suria

Tiga tahun ‘honeymoon’, hari-hari suami belikan makanan... Isteri tak pandai masak akhirnya sedar diri, kini pandai buat asam pedas!

Dulu suami hanya membeli makanan dari luar, kini isteri boleh memasak pelbagai sajian. -Gambar hiasan

DIBESARKAN dengan adanya pembantu rumah, kehidupan tentunya menjadi lebih mudah kerana segala-galanya sudah tersedia di depan mata.

Bagi seorang wanita, dia mengakui tidak mempunyai banyak pengalaman di dapur dek kerana kesenangan itu sehinggalah bergelar isteri orang.

"Aku dibesarkan bersama bibik-bibik yang sentiasa masak untuk keluarga. Aku tak pernah masak sendiri untuk famili daripada A hingga Z. Aku cuma tolong sikit-sikit je," katanya menerusi satu luahan di grup Facebook.

Namun selepas mendirikan rumah tangga, terdetik hatinya untuk memasak dan sebagai permulaan dia menggunakan cara mudah dan segera seperti ayam goreng sejuk beku, sardin dan santan kotak.

Seorang wanita melakukan pelbagai kerja rumah kecuali memasak. -Gambar hiasan

Turut memberi inspirasi kepada wanita itu untuk belajar memasak adalah ibu mentuanya yang sebelum ini sering memasak untuk keluarganya.

"Mak bersungguh-sungguh masak untuk anak-anak termasuk saya, menantu je. Dulu mak masakkan aku bekal setiap hari. Aku bangun mandi, siap-siap, bekal dah siap.

"Aku memang tak suka masak-masak. Tolong-tolong pun sebab aku rasa takkan aku nak duduk tunggu makanan siap tak buat apa-apa. Aku tengok semua kakak ipar buat kerja kat dapur. Aku sebagai menantu bongsu pun segan sebab aku seorang je tak pandai masak," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Buat semua kerja rumah, tak culas beri nafkah... Isteri tetap anggap suami tak perfect sebab tak pandai masak

ARTIKEL BERKAITAN: Suami buntu dah anak 3 tapi isteri malas masak... barang dalam fridge semua rosak, asyik bergosip adik-beradik - “Baju tak basuh tak lipat tu memang tak payah cerita la”

Walaupun tidak pandai memasak, suri rumah itu bersyukur kerana suaminya memahami, sambil menambah ibunya sendiri turut memberi nasihat.

"Suami kata tak pandai masak tak apa, asalkan rajin. Rajin tolong, rajin tanya.

"Umi (ibu) pun cakap, nak buat apa-apa pun, jadi yang terbaik. Nak jadi suri rumah, jadilah suri rumah yang berkualiti. Aku pun terfikir, sampai bila aku nak macam ni, tak berubah dan tak masak, makan pun suami beli je.

"Tiga tahun kahwin aku buat perangai tak masak. Dulu aku fikir sebab kami duduk berdua je, buat apa susah-susah nak masak. Bazir masa dan tenaga. Bila tidur rumah mak, suami pergi kerja, mak yang masak bekal juga padahal anak dia dah kahwin," katanya lagi.

Seorang isteri mencuba pelbagai resipi. -Gambar hiasan

Bermula dengan masakan yang tidak sedap, lama-kelamaan usaha wanita itu belajar memasak menampakkan perkembangan positif.

"Aku pun dah mula rasa seronok masak-masak sekarang. Sekurang-kurangnya aku ada aktiviti berfaedah daripada asyik main telefon.

Rasa seronok masak-masak sekarang. Sekurang-kurangnya aku ada aktiviti berfaedah daripada asyik main telefon.

ISTERI

"Suami pergi kerja pukul 5.30 pagi. Pukul 6.30 petang dia balik, makan malam dah ready. Aku bangga sebab suami suka masakan aku. Dia makan pun bertambah.

"Aku pun boleh upload gambar masakan aku kat status WhatsApp hari-hari. Buat motivasi sikit supaya aku terus istiqamah," katanya.

Pelbagai sajian yang boleh dimasak seperti masak merah. -Gambar hiasan

Selain memberi galakan, kata wanita itu suaminya juga rajin masuk ke dapur dan membantunya menyiapkan bahan-bahan untuk memasak.

"Dia tolong siang ikan dan cuci ayam. Buat masa ni, aku masih belum nak belajar siang ikan tapi aku dah pandai cuci ayam. Buang-buang lemak ayam.

"Bahagian-bahagian dalam ayam macam pedal, jantung, hati tu aku masih geli. Jadi, benda-benda tu semua aku buang," katanya lagi.

Akhirnya dia kini dapat menarik nafas lega dan berbangga apabila mampu memasak pelbagai jenis makanan seperti masak asam pedas, masak lemak, sayur tumis, sayur lemak, masak kicap, masak sambal dan masak merah.

Malah dia turut mencuba resipi daripada personaliti masakan popular Khairulaming.

"Aku nak belajar masak macam-macam lagi. Semalam aku belajar buat sambal ketuk dengan mak. Ramadan raya dah dekat, aku fikir nak belajar masak lauk raya pula," katanya dengan yakin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain