suria

Budak tak dikenali datang minta dukung, peluk! Hati aunty menangis selepas bapanya datang mohon maaf - “Dia mungkin rindu ibunya”

Siti berkongsi foto ketika dipeluk seorang kanak-kanak tidak dikenali.

RASA rindu kepada insan yang sudah meninggal dunia merupakan perasaan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

'Kesakitan' menanggung rindu itu mungkin boleh dikaitkan dengan apa yang berlaku kepada Siti_angah.jb yang terkejut didatangi seorang budak perempuan tak dikenali lalu meminta dia mendukungnya.

Apa yang lebih menyentuh hati lagi apabila budak kecil yang masih menghisap puting itu terus memeluknya ketika didukung, seolah-olah melepas rindu kepada ibunya.

"Pertama kali saya didatangi seorang anak kecil yang saya sendiri tak kenal siapa.

"Menyapa ingin didukung. Bila saya mendukungnya secara automatik (spontan) dia terus memeluk dengan erat," jelasnya.

Siti dihampiri oleh seorang kanak-kanak sewaktu sedang bekerja di pusat beli belah.

Menurut Siti, dia kemudian disapa pula oleh bapa kepada kanak-kanak perempuan tersebut.

Lelaki itu memberitahu bahawa isterinya yang juga ibu kepada kanak-kanak yang didukung itu sudah meninggal dunia.

"Pada pelukan yang kedua, bapanya minta maaf pada saya. Maaf ye kak.

"Anak mungkin rindu ibunya. Ibunya telah meninggal dunia. Al-Fatihah buat arwah ibunya," imbas Siti menceritakan semula kejadian itu yang mana video yang dikongsi menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak yatim luah rasa rindu, sejak kecil tak merasa pelukan bapa... 2 lelaki meluru datang peluk cium sebagai ‘hadiah’

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini pelik tergerak hati nak peluk anak yatim... rupa-rupanya ada sesuatu yang mahu dibisik kepadanya - “Hati jadi sebak tak terucap”

Bagaimanapun, punca kematian pasangannya tidak dijelaskan oleh si bapa dalam pertemuan singkat mereka di sebuah pusat beli belah itu.

Memahami perasaan yang terpendam dalam hati anak yatim itu, Siti hanya membiarkan dirinya terus dipeluk erat malah si kecil itu turut meletakkan kepala di bahunya.

"Aunty tidak kenal kamu nak. Tapi hati ni menangis bila melihat kamu dalam keadaan begitu memeluk aunty.

"Biarlah gambar berbicara tak perlulah aunty jelaskan panjang-panjang. Semoga kamu membesar dengan dan menjadi solehah," ujarnya sambil menitipkan doa.

Pada pelukan yang kedua, bapanya minta maaf pada saya. Maaf ye kak.

SITI_ANGAH.JB

Hantaran tersebut meraih lebih 500,000 jumlah tontonan setelah disiarkan di TikTok.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa sedih apabila melihat beberapa keping foto menunjukkan kanak-kanak itu memeluk Siti.

"Bila tengok dia peluk sis, terasa sampai ke lubuk hati. Kasihannya dia.

"Pergilah selalu jumpa dia kak. Atas dasar bagi anak tu lepas rindu. Sedih sangat bila anak kecil-kecil macam ni hilang mak atau ayah atau kedua-duanya. Saya selalu berdoa," katanya.

Komen netizen pada video.

Membalas salah satu komen tersebut, Siti menjelaskan mengenai situasi yang berlaku sebelum foto tersebut dirakamkan.

Katanya, dia dihampiri kanak-kanak berkenaan sewaktu sedang bekerja si sebuah premis di dalam pusat beli belah berkenaan.

"Saya tak kenal pun dia, tuan. Masa tu dia lalu di depan kedai saya bekerja.

"Tiba-tiba dia datang menghampiri saya. Saya harap sangat dapat berjumpa dengan dia," jelasnya membalas komen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain