BUKAN hanya wajah cantik, gadis ini pernah menarik perhatian ramai apabila dipanggil ‘sayang’ ketika penyampaian skrol di pentas konvokesyen. Kisahnya menjadi tular apabila dirinya diumumkan sebagai pelajar terbaik fakulti sehingga mendapat sorakan gemuruh di dalam dewan. Aura ‘beauty with brain’ menjadikan gadis ini menerima banyak pujian dalam kalangan netizen sehingga artikel yang memaparkan kisah kecemerlangan dan keunikan namanya menjadi antara yang paling tular sepanjang 2023. Tetap merendah diri, gadis berusia 24 tahun itu, Nurqueen Sayang Dinnie Wirakarnain berkata, sejak namanya menjadi perhatian pada Ogos lalu, ia membuka peluang baharu dan memberikan dirinya banyak pengalaman. Bersyukur menerima pengiktirafan pelajar terbaik. Menurut eksekutif kejuruteraan perisian itu, kini lebih ramai orang mengenali dirinya terutama kerana keunikan nama sehingga diangkat sebagai topik perbualan. “Selain karier utama, saya juga menerima pelbagai tawaran ‘job review’ sebagai sumber pendapatan sampingan. Ini memberi peluang kepada saya mengembangkan jaringan profesional dan meningkatkan kehadiran saya dalam komuniti. “Alhamdulillah, perjalanan saya setakat ini penuh dengan pencapaian dan peluang. Saya berterima kasih atas sokongan yang diterima dan berharap untuk terus memberikan sumbangan yang berharga dalam industri teknologi sambil mengembangkan kemahiran dan pengetahuan saya,” katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Wajahnya manis, nama pun sedap... Queen Sayang gamatkan majlis konvo UiTM, definisi sebenar ‘beauty with brain’ ARTIKEL BERKAITAN: Nasib gadis bernama Queen Sayang... pensyarah tak nak panggil sebab takut isteri, ibunya pula jenuh menjawab bini orang mengamuk pagi buta Sejak videonya tular, penerima anugerah graduan terbaik Ijazah Sarjana Muda Sains dan Fakulti Sains Komputer dan Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini menerima undangan berkaitan dengan motivasi. Mesra disapa Queen, katanya, dia diundang untuk ke satu program televisyen yang memberi peluang untuk berkongsi kisah inspirasi dirinya sebagai graduan kelas pertama. “Saya juga pernah mendapat tawaran memberi ceramah motivasi dan berkongsi pengalaman di sebuah universiti,” ujarnya yang dilahirkan di Pusat Perubatan Queen di Nottingham, United Kingdom sewaktu arwah bapanya menyambung pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di negara itu. Menerima banyak tawaran 'job review'. Mengimbas kembali kalendar 2023, anak ketiga daripada enam beradik itu telah berjaya membuat beberapa pencapaian penting yang menandakan pertumbuhan dan kemajuan dirinya. “Pertama, saya terus maju dalam kerjaya sebagai eksekutif kejuruteraan perisian, menunjukkan kecekalan dan dedikasi dalam bidang yang sangat kompetitif dan terus berkembang. “Selain itu, saya juga meneruskan pengajian di peringkat sarjana dalam Sains Komputer di UiTM, mencerminkan komitmen saya terhadap pembelajaran berterusan dan hasrat untuk mendalami pengetahuan serta kemahiran dalam teknologi maklumat,” katanya. Tular nama unik Mengulas lanjut, kata Queen, diri menjadi tular kerana nama unik dan pencapaian akademiknya membuatkan ramai pelajar mendekati dirinya. “Mereka bertanya bagaimana untuk menjadi graduan terbaik. Dalam interaksi ini, saya sering memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada mereka. “Saya percaya memberi motivasi kepada orang lain adalah sebahagian perkara penting dari perjalanan saya, dengan mengutamakan kerja keras, dedikasi dan keinginan untuk belajar. “Saya juga berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi, bagi menunjukkan bahawa kejayaan tidak datang tanpa usaha dan pengorbanan,” katanya yang turut menekankan pentingnya keseimbangan dalam kehidupan antara pelajaran, kerja dan kehidupan peribadi. Ibu (kanan) merupakan inspirasi dalam kehidupan Queen. Gadis yang gemar membuat content di media sosial dan meminati pelakon Korea Selatan, Park Seo Joon ini pastinya mempunyai rancangan untuk melangkah ke tahun baharu. “Untuk 2024, saya merancang beberapa misi dan objektif yang akan membimbing perjalanan saya ke depan, iaitu mencapai kemajuan dalam kerjaya. Saya berhasrat untuk terus meningkatkan kemahiran dan pengalaman dalam bidang kejuruteraan perisian. “Saya juga bertekad untuk menamatkan pengajian master dengan keputusan cemerlang, yang akan membuka lebih banyak peluang dalam karier saya. “Selain itu, saya juga merancang untuk terus bekerja pada pembangunan diri, termasuk menguruskan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi,” katanya yang percaya bahawa kesejahteraan mental dan fizikal adalah penting untuk keberhasilan dalam semua bidang kehidupan. Kongsi tip cemerlang Dalam pada itu, Queen turut menitipkan lima pesanan kepada anak-anak muda yang mahu berjaya seperti dirinya. 1. Pentingnya berbakti kepada ibu bapa. Sebagai contoh, setiap kali saya bersedia untuk menjawab peperiksaan atau membuat presentation, saya akan sentiasa meminta doa dan restu daripada mama saya. Keyakinan dan sokongan daripada ibu bapa seperti ini memberi tenaga tambahan dan memberi kita kekuatan untuk menghadapi cabaran. Saya juga ingin menekankan pesan penting yang sering diberikan oleh mama saya, sentiasa berfikiran positif dan jangan pernah iri hati dengan kejayaan orang lain. Sikap positif ini adalah fundamental dalam setiap langkah kehidupan. Ia membantu kita melihat kesempatan di mana orang lain mungkin melihat kesulitan. Queen (tiga, kanan) bahagia bersama keluarga. Mama selalu mengingatkan saya bahawa pemikiran yang negatif hanya akan menghalang kemajuan kita. Jika kita merasa ragu atau berfikir ‘tak boleh buat’, sangat penting untuk segera mengubah cara berpikir tersebut. Alihkan ‘tak boleh’ menjadi ‘boleh’ dan ‘sukar’ menjadi ‘cabaran yang dapat diatasi’. Ini bukan hanya tentang berpikir positif, tetapi tentang membina kebiasaan mental yang memungkinkan kita untuk menghadapi setiap situasi dengan tenaga dan keyakinan. 2. Jangan pernah berputus asa dalam mengejar cita-cita. Ingat, setiap cabaran adalah langkah ke arah kejayaan. Jika anda jatuh, bangkitlah kembali dengan semangat yang lebih kuat. Percayalah pada diri sendiri dan keunikan anda, kerana setiap individu mempunyai kekuatan dan kebolehan tersendiri. 3. jangan lupa untuk mengambil inisiatif dan berani mengambil risiko. Mencuba sesuatu yang baharu dan melangkah keluar dari zon selesa anda adalah cara terbaik untuk belajar dan berkembang. 4. Bangunlah jaringan sosial yang kuat. Berinteraksi dengan orang-orang dari pelbagai latar belakang dapat memberi anda perspektif baru dan membuka peluang yang tidak terduga. 5. Sentiasa berterima kasih dan rendah hati. Menghargai setiap pencapaian dan peluang yang datang dalam hidup anda akan membawa kebahagiaan yang lebih mendalam dan kepuasan yang tulus. Ibu sentiasa memberi nasihat dan sokongan kepada Queen. Mengimpikan untuk bergelar ahli perniagaan khususnya dalam bidang makanan dan produk kecantikan, Queen berkata, perjalanan menuju kejayaan itu adalah unik bagi setiap individu. “Ingatlah, apa yang paling penting adalah perjalanan itu sendiri, bukan hanya destinasi. Hargailah setiap langkah yang anda ambil, setiap rintangan yang anda atasi, dan setiap pencapaian yang anda raih. “Setiap pengalaman mengajar kita sesuatu yang berharga. Jadi, bersemangatlah dalam setiap usaha, beranilah bermimpi, dan teruslah bergerak maju dengan hati yang penuh keberanian dan semangat yang tak pernah padam. “Jadi, teruskan melangkah dengan keberanian, galas impian anda dengan penuh semangat, dan ingatlah bahawa setiap tindakan kecil anda hari ini membentuk landasan untuk kejayaan yang gemilang di masa depan. Anda adalah pelukis masa depan anda; lukislah dengan warna-warna cerah penuh keberanian dan optimisme,” ujar Queen mengakhiri bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube