suria

Episod duka 2023: Rider maut dalam insiden pesawat terhempas, pembunuhan anak syurga Zayn Rayyan masih misteri

Kematian Zayn Rayyan (kiri) dan Muhamad Hafiz (kanan) meninggalkan kesan mendalam buat seluruh rakyat Malaysia.

TAHUN 2023 menyaksikan banyak peristiwa meruntun jiwa berlaku di negara kita, sekali gus meninggalkan kesan mendalam buat seluruh rakyat Malaysia.

Tragedi serta kematian yang berlaku bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga malah akan terlakar dalam lipatan sejarah untuk dikenang selamanya.

Menerusi rangkuman kali ini, mStar akan membawa anda menelusuri beberapa kejadian yang meraih perhatian seluruh rakyat Malaysia sepanjang tahun 2023.

1. Pesawat terhempas

Kejadian pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie, dekat Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu merupakan salah satu detik gelap yang paling diingati rakyat Malaysia pada tahun ini.

Sepuluh orang terkorban, yang terdiri daripada lapan penumpang (enam penumpang dan dua anak kapal penerbangan), serta seorang pemandu e-hailing dan seorang penunggang motosikal (p-hailing) dikenali sebagai Muhamad Hafiz Muhamad Salleh.

2235758

Kejadian pesawat terhempas yang menggemparkan negara pada 17 Ogos lalu.

Rider penghantar makanan berasal dari Sidam, Kedah itu meninggal dunia akibat terbakar selepas sebuah pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di kawasan yang dilaluinya.

Video menunjukkan mangsa yang sedang merangkak dalam keadaan terbakar sambil meminta tolong dan menyebut nama Allah turut tular sehingga mengundang sebak netizen.

2. Zayn Rayyan dibunuh

Kanak-kanak austisme Zayn Rayyan Abdul Matin ditemukan meninggal dunia di sebatang anak sungai pada malam 6 Disember, sehari selepas dia dilaporkan hilang di kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.

Kes itu menjadi misteri kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta penduduk setempat sudah membuat carian terperinci di kawasan anak sungai berkenaan, namun gagal mencari sebarang petunjuk.

Namun pada malam itu, mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan berkenaan yang terletak hanya 200 meter daripada blok kediamannya.

553 (4)

Kematian tragis anak syurga ini terus ditangisi rakyat Malaysia yang turut tumpang berduka.

Disangka meninggal kerana lemas, namun laporan bedah siasat yang dikeluarkan pada 7 Disember mengesahkan kanak-kanak itu mati dibunuh kerana terdapat kesan kecederaan pada leher serta badannya.

Berita itu ternyata mengejutkan seluruh rakyat Malaysia sehingga ia menjadi topik bualan hangat di media sosial, malah pelbagai teori konspirasi mula dibangkitkan oleh netizen.

Dalam perkembangan terbaharu pada 23 Disember, PDRM meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk meneruskan siasatan kes kematian kanak-kanak itu.

Sehingga rangkuman ini disiarkan, pembunuh Allahyarham Zayn Rayyan masih bebas dan pihak berkuasa tanpa putus asa terus berusaha merungkai kisah di sebalik kematian misteri itu.

3. Calon SPM maut langgar lari

Selain kes Zayn Rayyan, bulan terakhir dalam tahun 2023 turut menyaksikan satu lagi kematian yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia, melibatkan seorang remaja dikenali sebagai Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie.

Pada 15 Disember, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 17 tahun itu maut dalam satu kemalangan ngeri apabila motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta pada pukul 12.30 tengah hari.

Dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Perak, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas badannya diseret sejauh lima meter oleh kereta terbabit.

553 (3)

Kematian pelajar itu kecoh diperkatakan seluruh rakyat Malaysia.

Video menunjukkan mangsa yang sedang nazak di tepi jalan turut tular di media sosial sehingga ia menimbulkan kemarahan netizen sebelum suspek yang juga pegawai kanan polis ditahan pada hari yang sama.

Pada 18 Disember, suspek yang berusia 44 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan membunuh dan dituduh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

4. Pemergian Salahuddin Ayub

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Kematian Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai turut menjadi perhatian ramai memandangkan Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sehingga ke akhir hayatnya.

Paling diingati, Allahyarham turut digelar sebagai 'Bapa Rahmah' kerana keprihatinannya terhadap keluh-kesah rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup ketika tempoh perkhidmatannya.

Malah, Allahyarham juga merupakan individu yang memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah ‘Payung Rahmah’ sekali gus dapat membantu golongan yang memerlukan di negara ini.

553 (2)

Salahuddin digelar sebagai 'Bapa Rahmah' kerana keprihatinannya terhadap nasib rakyat dan golongan memerlukan di negara ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah selepas menjalani pembedahan otak.

Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram meninggalkan seorang balu, Datin Seri Fatimah Taha, 60, bersama empat anak lelaki dan dua perempuan serta 11 cucu.

5. Kematian TikToker jadi perbualan netizen

Pemergian usahawan dan personaliti media sosial, Muhammad Irfan Abdullah atau Sifu Lentik pada 15 Jun lalu turut menjadi perbualan hangat masyarakat Malaysia.

Allahyarham yang juga TikToker terkenal meninggal dunia dipercayai akibat penyakit kanser sebelum jenazahnya dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Tandang, Petaling Jaya.

553

Kematian Sifu Lentik mengejutkan ramai pengikutnya di TikTok.

Allahyarham sebelum ini dikenali ramai dengan penampilan wanita, namun dilihat kembali kepada fitrah asal ketika di penghujung hayatnya.

Seorang lagi TikToker yang juga guru, Mohd Khariri Mohamad Ramli atau dikenali Cikgu Ery meninggal dunia akibat serangan jantung pada 29 November.

Cikgu Ery, 46, meninggal dunia ketika melakukan aktiviti senaman dekat Telok Panglima Garang di Kuala Langat.

553 (1)

Cikgu Ery popular kerana kisah penghijrahannya daripada seorang mak nyah yang kembali kepada fitrah asal.

Allahyarham merupakan guru sesi petang dan mengajar subjek bahasa Melayu di SK Bukit Tinggi, Klang, Selangor.

Cikgu Ery yang juga bekas mak nyah menjadi terkenal selepas kisah penghijrahannya tular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Allahyarham juga banyak berkongsi video mengenai kecergasan dan senaman menerusi TiKTok miliknya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain