suria

Impian tercapai sebelum ‘pergi’! Suami merasa kerja ‘gomen’ walau cuma 23 hari, isteri dedah arwah tak jemu tunggu panggilan

Rita bangga menerima penghargaan mewakili arwah suami.

MOMEN seorang wanita menerima plak dan sijil penghargaan bagi pihak arwah suaminya yang berkhidmat selama 23 hari di sektor kerajaan mendapat perhatian ramai.

Shazrulrita Norsham, 40, ketika dihubungi mStar berkata suaminya Mohd Fais Basir, 33, sempat merealisasikan cita-cita dan keinginan untuk menjadi penjawat awam sebelum dijemput Ilahi pada 9 Ogos lalu.

Menurut Rita yang sudah berumah tangga lebih lapan tahun, suaminya sebelum ini bekerja di sebuah kilang dan turut menjadi penghantar makanan sebelum mula bertugas sebagai Pembantu Operasi di Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Alor Gajah, Melaka.

***VIDEO***

"Lepas suami dapat surat tawaran kerja tu memang wajahnya nampak ceria sangat. Mana taknya, selepas bertahun-tahun dia mencuba, akhirnya impian dia jadi kenyataan.

"Saya memang terharu dengan kesungguhan suami yang nak sangat kerja di sektor awam atas niat nak ubah nasib kami sekeluarga. Sebelum ni suami memang berhempas pulas bekerja di kilang dan sebagai rider Foodpanda.

"Tapi tak sampai sebulan bertugas, dia pergi meninggalkan kami sekeluarga. Dia terlibat dengan kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan nak ke tempat kerja," ujarnya menceritakan semula kisah tragis menimpa suaminya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami meninggal dunia selepas 20 hari ditidurkan... Isteri kering air mata, langsung tak menangis - “Saya nampak betapa sakitnya dia”

ARTIKEL BERKAITAN: Suami meninggal dunia sebulan sebelum bayi lahir, isteri baru sedar arwah bagi ‘hint’... Yakin Allah dah susun cantik-cantik

Sebagaimana dikongsikan di TikTok, Rita hadir bersama anak tirinya mewakili arwah untuk menerima sijil yang disampaikan pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2023 di sebuah hotel.

Tidak putus-putus memberitahu bahawa dirinya bangga dengan suami, wanita yang berasal dari Bukit Rambai, Melaka ini turut berkongsi hasrat arwah yang ingin mendapatkan cahaya mata dengannya.

Rita (kiri) bersama anak tiri hadir ke majlis penghargaan untuk arwah suami.

"Sebenarnya memang lama suami cuba nasib. Bertahun-tahun dia cuba memohon pekerjaan diimpikan dan akhirnya dapat. Walau khidmatnya sekejap saja jika nak banding dengan orang lain tapi saya cukup bangga dengan arwah.

"Selama ni memang dia berdoa dapat kerja dengan kerajaan. Selain tu suami pernah juga beritahu saya lepas dah dapat kerja ni, dia nak doa supaya kami diberikan peluang ada zuriat bersama pula.

Suami pernah juga beritahu saya lepas dah dapat kerja ni, dia nak doa supaya kami diberikan peluang ada zuriat bersama pula.

SHAZULRITA

"Tapi kita sebagai manusia hanya mampu merancang. Semua perjalanan yang kami lalui ini adalah aturan-Nya sebab Allah sebaik-baik perancang," ujarnya yang reda dengan apa terjadi.

Hantaran dimuat naik di TikTok turut mendapat perhatian oleh rakan-rakan sekerja Fais apabila ramai yang memuji kebaikannya selama berkhidmat bersama.

Dalam pada itu, Rita turut meluahkan rasa syukurnya apabila keinginan suami selama ini tercapai serta menjadikan semangatnya sebagai pendorong kehidupan.

"Apa yang orang nampak hanyalah 23 hari perkhidmatannya tapi saya lihat sendiri usaha dan perjalanan ditempuhi untuk capai semua ini cukup panjang buat suami.

Wanita ini bangga dengan pencapaian suaminya.

"Semestinya saya sebagai isteri berbesar hati sewaktu menerima penghargaan mewakili arwah. Semangat arwah selama ini merupakan kekuatan saya sekarang untuk teruskan kehidupan tanpa dia," katanya lagi.

Mohd Fais meninggal dunia setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya membabitkan dua buah motosikal di Jalan Bukit Rambai berhampiran susur keluar Taman Rambai Jaya pada 9 Ogos pukul 7.40 pagi.

Dalam kejadian itu, motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang Fais dirempuh motosikal jenis skuter yang keluar dari simpang jalan menyebabkan arwah tercampak dan disahkan maut di lokasi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain