MUSIM orang kahwin kembali dengan kedatangan musim cuti sekolah pada hujung tahun. Pastinya ada yang menerima undangan ke majlis perkahwinan, termasuk majlis yang dibuat untuk anak-anak tuan rumah. Namun apa yang tidak sedap didengar apabila terdapat segelintir tuan rumah yang memberi kad jemputan mempunyai maksud yang tersirat, iaitu mendapatkan sumbangan daripada para tetamu. Menerusi satu perkongsian di laman sosial, seorang wanita mendedahkan sikap seorang tuan rumah yang menjemput ke majlis pernikahan anaknya, tetapi diselitkan dengan gurauan yang tidak disangka-sangka. Jemputan dibuat untuk kehadiran ke majlis perkahwinan. -Gambar hiasan “Hang nak menikahkan anak hang, selepas tu hang nak buat jamuan makan untuk orang-orang yang datang tapi kalau hang tak ikhlas mana boleh. “Orang yang hang jemput, bagi kad jemputan. Tapi hang kata ‘Datang la kenduri nikah anak aku, Sabtu ni. Kalau datang dengan famili tu, hang kena bagi (duit) lebih sikit’,”ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Siap dah bawa bekas, makcik bertekak dengan pekerja katering nak tapau lauk kenduri - “Setakat satu dua bungkus takkan tak boleh?” ARTIKEL BERKAITAN: “Tak bagi pun tak apa” - Tuan rumah kenduri terguris hati buka sampul dapat tisu, tapi ramai tak sedar tetamu miskin malu ‘salam kosong’ Tidak cukup sekadar itu, wanita berkenaan berkata, tuan rumah turut memberi pilihan kepada rakan yang dijemputnya, sama ada datang berpasangan atau beramai-ramai. “Kalau setakat (bagi duit) RM10 tu, hang datang laki bini bolehlah,” katanya yang merujuk kepada 'salam kaut' kepada tuan rumah. Hendaklah ikhlas membuat jamuan kerana Allah dengan kasad (niat/tujuan) bersedekah menjamu orang ramai. USTAZ AZHAR IDRUS Walaupun kedengaran bergurau, wanita itu masih menganggap cara jemputan tersebut adalah tidak wajar, sekali gus membuat penerima jemputan berfikir sebelum datang ke majlis. “Walaupun hang boleh gelak-gelak tapi ingat ada orang nak pergi ke kenduri tu? Orang akan fikir tau. Kalau hang macam tu, bermakna hati hang memang macam tu la. “Hang boleh kata, kalau datang satu keluarga, duit dalam sampul kena lebih sikit. Kalau aku, taubat aku nak pergi. Biarlah kenduri hang ada orang datang ke tak ada orang. “Kalau aku niat nak buat kenduri untuk anak aku, akan gembira sebab nak jamu orang makan, orang datang tengok anak-anak kita. Ini hang niat buat kenduri nak kutip duit. Manusia apa hang ni?” katanya dengan nada kesal. Aneka juadah dihidangkan untuk tetamu. -Gambar hiasan Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) berkata, sunat hukumnya mengadakan jamuan kenduri dengan sebab berkahwin sama ada diadakan selepas akad nikah atau pada akad nikah diadakan. Menurutnya, tuan rumah yang mengadakan kenduri itu mendapat pahala kerana mengikut anjuran agama dan pahala menjamu orang dan pahala bersedekah. “Hikmah membuat jamuan adalah tanda syukur kepada Allah yang telah memberi nikmat berumah tangga dan tanda bergembira dengan memperolehi pasangan atau menantu. “Maka bagi tuan kenduri hendaklah ikhlas kerana Allah menjamu tetamu jemputan supaya beroleh ganjaran pahala di sisi Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau. Mengulas lanjut, kata Ustaz Azhar, sudah menjadi kebiasaan pada hari kenduri, tetamu yang hendak pulang akan memberi hadiah atau duit kepada tuan rumah. Jelasnya, hukum memberi hadiah atau duit adalah sunat dan sangat digalakkan dalam Islam. “Sunat bagi tuan rumah yang menerima hadiah daripada tetamu membalas pemberian tersebut. Tetapi jika tuan rumah tidak membalas dengan hadiah, sebaiknya dibalas dengan ucapan yang baik seperti puji-pujian," katanya. Walaupun kenduri kahwin yang merupakan sunnah Rasulullah, Ustaz Azhar bagaimanapun berkata, tetamu yang datang makan tanpa memberi hadiah adalah tidak melakukan sebarang kesalahan. “Hendaklah ikhlas membuat jamuan kerana Allah dengan kasad (niat/tujuan) bersedekah menjamu orang ramai. Tidak elok jika dibuat kenduri kerana kasad mendapatkan hadiah daripada tetamu kerana ditakuti tidak mendapat pahala di sisi Allah,” katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube