suria

Bos buat majlis perpisahan tapi enggan rai staf ‘resign’ setelah 20 tahun berkhidmat, cuma jemput pekerja bersara awal

Majlis perpisahan diadakan untuk pekerja yang bersara awal. -Gambar hiasan / Freepik

LAIN pekerja, lain ragamnya.

Pekerja cemerlang menyumbang kepada prestasi dan kualiti perkhidmatan dalam sesuatu organisasi atau syarikat.

Namun lain majikan, lain pula pengurusannya dan jika ada staf yang tidak tahan dengan cara kerja diamalkan, mesti akan 'angkat kaki'.

Begitu juga dengan nasib seorang pekerja yang telah berkhidmat selama berbelas tahun dengan sebuah syarikat swasta.

Kisah mengenai dirinya diceritakan oleh pempengaruh media sosial, Mohd Fadli Salleh, yang menjelaskan bahawa sahabatnya itu merupakan pekerja yang tidak pernah berkira sepanjang perkhidmatannya.

Seorang pekerja membuat keputusan untuk berhenti kerja. -Gambar hiasan / Freepik

Malah, dia telah banyak memberi sumbangan melibatkan pihak luar untuk membantu syarikat di tempat dia bekerja.

“Dia terlalu banyak buat kerja di luar skop job sebenar. Dia tak berkira. Apa dia boleh bantu, dia bantu saja. Pukul 3 atau 4 pagi pun bangkit lagi jika ada memerlukan bantuan dia.

“Dia jenis banyak kelebihan dan kepandaian lain. Maka kelebihan dia itu digunakan sepenuhnya untuk membantu syarikat dia,” tulisnya di Facebook.

Walaupun banyak memberikan sumbangan, kata Mohd Fadli, sahabatnya itu dalam masa sama merupakan pekerja yang lantang bersuara.

ARTIKEL BERKAITAN: “Keluar kau dari sini” - Majikan ‘angin’ pekerja tak capai sasaran, ugut tak mahu bayar gaji kalau gagal

ARTIKEL BERKAITAN: Tebas semak lebih 10 jam, rehat 20 minit... Pekerja dibayar gaji RM14 sehari- “Buat sendiri je la bos”

“Dia ni jenis cakap direct. Salah dia kata salah, betul dia kata betul. Dia tak peduli sesiapa, dia cakap jujur saja. Ada la staf tak suka dengan kelantangan dan cara dia.

“Satu lagi masalah dia... dia tak pandai membodek dan mengipas bos. Maka dia bukan anak emas kesayangan bos, bahkan dia diburukkan oleh staf lain yang kaki kipas,” ujar guru itu.

Hargai staf yang berpuluh tahun menaikkan nama syarikat dan beri perkhidmatan terbaik.

MOHD FADLI SALLEH

Sahabatnya bagaimanapun tidak mempedulikan sikap staf lain kerana apa yang penting adalah dia melakukan tugasnya dengan baik dan sentiasa dilakukan lebih dari sepatutnya.

“Sampai suatu hari, tekanan demi tekanan daripada pihak atasan diterima. Dia tak tahan lagi dan buat surat dan resign terus. Maka berakhirlah karier dia di situ,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fadli berkata secara kebetulan terdapat beberapa kakitangan di situ mahu bersara awal dan pihak syarikat mengadakan majlis persaraan untuk semua staf berkenaan.

Majlis perpisahan dibuat oleh pihak syarikat. -Gambar hiasan / Freepik

Terdapat cadangan dalam kalangan staf supaya sahabatnya turut dijemput untuk diraikan memandangkan hampir 20 tahun dia berkhidmat dan banyak sumbangannya terhadap syarikat.

“Korang tahu apa jawab pegawai sana? Dia tu resign, bukan bersara pilihan. Tak payah jemput dia. Fuh, berdesing telinga kawan yang mencadangkan tu.

“Dia bagitahu sahabat aku hal itu, sahabat aku gelak je. Dia tak mengharap diraikan pun. Cuma adatnya, staf berhenti tak kira bersara awal ke, pilihan ke, berhenti ke, kena raikan.

“Budaya kami kat sekolah ni, guru ganti yang masuk tiga bulan pun kami raikan bila dia tamat. Tiga bulan je kot, ini hampir 20 tahun tak mahu raikan,” katanya lagi.

Susulan apa yang berlaku, Mohd Fadli membuat kesimpulan mengenai majikan, pekerja dan kakitangan lain di sesebuah syarikat berdasarkan kisah sahabatnya itu.

“Untuk majikan, hargai staf yang berpuluh tahun menaikkan nama syarikat dan beri perkhidmatan terbaik. Manakala ‘penjilat’ mendapat tempat lebih mudah dalam apa-apa organisasi.

“Sebagai pekerja, buat kerja apa dalam scope job kita dah la. Tak perlu berlebihan sangat. Sakit demam kita bukan orang ofis yang datang jaga. Anak bini kita juga,” tegasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain