suria

Terkejut tengok resit, air kosong RM5! Pemilik restoran mohon maaf, pekerja baharu salah ‘key in’

Pemilik restoran di Cenang tampil menjelaskan mengenai isu harga dikenakan bagi air kosong sebelum ini.

PEMILIK sebuah restoran di Pantai Cenang, Pulau Langkawi tampil membuat permohonan maaf berikutan isu dibangkitkan pelanggannya sehingga tular.

Sebagaimana dikongsikan pelanggan itu sebelum ini, kedai makan itu mengenakan caj RM5 bagi air kosong yang dipesan sewaktu berkunjung ke sana pada 21 Disember lalu.

Menurut pemilik, kesilapan tersebut berlaku disebabkan kecuaian pekerjanya memasukkan kod sewaktu pengiraan bil makanan dibuat.

Kod bagi air kosong (kiri) dan air nescafe (kanan).

"Di sini pihak restoran ingin memohon maaf kepada pelanggan sebab staf kami telah membuat silap masuk bil atas kecuaian.

"Saya memohon kalau siapa-siapa yang kenal pemilik resit, boleh hubungi kami untuk tuntut balik duit lebih caj tu.

"Pekerja kami tersilap masukkan kod nombor 1111 bagi minuman Nescafe dan terlupa untuk tukar harga asal sepatutnya iaitu CA07 bagi air kosong," jelasnya.

Jelasnya lagi, insiden tersebut berlaku pada waktu pagi ketika hidangan sarapan disediakan kepada pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan hampir menang cabaran, pemilik restoran terus ubah fikiran... Minta muntahkan semula ayam 2 dulang

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun menabung, lelaki pikul beg berisi wang tunai beli motor untuk isteri... Pekerja kedai ambil masa 2 jam kira duit

Katanya lagi, hidangan sarapan pagi merupakan menu baharu yang dimasukkan dua minggu lalu setelah beroperasi sejak 2015.

"Banyak pekerja baru. Kami minta maaf kalau ada terbuat salah. Sistem masih baru untuk staf baharu. Tu yang boleh jadi tersalah masukkan kod.

"Sekali lagi kami meminta maaf kepada orang ramai atas kecuaian kami dan perkara ini tidak akan berulang lagi.

"Caj untuk air kosong adalah RM1 tak pernah tukar," ujarnya.

Kami minta maaf kalau ada terbuat salah. Sistem masih baru untuk staf baharu.

PEMILIK SHELL OUT CENANG

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila restoran itu mengenakan caj bagi air kosong pada harga tidak masuk akal.

Kecewa dengan apa berlaku, gambar resit makanan dan minuman dipesan oleh pelanggan itu menjadi tular di X dan Facebook.

Warganet berkata kadar penginapan dan harga makanan di sekitar Langkawi yang mahal menyebabkan rakyat Malaysia lebih memilih untuk bercuti ke luar negara.

"Air kosong dekat Pantai Cenang RM5? Lepas tu nak salahkan (pelancong) bercuti dekat Hatyai, Thailand," tulisnya dalam ruangan kapsyen.

Antara resit harga bagi air kosong dikenakan sebelum ini.

Pemilik resit tersebut sebelum ini turut tampil menjelaskan mengenai spekulasi dibuat oleh netizen.

"Saya pemilik resit tu. Siapa kata saya fitnah, merangkaklah anda cari saya. RM1 (pada resit) tu kuih. Harap maklum.

"Saya tutup sebab nak tekankan harga air kosong tu saja," kata pelanggan itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain