suria

Tawaran popis percuma untuk ibu hamil cetus masalah, penjual terkedu pelanggan berkeras mahu ‘free 5 bekas’!

Seorang pelanggan dilihat cuba mengambil kesempatan atas tawaran makanan percuma untuk ibu hamil. -Gambar hiasan (kanan)

USAHA murni seorang peniaga yang ingin berkongsi rezeki dengan menawarkan makanan percuma khusus buat wanita hamil disalah erti oleh pelangannya.

Sebagaimana dijelaskan menerusi video yang dimuat naik, Shafiq Nizam dan isterinya sepakat untuk memberikan sebekas popis (popia pisang) secara percuma jika gerai mereka dikunjungi ibu mengandung.

Namun, pemberian terhad kepada satu bekas sahaja dan pelanggan tersebut masih perlu membuat pembayaran untuk bekas kedua dan seterusnya.

Shafiq dan isteri berniaga popis di sebuah festival makanan di Selayang.

"Memang saya beritahu... ibu mengandung kalau datang dapat percuma. Kalau akak (ibu mengandung) datang dengan suami dan beli dua, saya akan bagi percuma satu. Maksudnya yang percuma tu untuk akak.

"Yang suami akak tu kena bayar. Tapi hari ni saya ada satu kejadian. Akak mengandung tu ada beli lima bekas popis. Jumlah bayaran saya kira empat sajalah sebab satu lagi bagi percuma.

"Lepas tu dia cakap eh awak cakap percuma? Saya dah jam (tergamam). Saya tak tahu nak buat apa. Saya jelaskan yang memang bagi satu je percuma untuk ibu mengandung," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencinta kucing jual nasi lemak demi manjakan si bulus, ibu hamil turut dimanja! ‘Cair’ dengar ungkapan ‘teringin’

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu sarat hamil pulang melopong! Gigih masak, kemudian bawa 3 anak COD tom yam tapi pelanggan ‘ghaib’

Selepas mendengar penjelasan Shafiq, wanita berkenaan masih tidak berpuas hati dan bertegas mahukan kesemua popis yang dipesan diberi percuma.

Enggan situasi menjadi lebih tegang, Shafiq yang memiliki lebih 1.5 juta pengikut di TikTok setuju untuk menghalalkan kesemua makanan tersebut tanpa mengenakan bayaran.

"Akak tu cakap kenapa tak beritahu lebih awal. Akhir sekali saya cuma diam... saya cakap akak ambil je la semua. Saya cakap macam tu sajalah," ujarnya lagi.

Kalau betul-betul nak makan, dapat satu pun cukup dah.

NETIZEN

Video yang dikongsikan Shafiq mengenai pengalamannya ketika berniaga di sebuah pesta makanan di Selayang, Selangor ini meraih lebih 1.2 juta jumlah tontonan setelah disiarkan.

Di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang dengan sikap wanita hamil berkenaan.

"Kalau betul-betul nak makan, dapat satu pun cukup dah. Kalau sampai lima tu memang ambil kesempatan.

"Ya Allah kak, sampai nak lima percuma. Kena 10,000 ibu mengandung minta macam tu, mahu tak balik modal. Sabar je la ragam pelanggan ni.

Komen netizen pada hantaran di TikTok.

"Akak ni pun... tak boleh fikir ke. Tak kan sampai lima kak percumanya. Kasihan modal berniaga. Tak apalah rezeki akak la Shafiq bagi," komen netizen.

Dalam pada itu, seorang wanita yang mengakui dirinya berbadan dua turut memberi maklum balas mengenai popis Shafiq yang juga dikenali dengan panggilan Capik Lalat.

"Saya dapat tadi percuma. Lepas craving (mengidam). Terima kasih Shafiq. Semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan.

"Sedap gila popis. Sampai makan dekat rumah pun masih rangup," ujarnya membalas komen Shafiq.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain