suria

Pakcik misteri dekati pemuda sedang melepak, buat permintaan aneh! Persoalan terjawab selepas hantar ke pusat zakat

Seorang warga emas dibantu oleh sekumpulan pemuda yang prihatin.

PERJALANAN dan dugaan hidup setiap insan ternyata berbeza-beza.

Ketika kita merasakan diri cukup lelah menongkah arus kehidupan, pasti ada di luar sana yang lebih hebat diuji.

Melalui satu perkongsian di laman X, seorang lelaki bersama rakan-rakannya bertemu dengan warga emas yang kelihatan uzur.

Warga emas ini meminta dia dihantar ke satu lokasi khusus.

Menurutnya, pertemuan itu berlaku ketika dia sedang melepak di sebuah restoran pada waktu malam.

Difahamkan lelaki lanjut usia itu mempunyai kesukaran untuk bercakap dan memerlukan bantuan nota bertulis bagi berkomunikasi dengan orang sekeliiling.

"Pakcik tu datang dekat kami minta tolong tempahkan e-hailing. Apabila ditanya nak pergi ke mana, pakcik tu cuma sebut Seksyen 8. Kami macam tergamam sebab Seksyen 8 tu besar di tengah Shah Alam, Selangor ni.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakcik menggigil sejuk tepi jalan pukul 5 pagi! Keluar sendirian nak cari anak, kemalangan sebab brek motor rosak

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lori tak sangka ada mata perhati gerak gerinya bersama pakcik bertongkat... tau-tau dah viral - “Rakan beritahu, berderau juga darah...”

"Dia bercerita dekat kami panjang lebar tapi kami tak faham sangat sebab percakapan dia agak pelat. Rupanya dia nak pergi ke pejabat Zakat Selangor.

"Itu pun kami boleh 'tangkap' selepas pakcik tu tulis dekat satu kertas ni. Menariknya dalam kertas tu pun ada tertulis nota maklumat diri dia.

"Antaranya ditulis yang pakcik ni merupakan seorang pelupa dan dia tempang kerana pernah kemalangan jalan raya yang teruk dulu. Dia juga rupanya pernah mengaji di pondok Tok Guru Nik Aziz," cerita lelaki itu.

Syukur pakcik tu dipertemukan dengan orang-orang baik macam awak, semoga sentiasa dipermudahkan urusan dalam kehidupan.

WARGA MAYA

Bersimpati dengan keadaan warga emas yang dikatakan berasal daripada Setapak, Kuala Lumpur itu, lelaki tersebut akhirnya setuju untuk membawa pakcik berkenaan ke destinasi yang ingin dituju.

"Kami pun berhenti lepak untuk hantar pakcik tu, mula-mula kami ingat nak hantar dia ke masjid negeri sebab fikir pusat zakat mesti tutup waktu malam.

"Tapi pakcik tu kata tak mengapa, dia nak ke pusat zakat juga. Jadi kami pun bawa dia ke sana dan apabila sampai, nampak jelas riak wajah pakcik tu bertukar gembira.

"Memandangkan pusat zakat memang tutup seperti sangkaan awal kami, kami tolong susunkan kerusi dekat depan pintu masuk supaya pakcik tu boleh berehat sementara tunggu pagi.

Warga emas ini dibantu oleh anggota Lembaga Zakat Selangor.

"Kesian pula kami tengok pakcik ni, apabila ditanya tentang keluarga, katanya dia dah tak ada sesiapa, hanya sebatang kara. Dia pun tak ada minta duit apa, cuma cakap hantarkan ke pusat zakat je," ujar lelaki itu mengambil berat.

Ternyata ciapan lelaki tersebut yang menjadi tular berjaya mendapat perhatian akaun rasmi Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang kemudiannya tampil menerangkan tentang identiti warga emas berkenaan.

"Itu Abang Amin sebenarnya kami panggil. Dia selalu datang ke ibu pejabat LZS di sini, dia dah anggap pejabat kami macam rumahnya.

"Skuad Saidina Umar (SSU) kami selalu melayan Abang Amin untuk hantar ke tempat yang dia minta. Biasanya Abang Amin akan minta untuk dihantar ke Seksyen 8 atau Seksyen 9," jelas akaun rasmi LZS.

Sebahagian ciapan balas warga maya.

Sebagai makluman, SSU dalam Lembaga Zakat Selangor merujuk kepada pasukan khas yang menangani aduan dan kes kritikal dalam masyarakat melibatkan kemiskinan.

Melihat kepada penjelasan itu, lelaki tersebut dan rata-rata warga maya berasa lega apabila mengetahui warga emas berkenaan berada di bawah jagaan LZS.

"Alhamdulillah, tenang hati dengar, terima kasih Lembaga Zakat Selangor.

"Syukur pakcik tu dipertemukan dengan orang-orang baik macam awak, semoga sentiasa dipermudahkan urusan dalam kehidupan," kata warga maya memberi pujian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain