HUBUNGAN pemuda ini dengan kakaknya begitu akrab memandangkan wanita itu satu-satunya adik beradik kandung yang dimiliki di dunia ini. Maka tidak hairanlah Muhammad Zul Iskandar, 21, tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dan menangis apabila melihat kakaknya berada di atas pelamin untuk dinikahkan. Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Is menceritakan semula kisah di sebalik video yang dirakam ahli keluarganya dalam majlis pernikahan yang berlangsung 5 Januari lalu. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Waktu itu sesi nak nikahkan kakak saya. Bila saya tengok kakak kahwin tu memang terus rasa sebak gila. Tambah pula saya nampak kakak pun menangis atas pelamin. "Saya sembunyi dekat belakang bapa saudara masa menangis. Dia tolong tenangkan dengan tepuk belakang saya. "Tujuan saya sembunyi tu sebab tak nak bagi kakak nampak yang saya tengah menangis sebab dia sedang dinikahkan," ujarnya. Menurut anak kedua daripada lima adik beradik itu, dia tidak pernah berenggang dengan kakaknya, Siti Zulaiha, 23, sejak kecil lagi yang mana jarak umur mereka cuma dua tahun. ARTIKEL BERKAITAN: Abang buat 'scene' di majlis kahwin, menangis adik nikah dulu... Tetamu tumpang bersedih ARTIKEL BERKAITAN: Gadis nangis teresak tak bagi abang nikah! Rupanya ada ‘kisah hitam’ satu famili rahsia ‘along kesayangan’ dah pergi kursus kahwin Selain sepenuhnya sudah menjadi milik orang lain, Is juga bimbang memikirkan kehidupan Zulaiha selepas bergelar isteri dan mendoakan yang baik-baik untuk rumah tangganya. "Selepas ibu bapa kami berpisah, mak saya kahwin lain. Tapi saya memang rapat dan selesa dengan kakak kandung saja. Yang lagi tiga orang tu adik tiri kami. "Jadi banyaklah memori kami membesar sama-sama yang saya tak boleh lupakan. Saya sebak bila fikirkan lepas ni dia hidup dengan orang lain. "Selama ni kami berdua je kalau buat apa-apa tapi tiba-tiba tinggal saya seorang diri pula lepas ni. Situasi tu yang susah nak terima, tapi saya reda dengan ketentuan Allah," jelasnya. Fasal saya menangis tu kakak cuma tahu selepas orang lain ceritakan semula dekat dia. MUHAMMAD ZUL ISKANDAR Is yang bekerja sebagai mekanik di Kuantan, Pahang berkata, dia sebelum ini turut mengalirkan air mata sewaktu kakaknya mengikat tali pertunangan. Dia yang memuat naik sendiri video tersebut di TikTok sama sekali tidak menyangka rakaman yang diambil oleh bapa saudaranya itu akan menjadi tular. "Pasal saya menangis tu kakak cuma tahu selepas orang lain ceritakan semula dekat dia. Masa hari kejadian dia cuma menangis selepas selamat dinikahkan saja. "Selepas kakak dah kahwin ni, saya kena kuat sikitlah sebab ada banyak tanggungjawab terhadap adik-adik dan ibu bapa saya," ujarnya lagi. Is (kiri) bersama ahli keluarganya. Sehingga kini, video dikongsikan itu meraih lebih 200,000 jumlah tontonan dan mendapat pelbagai reaksi netizen. Dalam pada itu, Is turut menitipkan pesanan buat kakak tercinta dengan suaminya yang baru melayari kehidupan sebagai pasangan suami isteri. "Saya kongsikan video tu dekat TikTok hanya untuk dijadikan sebagai kenangan momen kakak berkahwin. Saya tak sangka pula boleh viral. "Saya harap suami dia boleh menjaga kakak dengan baik. Saya doakan hubungan mereka berkekalan sehingga akhir hayat dan bahagia sentiasa," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube