PASTI ramai yang bersetuju bahawa persahabatan antara orang lelaki lebih mudah tanpa dipenuhi dengan 'drama'. Mereka boleh merancang sesuatu dan melaksanakannya dengan ad-hoc demi sahabat. Sama seperti kisah lima pemuda ini yang nekad berkonvoi menaiki motosikal dari Selangor ke Pahang bagi meraikan hari istimewa salah seorang sahabat mereka yang menamatkan zaman bujang, baru-baru ini. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Perjalanan sejauh kira-kira 200 kilometer (km) pada Ahad lalu ternyata mencabar buat Muhammad Amin Syarifuddin Aziz, 23, bersama empat rakannya yang lebih dikenali sebagai Daus (22), Alip luqman (21), Ajiem (20) dan Epul (24). Berkongsi cerita, Amin berkata dia bersahabat baik dengan pengantin lelaki, Ayrel Daniel, 23, sejak lebih lapan tahun lalu. Bertolak seawal pukul 5 pagi dari Semenyih ke Maran. Menurut Amin, sahabatnya itu sememangnya menaruh harapan agar mereka dapat hadir ke majlis perkahwinannya di Kampung Sentosa di Maran, namun tiada sebarang kata putus dibuat memandangkan jarak perjalanan yang jauh. "Pada Sabtu malam, kami berlima lepak dan macam biasa lelaki ni suka rancang last minute. Tiba-tiba semua setuju nak buat kejutan meraikan majlis perkahwinan sahabat kami tu. "Kami cuba dapatkan kereta sewa tapi semua penuh. Kereta saya pun masih di bengkel. Lagipun kalau naik kereta mungkin lebuh raya sesak sebab cuti sekolah dan sempena Tahun Baharu Cina, nanti sampai lambat," katanya kepada mStar. Selepas berbincang, Amin berkata mereka membuat pilihan dengan menaiki motosikal skuter LC 135 dan Y16 dari Semenyih, Selangor, seawal pukul 5 pagi Ahad. Cabaran hadapi perjalanan menaiki motor skuter sejauh 200km. Memandangkan kali terakhir Amin menunggang motosikal untuk perjalanan jauh adalah kira-kira tahun lalu, dia mengakui konvoi ke Pantai Timur cukup mencabar. ARTIKEL BERKAITAN: 5 BFF susun majlis kahwin! Video ‘tukar’ pelamin raih lebih 15 juta tontonan, berbaloi 6 bulan ‘peram’ klip rakaman ARTIKEL BERKAITAN: Kawan ‘masuk air’ tanpa segan silu usung kadbod gergasi sampai pelamin, tuan badan akui malu tapi reda demi pengantin "Hanya Allah yang tahu betapa sabarnya kami bergerak dengan kelajuan hanya 80 hingga 100km sejam sepanjang perjalanan 200km untuk sampai ke destinasi. "Saya asyik berulang kali tanya 'berapa km lagi nak sampai?' sebab tak larat dah duduk atas motor lama-lama. Kebas punggung dan sakit pinggang," ujarnya secara berseloroh. Berehat di R&R di Temerloh. Mengulas lanjut, pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan daripada Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di kampus Bangi itu berkata, mereka berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh untuk berehat pada pukul 8 pagi. "Masing-masing dah tak larat, dan kami tidur bergilir-gilir di R&R untuk jaga barang. Selepas pukul 11 pagi, kami sambung perjalanan. Semoga persahabatan kami tidak terhenti di sini dan sampai ke syurga. MUHAMMAD AMIN SYARIFUDIN AZIZ "Kami diuji apabila hujan di tengah jalan dari Temerloh. Kami sempat berteduh di bawah jambatan dan sambung perjalanan tapi hujan semula sampai ke susur masuk Maran. "Habis basah lencun dan kami terpaksa berhenti rehat lagi sambil tunggu baju kering dekat stesen minyak di Maran," katanya. Pasangan pengantin gembira dengan kejutan yang dibuat lima sekawan. Malah menurut anak ketujuh daripada lapan beradik itu, mereka juga membeli beberapa barang untuk dijadikan hadiah buat pengantin iaitu apron, sabun, span basuh pinggan, rantai besi dan rotan. "Kami tak mampu beli barangan berharga tapi boleh berikan barangan yang ada tanda ingatan untuk sahabat kami. Macam rotan tu kami berikan kepada isteri dia kalau sahabat kami nakal, tegur dia dan bantu didik dalam rumah tangga. "Sabun dan span basuh pinggan untuk ingatkan sahabat bahawa kerja rumah bukan hanya kerja seorang isteri, sama-sama kerjasama," ujarnya. Walaupun perjalanan jauh dan mencabar, Amin dan rakan-rakannya tetap berpuas hati dan seronok dengan kejutan yang dilakukan. Amin (kiri) dan pengantin lelaki (tengah) berkongsi banyak kenangan sejak di bangku sekolah. "Sahabat kami (pengantin) macam tak percaya kami sanggup datang sejauh itu dengan hanya menaiki skuter demi meraikan majlis kahwin dia. "Perjalanan selama 15 jam atas motor itu menjadi satu kenangan yang amat berharga buat kami untuk disimpan dalam memori. "Kami tak rasa penat langsung walaupun perjalanan sejauh 400km (pergi dan balik). Kami tetap harungi bersama," katanya. Bagi Amin sendiri, sehingga ke saat ini dia masih menyimpan kenangan bersama pengantin lelaki sejak mengenalinya di bangku sekolah. "Kami pernah kongsi roti berharga 80 sen dan isi minyak RM1.20 sebab dalam poket masa tu ada RM2 je nak pergi cari kerja selepas habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). "Kenangan zaman kenakalan kami dan membesar bersama. Semoga persahabatan kami tidak terhenti di sini dan sampai ke syurga," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube