suria

Usir tetamu, campak keluar barang! Pemilik homestay dedah kisah sebenar - “Ada duit bukan pelepasan buat apa saja”

Tangkap layar video kejadian di sebuah homestay.

BAGAIKAN mimpi ngeri buat sekumpulan tetamu yang menginap di sebuah homestay apabila diberi layanan buruk gara-gara lewat mendaftar keluar.

Tular rakaman menunjukkan seorang wanita yang dipercayai pemilik homestay melemparkan beg milik tetamu ke luar rumah.

Kedengaran juga pertengkaran antara pemilik homestay dengan beberapa tetamu yang sedang bersiap keluar sambil membawa beberapa beg termasuk bagasi.

“Ya, saya mengaku kami lambat check out. Kalau makcik (pemilik homestay) nak kenakan bayaran sehari RM100 hingga RM200 pun saya bayar.

“Tapi jangan halau kami macam anjing baling makanan apa semua. Allahuakbar,” katanya dengan nada kesal menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial.

Antara barang yang dicampak ke luar rumah.

Menurut tetamu itu lagi, mereka bukan sengaja untuk lewat mendaftar keluar dari homestay tetapi terlelap selepas penat menguruskan perniagaan di sebuah acara.

“Semalam selepas niaga event di Alor Setar, hantar barang untuk Perlis pula. Jadi, sampai pagi tadi pukul 8. Terlelap dan terjaga lewat sejam saja,” jelasnya.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah homestay di Alor Setar, Kedah pada Jumaat.

Susulan kekecohan yang berlaku, pihak pemilik homestay tampil menafikan tetamu bukan daftar keluar lewat sejam, sebaliknya lebih dua setengah jam.

Menurut anak pemilik, tetamu sudah pun diberikan kelonggaran untuk mendaftar keluar sehingga pukul 1 petang tanpa dikenakan sebarang caj tambahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Homestay bau bangkai sebab tetamu tinggal telur lepas check-out, pemilik gembira dapat jadi ‘bapa 13 itik’

ARTIKEL BERKAITAN: Syoknya! 19 sekeluarga ‘serbu’ homestay tepi sawah selepas setahun tak jumpa, pakai kain pelikat dan batik je... mudah, selesa dan meriah

“Pukul 1 pagi, (tetamu) WhatsApp minta keluar pukul 2 petang. Mak balas subuh pagi tadi beritahu kena check out paling lewat pukul 1 petang sebab ada orang nak masuk pukul 3 petang.

“Pukul 1 petang mak hantar mesej kata check out pukul 1 petang nak kena cuci dah, nanti tak sempat nak siap untuk tetamu lain pukul 3 petang dah nak masuk. Tiada reply daripada tetamu.

Cleaner sampai pukul 1.30 petang, dia ketuk pintu, bagi salam cakap habis sopan kata dia nak kena masuk cuci. Salah seorang team tuan (tetamu) buka pintu dan kata okay. Tetamu masih bertuala ke hulu ke hilir macam tak ada gaya orang kalut bersiap nak keluar pun,” katanya di Facebook homestay itu, pada Jumaat malam.

Salah seorang tetamu bersemuka dengan seorang wanita dipercayai pemilik homestay.

Sehingga ke pukul 2 petang, katanya, pemilik terpaksa ke homestay kerana tetamu masih tidak mendaftar keluar memandangkan hanya berbaki sejam lagi untuk mengemaskan rumah.

“Pukul 2.25 petang, mak saya sampai homestay, tanya kenapa tak keluar lagi dah lebih dua setengah jam lewat check out. Tuan dan team boleh layan mak saya macam tunggul, buat tak tahu saja, ada yang masih bertuala ke hulu ke hilir.

“Tak ada siapa pun berkemas angkat beg macam nak check out. Beg ada dalam bilik lagi kat ruang tamu pun barang banyak lagi. Boleh dengar dalam video perakam kata tolong ambil barang dalam bilik air, cabut charger, siap ada yang bertuala lagi.

“Video ni sebenarnya pukul 2.30 petang. Dekat mana yang satu jam lewat ? Dua setengah jam dah lewat. Masa ni pergaduhan berlaku, mak saya mula marah-marah kata kena keluar dah rumah nak kena cuci tetamu seterusnya dah WhatsApp tanya,” katanya lagi.

Mana yang satu jam lewat ? Dua setengah jam dah lewat.

ANAK PEMILIK HOMESTAY

Dia mendakwa ibunya turut diberi layanan buruk sehingga dimaki hamun oleh tetamu berkenaan.

“Hangpa maki hamun mak saya. Dok asyik melawan gaduh dengan mak. Tahulah mak saya orang tua gaya orang-orang kampung, macam tu sekali layan dia,” ujarnya.

Mesej yang dihantar antara tetamu dan pemilik homestay.

Pada masa sama, dia meminta supaya tetamu menghormati peraturan perniagaan orang lain terutama yang mengusahakan bisnes homestay.

“Macam mana mak saya tak naik angin, dari awal dah biadab dengan dia buat tak tahu saja bila habaq (beritahu) kena check out, ada duit bukan boleh bagi tuan pelepasan untuk buat apa saja yang tuan suka.

“Tuan pun beritahu tuan berniaga, takkan tak boleh nak faham struggle nak atur perniagaan. Hormat tu tak ada langsung.

“Saya tengok nasi berterabur mak saya lempar, hangpa tengah makan nasi pukul 2.30 petang? Dah tahu 1.30 petang cleaner nak datang, hangpa boleh makan nasi lagi.

“Masa bertengkar dengan mak saya, team tuan kata pergi solat Jumaat, tolong jangan menipu. Cleaner kata dari 1.30 petang dia ada kat situ saja, masa dia lalu pergi tengok pun masih bertuala, tak pergi pun solat Jumaat,” katanya lagi.

Dia bagaimanapun mengakui kesilapan ibunya kerana melemparkan beg milik tetamu untuk letak di luar rumah.

“Mak saya pun salah lempar beg letak luar. Saya dah tegur lain kali kalau jadi lagi macam ni jangan marah. Terus telefon polis biar polis selesaikan masalah tetamu macam tuan ni.

“Minta maaf daripada pihak kami. Tuan doakan bisnes kami lingkup, andai kata jadi tak apa kami reda. Kami tak takut, kami percaya Allah maha adil,” katanya mengakhiri penjelasan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain