suria

Polis trafik risau anggota junior tersilap langkah, terjebak hutang keliling pinggang - “Punca gejala negatif adalah masalah kewangan”

Seorang polis trafik berkongsi pengalaman menguruskan kewangan.

SEJAK akhir-akhir ini kecoh di media sosial mengenai anggota polis trafik yang didakwa meminta wang daripada pengguna jalan raya untuk menyelesaikan saman trafik.

Perkara itu sedikit-sebanyak mencalarkan imej badan beruniform terutama daripada sudut kredibiliti mereka dalam menjalankan tugas.

Susulan itu seorang anggota polis berkongsi pengalamannya mengenai perihal pengurusan kewangan terutama kepada rakan-rakan sejawatnya.

Memulakan amalan menyimpan dari sekarang.

Dia mengakui bergelar penjawat awam bukannya tugas yang mudah, terutamanya apabila diamanahkan kuasa kerana terdedah dengan godaan duniawi.

“Jika berbual, mulut saya tak berhenti ulang... jaga kewangan, kawal gaya hidup, kalau boleh jangan berhutang. Amal tabiat menyimpan bermula daripada sekarang.

“Kenapa saya selalu ulang jaga kewangan? Ini kerana antara punca terjadinya gejala negatif dalam kalangan perjawatan awam adalah masalah kewangan,” tulis anggota itu di Facebook.

Dikenali sebagai Abam Trafik, dia berkata segelintir individu yang baru bekerja sering membuat pinjaman bank dengan alasan mahu berbudi dengan ibu bapa di kampung dan bakinya akan disimpan dalam unit amanah.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh mat salih dari UK kena saman, polis didakwa beri 2 pilihan cara bayaran... Pergi balai atau ‘duit tepi’

ARTIKEL BERKAITAN: Acah-acah tanya stesen minyak masa roadblock, dapat jawapan terus masuk gear... Mujur abang polis bijak, sah pemandu buat salah!

“Kononnya sebagai simpanan masa depan. Inilah ilmu songsang yang ditanam dalam minda orang kerja kerajaan. Entah daripada mana ilmu mereka dapat, buat pinjaman bank dengan alasan menyimpan.

“Belum sampai dua tahun, simpanan tu dikorek sikit demi sikit sampailah nanti mereka buat pinjaman semula untuk berkahwin. Lepas dua tiga tahun berkahwin, pasangan mula mengeluh gaji tak cukup,” ujarnya.

Seorang polis trafik berkongsi pengalamannya sendiri. -Gambar FB Abam Trafik

Tambah Abam Trafik, niatnya untuk terus berkongsi ilmu berkaitan pengurusan kewangan kepada orang di sekeliling agar mereka tidak tersilap langkah.

“Biarlah mereka (anggota junior) nak bosan dengan saya, asalkan saya sentiasa sampaikan nasihat untuk mereka. Kalian masih muda, perjalanan dalam polis masih jauh. Gaji masih fresh. Jangan buat kesilapan yang ramai orang dah buat.

“Gaji yang kita dapat setiap bulan tu belum tentu jadi milik kita. Ada yang sampai tahap kad bank hanya sebagai tempat persinggahan gaji sahaja,” katanya.

Gaji yang kita belanjakan adalah untuk kayakan orang lain, gaji yang kita simpan adalah untuk kayakan diri sendiri.

ABAM TRAFIK

Menurutnya jika gaji naik setiap tahun, adalah lebih baik jika jumlah kenaikan itu disimpan untuk kegunaan masa depan berbanding digunakan untuk tujuan tidak berfaedah.

“Kalau dapat kenaikan gaji tahunan RM100, setahun dah ada simpanan RM1,200. Kenaikan gaji tahun kedua, dah ada simpanan RM2,400 setahun.

“Kalau kenaikan gaji tahun ke-10, dah boleh menyimpan RM12,000 setahun. Begitulah seterusnya. Tak dapat simpan semua, separuh pun tak mengapa, asalkan ada,” katanya.

Anggota polis trafik itu juga sentiasa mengingati pesanan mentor kewangan mengenai perbelanjaan dan simpanan.

Emas merupakan salah satu cara simpanan dan pelaburan. -Gambar FB Abam Trafik

“Gaji yang kita belanjakan adalah untuk kayakan orang lain. Gaji yang kita simpan adalah untuk kayakan diri sendiri. Kalau nak pastikan gaji kita kekal menjadi milik kita, tukarkan sedikit dalam bentuk emas. Pasti jadi milik kita.

“Emosi penyimpan emas ni lain. Naluri penyimpan emas ni asyik nak tambah dan nak simpan. Tak sama macam menyimpan dalam bank. Kejap-kejap periksa baki, kejap fikir nak belanja, kejap fikir nak ke sana, kejap fikir nak ke sini,” katanya lagi.

Mengamalkan pendekatan itu bersama isteri, kata Abam Trafik, 10 peratus gaji mereka disimpan dalam bentuk emas, manakala 10 peratus lagi disimpan di bank.

“Perjalanan kami masih jauh, anak masih bersekolah, kenaikan kos sara hidup tidak berhenti, kami pun teringin nak menunaikan umrah dan haji. Banyak lagi impian dan keinginan kami.

“Nak capai impian, perlu ada pengorbanan. Kami mahu bersara dalam keadaan tenang dengan simpanan yang cukup tanpa hutang,” katanya di Facebook.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain