suria

70 tahun ‘sedap’ tumpang tanah dan rumah pusaka orang lain... Pemilik suruh keluar, penghuni acu parang

Harta pusaka sering menjadi perebutan dalam kalangan adik beradik dan saudara mara. -Gambar hiasan

TANAH atau harta pusaka peninggalan orang tua cenderung menjadi isu dan perebutan dalam kalangan anak-anak dan sanak saudara.

Sudah menjadi kebiasaan apabila kita mendengar hal tersebut menjadi punca hubungan adik beradik renggang dan saling bermasam muka.

Malah, ada juga situasi lebih teruk di mana berlaku pergaduhan serta ugutan demi mendapatkan serta mempertahankan hak masing-masing.

Terpalit dengan isu ini, seorang pengguna di Facebook meluahkan rasa tidak senang dengan sikap keluarga kepada sahabat arwah datuknya yang pernah dibantu sebelum ini.

Sebagai cucu, katanya, dia terkilan dengan sikap mereka yang dianggap mencabuli hak ahli keluarganya apabila harta yang 'dipinjamkan' oleh arwah datuknya kepada sahabatnya yang dalam kesusahan sekitar 70 tahun lalu, kini enggan dipulangkan.

Harta peninggalan arwah datuk seorang wanita tidak diwarisi oleh ahli keluarganya. -Gambar hiasan

"Arwah tok wan saya ada sebidang tanah betul-betul tepi jalan besar dan anggaran nilai RM1.5 juta. Masalahnya sekarang... masa dulu tok wan saya pernah bagi kawan dia tumpang duduk di tanah tu sebab kasihan merempat.

"Lebih kurang 10 tahun yang lepas tanah tu terkena sikit jalan raya dan kami dapat pampasan tanah dan orang yang tumpang tanah tu dapat pampasan rumah," katanya sambil menambah sahabat datuknya juga telah meninggal dunia.

Sebagaimana dijelaskan, selepas datuknya menghadap Ilahi, pemilikan harta pusaka tersebut sepatutnya jatuh kepada ibu kandung dan bapa saudaranya yang dipanggil pak ngah.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kongsi senario tak patut berlaku selepas kematian, kubur masih merah dah berebut harta - “Mereka pilih taat isu faraid, tidak bahagian lain”

ARTIKEL BERKAITAN: “Tiada siapa menang... mangsa atau tertuduh” - Peguam doakan pesalah kes bunuh 23 nyawa pusat tahfiz insaf ketika di penjara

Bercerita lanjut, sebelum ini bapa saudaranya itu pernah berbincang dengan keluarga tersebut untuk keluar secara baik dari rumah berkenaan.

Namun, permintaan itu ditolak sehingga berlaku ugutan menggunakan senjata berbahaya demi mempertahankan rumah yang dikatakan sudah menjadi hak mereka.

"Pak ngah saya sudah pergi jumpa tuan rumah untuk minta keluar dari situ dan cari rumah lain. Lagipun yang tinggal hanya cucu dan cicit dia saja.

"Masa pak ngah saya minta untuk keluar, mereka keluarkan parang dan cakap tu tanah mereka. Katanya tok wan (arwah) saya dah jual dekat datuk mereka dengan harga RM200 (tak masuk akal harga pun) dan berbuktikan sekeping surat tulisan rumi.

Masa pak ngah saya minta untuk keluar, mereka keluarkan parang dan cakap tu tanah mereka.

CUCU PEMILIK TANAH

"Sedangkan tok wan saya tak pandai tulis rumi hanya pandai tulisan jawi. Yang paling penting geran tanah atas nama pak ngah dan mak saya," katanya menjelaskan situasi.

Buntu dengan sikap keluarga tersebut, wanita ini meminta pendapat orang ramai dalam grup Tanya Peguam untuk mengusir mereka.

Sebelum ini, pihak keluarga wanita ini pernah menawarkan kepada keluarga tersebut untuk membeli tanah yang menjadi perebutan.

Bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak dan mereka terus menetap secara percuma tanpa membayar sewa dan cukai tanah.

Susulan isu ini, netizen turut memberikan pendapat masing-masing.

Ulasan seorang peguam susulan perkongsian seorang wanita.

Turut tampil memberikan penerangan adalah seorang peguam, M Arif Azmi.

Menjawab persoalannya, peguam itu berkata, persetujuan melalui kertas bertulis dan cakap (lisan) bersetuju untuk jual tidak dapat membuktikan pemilikan tanah.

"Dekat negara ini, kita pakai sistem torrens di mana segala transaksi jual beli dan pindah milik tanah perlu direkodkan di pejabat tanah.

"Setakat kertas tulis cakap setuju jual berkemungkinan besar tak dapat membuktikan pemilikan tanah tersebut. Ia tetap perlu didaftarkan.

"Untuk halau mereka boleh lantik peguam keluarkan notis tuntutan dan jika ingkar seterusnya buat permohonan 'summary proceeding' bawah order 89 Rules of Court untuk dapatkan semula tanah," katanya.

Arif juga menambah bahawa selepas segala prosedur dibuat, wanita ini boleh failkan writ pemilikan untuk bailif bertujuan untuk menghalau penduduk tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain