suria

Rumah berpenghuni dikata berhantu, satu Malaysia kena tipu! Kain kuning, insiden rasuk cuma rekaan

Tangkap layar rakaman 'live' aktiviti paranormal di sebuah rumah.

PELBAGAI kisah seram dan mistik yang dipaparkan di media sosial, termasuklah aktiviti paranormal.

Rata-rata video paranormal menyaksikan sekumpulan individu memasuki kawasan terbiar atau rumah tinggal bagi merakam pergerakan entiti misteri.

Terbaharu, tular kisah mengenai rumah sewa RM150 dikatakan berhantu dan mengalami gangguan mistik.

Namun, apa yang tidak sedap didengar apabila sekumpulan TikToker paranormal itu didakwa menceroboh rumah orang untuk dijadikan ‘content’ semata-mata.

Perkara itu didedahkan oleh salah seorang ahli keluarga kepada pemilik rumah tersebut.

Antara rakaman yang dibuat oleh kumpulan paranormal.

“Sampai hati TikToker paranormal ceroboh rumah ni demi content mereka. Rumah ini ibu mentua punya, kakak ipar dan abang ipar aku dibesarkan.

“Aku kahwin pun kat rumah ni tau. Memanglah rumah ni kena tinggal sebab pemiliknya duduk di Kuala Lumpur,” tulisnya di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah bujang berhantu! Tegak bulu roma nampak kelibat pocong melintas tapi penghuni masih OK walau pintu peti ais terbuka sendiri, lampu tiba-tiba terpadam

ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa macam nak pengsan” - Hampir 2 tahun terkandas di luar negara, selepas pulang wanita tergamam tengok kediaman jadi ‘rumah hantu’

Mengulas lanjut, katanya, rumah itu masih dikunjungi untuk aktiviti perjumpaan keluarga.

“Setiap kali ada family gathering atau sanak saudara berkumpul tiap kali raya, kat rumah ni memang meriah. Rumah ni tak ada-apa masalah pun dari dulu sampai sekarang.

“Rumah ni juga tak pernah disewakan pada sesiapa pun seperti kenyataan mereka. Satu Malaysia kena scam dengan paranormal korang.

Followers pun tak tahulah macam mana boleh taksub dengan benda-benda macam ni. Nama-nama korang yang ceroboh rumah ni dan melemparkan fitnah semua dalam rekod ye.

Kumpulan paranormal didakwa menceroboh kediaman berpenghuni.

Wanita itu turut kesal apabila mendakwa dirinya disekat (block) oleh kumpulan paranormal itu ketika bersiaran langsung (live) di TikTok.

Sehubungan itu, dia menggesa kumpulan itu tampil memberi penjelasan sebelum perkara yang lebih buruk berlaku.

“Semata-mata nak tarik viewers dan dapat hasil daripada fitnah ni sesuka hati je korang buat live dan content sampai menceroboh masuk rumah orang, sedih tau,” katanya lagi.

Rumah itu tidak berhantu, hanyalah cerita yang dibuat-buat.

TIKTOKER PARANORMAL

Susulan pendedahan itu, salah seorang daripada TikToker berkenaan tampil membuat video bagi memohon maaf berhubung kisah yang ditularkan.

“Mengenai kejadian ceroboh yang dituduh oleh tuan rumah terhadap saya... saya dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf sangat-sangat pada waris dan tuan rumah dengan kesilapan diri saya.

“Apa yang saya ceritakan rumah tu berhantu, mempunyai kisah mistik, semuanya tidak benar sama sekali. Ini kerana maklumat yang saya terima adalah ada penyewa yang duduk, sedangkan tiada penyewa pun... rumah itu masih dihuni,” katanya.

Salah seorang TikToker memberi penjelasan dan membuat permohonan maaf.

Dia mengakui terkilan kerana disebabkan perbuatannya telah berkongsi cerita yang tidak benar kepada rakyat Malaysia terutama para pengikutnya di laman sosial.

“Saya mohon maaf di atas kekhilafan saya yang tidak menyiasat dengan lebih betul mengenai rumah yang dikatakan viral berhantu. Rumah ini tidak berhantu dan masih lagi berpenghuni.

“Saya ingin diisytiharkan apa yang anda lihat kononnya sebelum saya masuk ke rumah itu ada kejadian rasuk, kain kuning... itu semua telah di ‘set up’ oleh paranormal,” katanya yang merujuk kepada dua ahli kumpulan paranormal.

Susulan pengakuan dan permohonan maaf, dia berharap semua pihak dapat menghentikan segala cerita berkenaan rumah hantu RM150 yang sekadar rekaan semata-mata.

“Segala gangguan mistik yang terjadi pada malam live itu hanyalah lakonan dan palsu. Mereka mereka-reka cerita tentang rumah itu.

“Saya harap tuan rumah dapat maafkan saya kerana saya tidak tahu tentang rumah itu. Rumah itu tidak berhantu, hanyalah cerita yang dibuat-buat,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain