MENGALAMI masalah dalam pembelajaran akan membuatkan kanak-kanak terlibat berasa tidak bersemangat dan enggan ke sekolah. Sesetengahnya berdepan tekanan daripada orang sekeliling termasuk dimarah oleh ibu bapa yang tidak mengetahui punca serta cara untuk membantu. Berkongsi cerita di halaman TikTok, Nadzreen Razman berkata dia hanya mula membaca ketika berusia 10 tahun. Nadzreen mula membaca pada usia 10 tahun. “Aku tak pandai! Aku boleh membaca semasa berada di darjah 4 setelah ditukarkan ke kelas pemulihan dan ketika itu bacaan pun merangkak sedangkan kawan seusia sudah lancar. “Keputusan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) aku hanya 3C 1D 1E, tapi aku cukup bangga dengannya walaupun tak sehebat orang lain disebabkan kemampuan ketika itu,” luahnya memulakan bicara. Malah dia bersyukur apabila salah seorang guru pernah memberikan kata-kata semangat di saat dia berasa kecewa dengan pencapaian diri sekali gus menjadi pegangan untuknya berusaha lebih keras. ARTIKEL BERKAITAN: Berhenti kerja selepas 15 tahun bergelar pensyarah, wanita ini tolak 2 tawaran demi ibu, anak disleksia... siapa sangka pilih jadi tukang urut - “Peringkat awal saya sangat down...” ARTIKEL BERKAITAN: Hampir dibuang universiti, pelajar Kimia pasrah gagal tukar kursus! Kini dinobat guru cemerlang Sains, banyak terima anugerah global “Pesanan guru semasa darjah 2 ‘bintang awak belum muncul lagi’,” imbaunya. Berbekalkan semangat yang kental, Nadzreen berjaya mengorak langkah lebih baik dan menempatkan diri di kelas atasan. Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga lebih baik dengan meraih pangkat B bagi empat mata pelajaran. Alhamdulillah aku tetap bangga walaupun tak sehebat orang lain. NADZREEN RAZMAN “Ketika di tingkatan 1, aku duduk kelas paling akhir sekali dan Alhamdulillah berkat kesungguhan... aku berjaya ke kelas yang lebih baik apabila memasuki tingkatan 2 dan 3. “Keputusan PMR sangat membanggakan diri aku, 4B 1C 3D. “Aku ingat pesan Cikgu Sabariah semasa di tingkatan 1 yang dia tak mahu tengok aku di kelas akhir pada tahun hadapan,” tambahnya. Warga maya turut memberikan komen. Seperti pelajar lain, dia juga mempunyai sasaran yang ingin dicapai dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Baginya, lulus semua mata pelajaran sudah mencukupi untuk menempatkan diri di menara gading bersama rakan yang lain “Alhamdulillah aku tetap bangga walaupun tak sehebat orang lain, 6B 2D cukup untuk aku menyambung pelajaran ke peringkat diploma. “Selepas tamat diploma, aku mendapat tawaran untuk sambung pengajian di peringkat ijazah dan pada masa sama mendapat beberapa panggilan kerja termasuk di sebuah bank tempatan,” katanya yang kini berkhidmat sebagai pegawai bank di Parit Raja, Johor. Mempunyai lapan tahun pengalaman dalam bidang perbankan, Nadzreen turut menitipkan kata semangat kepada penghidap disleksia supaya tidak berputus asa. Malah dia turut menyeru supaya ibu bapa yang mempunyai anak disleksia untuk sentiasa memberi sokongan dan dorongan sehingga akhirnya berjaya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube