BUKAN satu tapi dua kereta dimiliki lelaki ini. Namun siapa sangka, dia lebih selesa hidup sebagai gelandangan dan menjadikan kereta sebagai tempat berteduh. Kisahnya menjadi perhatian apabila dia memuat naik video yang dirakam ketika melakukan aktiviti menggoreng ikan di tepi jalan. “Masak di tepi jalan ni goreng lauk. Nanti saya masak nasi tepi jalan. “Ini kehidupan saya... saya suka macam ni. Gelandangan tapi berkereta. Saya ada dua kereta, bertukar-tukar. Saya gelandangan di mana-mana saja,” katanya. Sebahagian daripada barang-barang dapur turut dibawa di dalam kereta. Lebih dikenali sebagai Pak Din, katanya, dia mula menjalani kehidupan secara gelandangan sejak April 2006. “Sehingga sekarang, saya masih duduk dalam kereta. Kereta saya, rumah saya,” katanya yang memiliki dua buah kereta iaitu Perodua Myvi dan Proton Wira. Dia sekali lagi menegaskan bahawa tempat tidurnya sejak bertahun-tahun adalah di dalam salah satu daripada dua kereta berkenaan. “Saya tidur dalam kereta. Saya tak tidur hotel, tak ada rumah. Memang saya tidur dalam kereta,” katanya. Menjadikan tepi jalan sebagai 'dapur' untuk memasak. Menerusi video berasingan, Pak Din yang berasal dari Pendang, Kedah, sekali lagi berkongsi video dirinya sedang membakar beberapa ekor ikan kembung di tepi jalan. ARTIKEL BERKAITAN: Dapat sebiji epal, gelandangan tunjuk reaksi tak disangka! Pemberi tak tahan sebak, anak tanya soalan terus gugur air mata ARTIKEL BERKAITAN: Setahun huni stesen LRT, gelandangan hilang sehari selepas diberi baju baharu, dipotong rambut... pakaian lama ditinggalkan “Saya bakar ikan lagi ni. Kali ni 1 kilogram pula bakar, sedaplah makan nasi cicah ikan dengan air asam, cili kan bagi pedas. Masuk air belacan semua, limau nipis... sedap. “Ni masak kat Bayan Baru (Pulau Pinang). Tapi terlupa garam dengan kunyit, (ada) dalam kereta saya yang satu lagi. Saya bakar ikan ni tawarlah. Tak apa, nanti buat air asam, ikan masin balik kan. Kena pergi ambil. “Beras ada, garam dan kunyit pula tak ada. Kereta ni nak balik ke kampung, sebab tu saya kemas barang-barang basah dan letak kat kereta satu lagi. Saya makan macam ni je, tak ada kuah-kuah. Saya suka, ini selera kampung masa saya duduk dengan atuk dulu,” ujarnya. Membersihkan but kereta untuk tujuan balik kampung. Menjawab pelbagai persoalan netizen, Pak Din berkata, dia merupakan pekerja swasta tetapi suka hidup gelandangan. “Saya tak mahu dan tak suka tinggal di rumah. Gelandangan mewahlah ni,” ujarnya. Kebahagiaan bukan hanya kehidupan mewah. NETIZEN Tidak menyatakan usianya, Pak Din memaklumkan dia sudah berkahwin dan dikurniakan lima cahaya mata. Bagaimanapun, Pak Din tidak menyatakan sama ada keluarganya turut sama hidup gelandangan sepertinya. “Dah lebih 16 tahun begini, orang tengok saya dah tak malu. Orang nak kata apa katalah, janji saya happy. Dari 24 April 2006 hingga sekarang,” katanya. Meletakkan kenderaannya di tepi jalan. Di ruangan komen dan perkongsian di platform media sosial lain, rata-rata netizen terkejut dengan kehidupan Pak Din. “Gilalah. 17 tahun dah duduk dalam kereta. Masak dekat tepi jalan je. Rasanya dia mampu je nak sewa rumah ni. Kereta ada dua. Tapi nak buat macam mana, dah dia rasa selesa dan rasa itu bahagia dia, biarlah dia. “Kebahagiaan bukan hanya kehidupan mewah, teruskan bang janji bahagia,” katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube