ADA rakyat Malaysia dilihat masih memandang rendah sumbangan pekerja warga asing yang sah di negara ini. Kehadiran mereka di Malaysia rata-ratanya untuk mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor yang membenarkan pekerja asing diupah. Mereka juga tahan lasak untuk melakukan pelbagai kerja tanpa mengira siang dan malam, panas atau hujan, sekali gus menjadi pilihan majikan. Di sebalik kerja keras golongan ini mencari rezeki di bumi Malaysia, ada dalam kalangan mereka yang akaun banknya begitu 'mewah' dengan wang simpanan. Seorang pekerja warga Bangladesh menunjukkan pasportnya yang sah. -Gambar hiasan/The Star Perkara itu didedahkan sendiri oleh seorang pemuda tempatan yang bertemu dengan seorang lelaki warga Bangladesh yang merantau ke negara ini untuk bekerja. Menurutnya, pekerja Bangladesh itu meminta bantuannya untuk mengeluarkan wang dari akaun simpanan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah kedai serbaneka. "Ada orang Bangladesh minta tolong aku keluarkan duit dari mesin ATM. Aku tanya berapa nak keluarkan. Dia kata RM6,000," katanya menerusi satu hantaran di laman X. ARTIKEL BERKAITAN: “Niat kerja kena kuat” - 19 tahun cari rezeki di Malaysia, pekerja Bangladesh makan nasi dengan garam je... dakwa kumpul RM800,000 ARTIKEL BERKAITAN: Majikan berat hati nak lepas pekerja asing! Walau dah belanja tiket flight balik Bangladesh, tetap akan ikhtiar terbangkan semula ke Malaysia Sebelum pengeluaran dibuat, pekerja asing itu turut meminta dia memeriksa baki akaun simpanannya dan ketika itulah pemuda itu tergamam melihatnya angka yang tertera di skrin. "Tengok baki dia dulu. Lebih RM300,000 kalau tak silap tengoklah. Terasa merempat kat negara sendiri," ujarnya mengimbas perkara yang tidak disangka-sangka itu. Pekerja asing dikatakan jimat berbelanja untuk menyimpan di bank. -Gambar hiasan Bagi mengelakkan salah faham, pemuda itu menegaskan bahawa semakan baki akaun simpanan itu dibuat atas permintaan lelaki Bangladesh itu sendiri. "Baki tu dia yang suruh tengok. Bukan aku memandai," jelasnya tanpa mendedahkan pekerjaan sebenar warga Bangladesh itu serta tempoh perkhidmatannya di Malaysia. Mereka pandai berjimat dan menabung. NETIZEN Dia yang membuat pendedahan itu sekadar untuk berkongsi rasa kagum dengan apa yang dilihatnya turut mengejutkan netizen sehingga menjadi bualan hangat. Rata-rata netizen berpandangan pekerja asing seperti itu kebiasaannya mengamalkan gaya hidup sederhana dan rajin menyimpan. Sekumpulan pekerja Bangladesh bertugas di tapak pembinaan. -Gambar hiasan / AZHAR MAHFOF The Star "Pekerja asing kebiasaannya rumah pun majikan sediakan, tak perlu bayar. Gaji mereka bersih tak guna pun. Yang aku nampak mereka beli macam tong-tong (kongsi) duit beli beras, tepung dan minyak. Masak sendiri kat rumah. "Mereka tak ada rasa nak healing staycation. Tak ada nak beli itu ini, nak kereta mahal ke apa. Pakai pun hari-hari baju kerja, makan nasi timun pun dah okay. Itu pun mereka tanam timun sendiri. Kalau kita semua ada mentaliti macam mereka, kita pun boleh kaya. "Mereka pandai berjimat dan menabung. Makan yang murah-murah atau masak sendiri. Guna pengangkutan awam. Bila hari Jumaat, sanggup berjalan kaki beramai-ramai ke masjid. Orang kita baru masuk kerja dah nak pakai Honda City, Gred 44 beli Vellfire atau Alphard, minum kopi Starbucks," demikian antara komen netizen. Dalam pada itu, segelintir netizen mencadangkan supaya pemuda itu menyediakan 'kelas berbayar' kepada warga Bangladesh berkenaan untuk mahir menggunakan mesin ATM. "Saya cadang untuk kamu ajar dia guna (mesin ATM) sampai pandai dan kenakan caj untuk pembelajaran. Hidup ni susah, kena pandai sekarang," kata seorang netizen. Sebagai peringatan, seorang netizen menasihatkan mana-mana individu agar tidak mengeluarkan wang dari akaun simpanan orang tidak kenali kerana ia berisiko dan mengundang bahaya. "Mungkin ada yang jujur, tapi ini modus operandi sindiket-sindiket dan secara langsung, awak boleh jadi kambing hitam atau suspek utama kalau nasib tak baik," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube