suria

Doa pakcik penjaja jalanan jadi asbab, wanita batal niat ambil nyawa sendiri - “Saya hampir gila, tak nak hidup dah!”

Wanita ini terharu apabila berjumpa semula dengan pakcik yang pernah membantunya sebelum ini.

SEORANG wanita gagal menahan sebak apabila dia akhirnya bersua semula dengan insan yang dicari-cari sejak dua tahun kebelakangan ini.

Rakaman pertemuan tidak diduga dengan seorang lelaki warga emas di tepi jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda, Kuala Lumpur itu dikongsikan usahawan makanan pencuci mulut, Emy di TikTok.

"Ya Allah, sudah lama cari pakcik ni. Hamba Allah ini berdoa untuk saya ketika saya jatuh terduduk dulu.

"Berair air mata pakcik itu. Sebak dia nampak kami agaknya," katanya.

Menerusi rakaman sama, kelihatan suami Emy menghulurkan sejumlah wang kepada lelaki berkenaan.

Malah Emy sendiri turut menitipkan pesanan agar lelaki berkenaan singgah ke kedai miliknya yang terletak berhampiran.

"Pakcik nak air ke makanan ambil dekat kedai saya okey. Jangan (menjual) macam ni, kasihan.

"Jangan kerja macam ni, bahaya pakcik. Tak apalah pakcik ingat saya lagi kan. Doakan saya yang baik-baik. InsyaAllah," katanya sebelum beredar pergi.

Menurut maklumat yang dikongsikan Emy, lelaki berkenaan mencari rezeki dengan menjaja keropok kering dari kereta ke kereta di persimpangan lampu isyarat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakcik misteri dekati pemuda sedang melepak, buat permintaan aneh! Persoalan terjawab selepas hantar ke pusat zakat

ARTIKEL BERKAITAN: 3 beranak ikhlas tolong pakcik kereta rosak, balik rumah dapat pula mesej mohon bantuan bayar cukai harta

Video berkenaan mengundang simpati warga maya namun ramai tertanya-tanya tentang hubungan Emy dan lelaki berkenaan.

Malah mereka ingin tahu mengapa Emi dan suaminya menyatakan mereka cuba menjejaki lelaki berkenaan sejak dua tahun lalu.

Enggan membiarkan netizen berteka-teki, Emy tampil dengan video lain bagi menjelaskan apa yang berlaku.

"Banyak jasa dia dekat saya dua tahun yang lalu. Kalau tak saya sudah tak ada dekat dunia ni.

Apa saya buat semua tak jadi pakcik... saya nak mati dan tak nak hidup dah!

EMY

"Saya sudah hampir gila sebab alami tekanan. Saya tertekan apabila ditipu sewaktu berniaga. Masa tu saya terjumpa pakcik ni, dia duduk dekat depan McDonalds. Saya tak tahulah macam mana saya boleh pergi dekat dia.

"Saya cakap... pakcik saya tak nak hidup dah. Saya nak mati. Saya dah tak larat nak menanggung macam-macam masalah dekat dunia ni. Apa saya buat semua tak jadi pakcik. Saya nak mati dan tak nak hidup dah," ujarnya mengimbas semula apa yang berlaku.

Setelah mendengar segala rintihan Emy, lelaki berkenaan menadah tangan sambil berdoa agar segala urusannya dipermudahkan selain menasihatkan agar tidak terus patah semangat.

Tangkap layar video Emy menceritakan semula kisah yang berlaku.

"Sudah dua tahun saya cuba cari pakcik ni semula. Saya pun sudah berjaya dalam perniagaan. Saya nak bagi dia duit.

"Saya tak nak dah dia kerja macam tu. Menjual dari satu kereta ke kereta lain. Niat saya, jika berjaya saya nak bantu dia.

"Allah dengar doa saya selama dua tahun ni. Akhirnya saya jumpa dia dekat lampu isyarat berhampiran sekolah menengah di Batu Muda," katanya menjelaskan cerita.

Sebagai peringatan, tindakan membunuh diri merupakan satu perbuatan berdosa besar, maka adalah lebih baik sekiranya kita menjauhinya.

Tindakan tersebut bukan jalan terakhir untuk menyelesaikan sebarang masalah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain