suria

Tak ada kaki, lelaki ini memandu guna tangan! Gerakkan kereta guna besi buruk, yang penting boleh cari rezeki

Lelaki tanpa kaki ini bijak mencari alternatif untuk memandu kereta.

NIKMAT kesihatan adalah salah satu daripada anugerah Tuhan yang paling berharga dalam kehidupan manusia.

Namun, bagi golongan orang kurang upaya (OKU), mereka harus tabah menjalani hidup dengan batasan yang ada pada diri.

Melalui satu video tular di TikTok @galerikeretaofficial, dikongsikan kisah kehidupan seorang lelaki dikenali sebagai Aiman, 26, yang sejak lahir kehilangan separuh badannya, iaitu dari bahagian pinggang hingga ke bawah.

Aiman menunjukkan mekanisme ciptaannya untuk membantu pemanduan.

Menariknya, Aiman atau nama penuhnya Fathurrahman Aiman, dilihat mampu memandu dengan sendiri melalui beberapa pengubahsuaian yang dilakukan terhadap kenderaannya.

"Saya ambil besi dari pusat kitar semula untuk bentukkan jadi tongkat pedal supaya saya boleh tekan minyak dan brek menggunakan tangan kanan saya. Sementara tu saya boleh duduk atas kerusi macam biasa.

"Tangan kiri saya pula digunakan untuk mengemudi stereng, buka lampu signal, aktifkan wiper, tukar gear dan tarik brek tangan. Tangan kanan saya akan stay je dekat pedal ni sebab ia ibarat kaki saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Momen ‘sweet’ pasangan OKU depan gerai yong tau foo tarik perhatian netizen... Suami dipuji tak berkira dengan isteri

ARTIKEL BERKAITAN: Geng OKU pendengaran jadi perhatian gara-gara video ‘ugly iPhone case challenge’, ramai terhibur tengok ‘casing’ tapak kaki

"Jadi itulah, tangan kiri saya ni kena cekap dan pantas buat kerja, sebab tangan kanan saya memang tak boleh tolong. Alhamdulillah dengan teknik ni, saya boleh berdikari memandu sendiri.

"Saya selalu drive guna kereta ni untuk buat job kurier, hantar barang semua," kata Aiman yang turut menolong kakaknya berniaga gerai makan.

Selain itu, Aiman yang menetap di Taman Merdeka, Melaka juga memaklumkan dia sudah mendapatkan kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memandu dalam keadaan sedemikian.

Saya kenal budak Aiman ni, memang daripada zaman sekolah suka buat semua benda sendiri, seorang yang sangat kuat berusaha.

WARGA MAYA

Bercerita lanjut kepada mStar, Aiman menjelaskan bagaimana dia menjalani aspek pemanduan yang lain seperti mengisi minyak dan membayar tol.

"Saya sebenarnya di Melaka ni dikenali sebagai Aiman Skateboard, sebab ke mana-mana saya pergi, saya akan bergerak menggunakan papan luncur. Saya duduk di atas papan luncur tu dan 'kayuh' menggunakan tangan.

"Ramai yang salah anggap saya gunakan kerusi roda tapi sebenarnya tidak. Untuk naik dan turun kereta, saya tiada masalah, tangan saya cukup kuat untuk mengangkat berat badan saya bagi masuk ke dalam dan keluar dari kereta.

"Kalau nak isi minyak pun saya boleh buat seorang diri. Saya dah terbiasa dari awal usia untuk hidup seperti orang normal, jadi kekurangan ni tak berikan impak kepada saya. Hiking pun saya dah pernah buat dengan merangkak.

"Tentang bayar tol tu, saya akan gunakan tangan kiri saya untuk ganti pegang tongkat pedal sementara tangan kanan saya sentuh kad Touch 'n Go," jelas Aiman.

Aiman (tengah) turut aktif bermain sukan bola tampar.

Ketika ditanya apakah yang menjadi pembakar semangat untuk dia terus menjalani hidup seperti biasa, Aiman berkata dia tidak mahu memandang keadaan fizikal sebagai kekurangan dirinya.

"Saya cuma nak maju ke hadapan. Saya tengok ada orang yang lebih susah daripada saya tapi mereka boleh berjaya. Jadi saya pun boleh maksudnya.

"Lagi satu, saya tak nak susahkan orang sekeliling saya macam ayah saya. Sebab tu saya ikhtiarkan juga cara supaya boleh pandu kereta sendiri.

"Saya modify kereta ni dengan ambil inspirasi daripada beberapa sumber seperti YouTube," kata Aiman.

Keadaan di dalam kereta Aiman.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya kagum dengan kecekalan Aiman menempuhi liku-liku kehidupannya.

"Saya kenal budak Aiman ni, memang dari zaman sekolah suka buat semua benda sendiri, seorang yang sangat kuat berusaha.

"Semoga dengan kisah Aiman yang viral ni, ada yang bermurah hati dapat sponsor kereta baharu mesra OKU untuk dia.

"Didoakan agar Aiman diberikan kekuatan dan dipermudahkan urusan hidupnya, kepada yang lain, ambil inspirasi daripada kisah abang ni," ujar beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain