suria

Jejaka sado pertama kali masuk pertandingan terus menang! Jawline disamakan dengan Adu Du, GF pun ada ‘rahang tajam’

Alif bergelar juara ketika pertama kali bertanding pada tahun lalu.

TUBUH sasa, rahang pula 'tajam'.

Dua kombinasi ini menyebabkan seorang jejaka berusia 24 tahun yang dikenali sebagai Jawtitan atau Alif Roslan meraih perhatian ramai di media sosial.

Menurut Alif yang juga seorang jurulatih kecergasan, bentuk wajahnya yang ' berpetak' sehingga menyerlahkan rahang kerap menjadi topik setiap kali dia bersiaran langsung (live) di TikTok.

04 aliff

Alif turut menggunakan nama Jawtitan di aplikasi TikTok.

Malah, dia mendedahkan turut menerima komen usikan yang menyamakan bentuk rahangnya dengan watak alien, Adu Du yang popular menerusi siri animasi tempatan, BoboiBoy.

"Jawline ini semulajadi, memang sejak kecil dah ada jawline. Mungkin ikut arwah atuk kot. Selalu sangat (terima komen) dan orang masuk live akan tanya macam mana nak buat jawline.

"Mostly ada juga yang gelarkan macam Adu Du dan kepala petak. Saya okay saja. Tapi tip nak ada jawline yang saya boleh bagi adalah kena diet, itu saja.

Selama ini saya tak pernah ada badan, apatah lagi sixpack.

ALIF ROSLAN

"Nama Jawtitan di TikTok tu pula asalnya saya ambil daripada anime Attack on Titan. Teman wanita saya pun ada jawline yang semulajadi," ujar jejaka kelahiran Melaka yang menetap di Kuala Lumpur itu.

Bercerita mengenai kerjayanya dalam bidang kecergasan, Alif berkata dia mula melakukan transformasi ekoran berat badannya yang bertambah ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.

Tanpa disangka-sangka, ia membuka pintu rezeki untuknya menyertai pertandingan bina badan sehingga dinobatkan sebagai juara menerusi penyertaan pertamanya pada 2023.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang bomba sado belanja biceps terkejut tiba-tiba jadi ‘famous’, netizen jumpa akaun IG... Rupanya bertugas di balai Puchong je!

ARTIKEL BERKAITAN: Tayang body di kedai makan untuk ‘lepas geram’, 2 jejaka sado tenang dilabel ‘pengotor’ - “Kalau badan tak siap, kami tak buka baju”

"Awal-awal dulu saya tak ada terfikir untuk masuk pertandingan bina badan. Saya minat untuk buat badan sebab saya dulu asalnya kurus, tapi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tu badan saya dah mula gemuk.

"Dulu saya kerja dekat gim, bila tengok orang buat badan, masuk pertandingan macam best. Kemudian saya pun terfikir macam nak cuba. Satu hari tu saya jumpa dengan coach saya, dia pun pernah bertanding, namanya Sharul Nizam. Dia bimbing saya bab pemakanan dan latihan.

"Dan pertama kali seumur hidup saya sertai pertandingan iaitu tahun lepas menerusi Mr USN 2023, rezeki Allah, Alhamdulillah saya champion. Selama ini saya tak pernah ada badan (sado), apatah lagi sixpack," ujarnya.

02 alif

Alif bersama teman wanitanya.

Di sebalik kejuaraan bermakna itu, Alif berkata dia juga tidak terlepas berdepan pelbagai cabaran dan terpaksa mengorbankan banyak perkara demi memberi fokus terhadap pertandingan.

"Banyak rintangan saya hadapi. Dengan ada sedikit halangan kewangan dan mental tak stabil. Kena berkorban bila tengok orang makan sedap atau makan dekat mana-mana, kita bawa bekal sendiri.

"Cabaran terbesar adalah masa. Tiada masa untuk bercuti, sentiasa ada di gim. Bangun pagi masak meal. Tapi apa yang saya fikir masa tu, saya memang nak jadi juara. Saya pegang kata-kata once saya start, saya tak akan berhenti.

03 alif

Rahang Alif sering menjadi perhatian netizen yang menonton siaran langsungnya di TikTok.

"Yang menguatkan saya lagi berkat doa ibu, coach dan rakan-rakan seperjuangan. Setakat ini saya baru masuk satu pertandingan. Target untuk 2024 ni saya nak lebih lagi dan sasarkan untuk jadi juara," ujarnya.

Akhir bicara, Alif turut menitipkan pesan kepada mereka yang sedang berjinak-jinak dalam bidang kecergasan agar meletakkan sasaran sendiri dan tidak mudah untuk berputus asa.

"Pesanan saya untuk yang baru nak berjinak dalam fitness ni, first thing kena tetapkan goals dan mental kena kuat. Tak semua orang mampu hadap. Kalau rasa nak give up, kena ingat bila dah start jangan pernah rasa nak berhenti.

"Buat badan bukan senang, tapi nak hancurkan goals kita tu sekelip mata sahaja. Contoh kalau tak jaga makan, terus muscle hilang," jelasnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain