah menjemput penceramah yang ada track record atau kisah kejayaan yang sebenar untuk memberikan motivasi. Bukan sekadar influencer atau selebriti yang punya ramai pengikut di media sosial.

“Didiklah anak-anak saya supaya menjadi seperti Imam Syafie atau Imam Nawawi. Asuhlah mereka supaya lahir Elon Musk atau Mark Zuckerberg Malaysia.

“Bimbinglah mereka menjadi pejuang agama, bangsa dan negara. Pimpinlah tangan mereka supaya lahir manusia yang rajin, berani, berprinsip dan matang dalam kehidupan mereka apabila dewasa nanti,” katanya lagi.

Antara komen netizen.

Berhubung pengisian aktiviti ‘pickup line’ dalam program yang dianjurkan, perunding pendidikan itu tampil menjelaskan bahawa pihaknya amat menitikberatkan dalam melahirkan insan yang berani tampil ke hadapan.

“Bukan dari segi memberi ‘pickup line’ tetapi keberanian menonjolkan idea yang kreatif dan inovatif,” katanya menerusi keterangan video di TikTok.

Mengulas mengenai pandangan umum bahawa aktiviti ‘pickup line’ yang dilakukan sebagai tidak wajar, katanya, setiap konsultan ada kajian dan kepakaran tersendiri.

“Kami tidak membuat perkara yang sia-sia apatah lagi menggalakkan pelajar untuk bercinta di alam persekolahan.

“Netizen mempunyai persepsi yang berbeza. Apa yang penting cara penyampaian yang betul dan tepat kepada pelajar untuk mereka hadam setiap nilai serta pengajaran dalam aktiviti yang kami buat.

“Hanya sekolah/agensi/syarikat/IPT (institusi pengajian tinggi) yang pernah menjemput kami yang tahu keberkesanan program dan cara penyampaian modul kami,” katanya sambil menambah mereka kini begerak sebagai perunding pendidikan yang meluas di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain