suria

Gadis datang temuduga mengaku enggan belajar, tak suka latihan industri... Orang HR terkejut, calon hanya minat main game

Seorang gadis membuat permohonan untuk menjalani latihan industri. -Gambar hiasan kanan/Freepik

BUKAN mudah untuk mendapat panggilan temuduga pekerjaan mahupun latihan industri dek kerana persaingan yang semakin tinggi.

Suasana temuduga juga begitu mencabar, kerana soalan yang bakal ditanya kadang-kadang di luar jangkaan.

Penemuduga dan bahagian sumber manusia (HR) juga tidak terkecuali diuji dengan pelbagai ragam calon-calon yang hadir sebelum proses saringan dan pemilihan dilakukan.

Baru-baru ini seorang penemuduga berkongsi kisahnya ketika berdepan dengan seorang calon pelatih industri.

Permohonan dihantar kepada bahagian sumber manusia. -Gambar hiasan/Freepik

“Seorang intern perempuan datang temuduga. Kita tanya sepatah, dia jawab sepatah. Jenuh HR pusing tanya olah ayat macam-macam nak bagi dia cakap.

“Saya belek-belek isi dalam fail. Markah hampir kesemuanya C, D, E dan F,” tulis seorang penemuduga merujuk keputusan peperiksaan gadis itu bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menerusi hantaran di Facebook, penemuduga itu, Dr Mardiana Mat Ishak meluahkan rasa simpati dengan gadis itu sekali gus terbayangkan anaknya sendiri.

“Saja saya tanya soalan, dapat markah macam ni best? Rasa-rasa sebab apa dapat markah macam ni?” soalnya yang merupakan seorang pendidik, jurulatih dan penceramah motivasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar intern serah tubuh, tertipu dengan janji senior alim di pejabat! Terus tak jadi kahwin sebab ‘dah dapat’

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar intern sewa kondo jarak 5 minit dari KLCC, gadis Terengganu ini ada sebab mampu hidup selesa... Tahan diri godaan ‘shopping’

Bagaimanapun jawapan yang diberikan sangat tidak disangka-sangka sehingga dia tergamam dan hanya mampu beristighfar di dalam hati.

Saya tak suka belajar,” jawab gadis itu ringkas.

Pihak penemuduga memberi senyumpan kepada calon. -Gambar hiasan/Freepik

Meneruskan perbualan, penemuduga itu bertanya tentang perancangan gadis itu dalam tempoh lima tahun, termasuk sebab kenapa dia tidak suka belajar dan minatnya di masa lapang.

Tak tahu. Tak suka belajar sebab saya tak suka fikir. Saya suka main game. Main game ni bagi kita pengalaman main kat luar. Nanti saya nak kerja buat video, buat duit kat YouTube atau TikTok,” kata gadis itu.

Jawapan yang diberikan ternyata mengejutkan Mardiana, sebelum melihat video-video yang dihasilkan calon berkenaan di platform media sosial.

Hidup ni, yang penting sentiasa nak belajar.

DR MARDIANA MAT ISHAK

“Dalam hati, Allah... semuanya tentang game. Impian dia nak ada meja kerusi gamer. Followers tak seberapa, dalam berpuluh macam tu sejak 2020,” ujarnya.

Ditanya sama ada dia berminat melakukan latihan industri di organisasi tersebut, pelajar itu tanpa berselindung menjawabnya tidak sebelum bertukar fikiran.

“Apabila HR beri penjelasan lagi sekali, tiba-tiba dia kata nak pula. Mungkin baru terfikir sebab nak dapat tempat intern. Mohon untuk intern, mak yang tolong carikan,” katanya mengimbas sesi temuduga itu.

Seorang gadis berminat bermain permainan video. -Gambar hiasan/Freepik

Menurut Mardiana lagi, pihaknya bagaimanapun membuat keputusan tidak mengambil gadis itu mengikuti latihan industri kerana enggan mengambil risiko.

“Tak nak ambil risiko sakit kepala urus budak intern, kerja tak seberapa, elaun dibayar, tapi ada masa main game masa kerja di pejabat hari-hari.

“Saya simpati dan kasihan. Sebab nampak kesan main game tu, memang cara dia macam blur. Tak kisah kita introvert. Orang yang suka bekerja depan skrin memang biasanya pendiam.

“Nasihat saya, fikir baik-baik. Awak perempuan, nanti akan berkahwin, ada anak. Takkan hidup awak nanti hanya main game je?” katanya.

Bagi mengelakkan kekeliruan, Mardiana menegaskan dia tidak berniat untuk merendahkan mana-mana individu yang mempunyai pencapaian tidak cemerlang dalam peperiksaan.

“Saya tak kisah orang yang tidak mahu sambung belajar secara formal ke peringkat seterusnya. Tetapi apabila kita tanya suka belajar atau tak (sebab belajar ni tak formal pun boleh belajar), jawapannya tidak, jadi susahlah.

“Hidup ni, yang penting sentiasa nak belajar (sama ada formal atau tidak formal). Saya harap kita semua, yang ada sedikit kesedaran tentang isu ini, dapat buat sesuatu dengan kapasiti yang ada dengan usaha yang boleh kita buat bersama,” kata Mardiana lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain