suria

Bapa 3 anak ‘jatuh terduduk’ diuji! Rela jual serunding, tebal muka cerita kesusahan hidup asalkan tak meminta

Hafizh berniaga serunding dan kurma demi menyara kehidupan keluarga.

RAMAI umat Islam termasuklah peniaga mula membuat persiapan dan persediaan bagi menyambut kedatangan Ramadan yang semakin hampir.

Kebiasaannya, Ramadan dianggap sebagai bulan rezeki bagi golongan ini kerana jumlah pendapatan mereka akan meningkat.

Namun bagi pasangan suami isteri ini, tumpuan mereka berniaga serunding sekarang hanyalah untuk keluar dari kesusahan dan meneruskan kelangsungan hidup.

Hafizh (kiri) bersama arwah abah.

Berkongsi cerita, Hafizh Khan Amiruddin Khan berkata, dia mula menjual serunding sejak 2015, tetapi perniagaan yang diusahakan bersama isteri itu mula diuji pada 2022.

Peniaga berusia 34 tahun itu memberitahu, bapa mentuanya dijemput Ilahi akibat sakit tua dan beberapa penyakit kronik seperti jangkitan paru-paru pada April tahun yang sama.

“Selang kira-kira tiga minggu kemudian selepas abah, nenek saya yang menghidap demensia pula meninggal dunia disebabkan sakit tua.

“Mak saya yang kini berusia 73 tahun pula alami strok ringan pada tahun lepas dan beberapa kali dimasukkan ke hospital dan kali terakhir pada bulan lalu (Januari),” katanya kepada mStar.

Nenek (kanan) meninggal dunia beberapa minggu selepas pemergian abah.

Selain strok ringan, dia yang mesra disapa Hafizh berkata, ibunya turut mengalami masalah ingatan dan menghidap penyakit jangkitan paru-paru, kencing manis dan darah tinggi.

Mengulas lanjut, dia dan isteri tidak dapat menjalankan perniagaan selama beberapa bulan kerana perlu menjaga bapa mentua dan nenek yang sakit.

“Abah sakit beberapa bulan sebelum meninggal dunia dan perlu menjaganya. Ketika itu kami tidak berniaga, dan hanya bergantung kepada simpanan saya dan isteri.

“Selepas abah dan nenek meninggal dunia, kami cuba kembali berniaga. Masa mula-mula tu memang ‘sakit’ sebab tak ada modal,” ujarnya yang berasal dari Ampang, Selangor.

Hafizh (kiri) bersama ibu yang menghidap strok ringan.

Hafizh dan isteri, Nurul Anisa Mohd Razali, 30, yang menetap di Rawang mengakui pernah ‘jatuh terduduk’ sehingga kehabisan wang yang disimpan selama bertahun-tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami jual motor nak berniaga air balang di bazar, baru mula bisnes dah sakit seminggu... isteri harap dapat balik modal sebelum raya

ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes asam pedas tak laku, suami isteri terdesak nak jual Kancil... Jalan akhir sara 5 anak kecil - “Kami lebih risau hilang tempat tinggal”

“Rumah sewa tertunggak empat bulan dan ansuran kereta juga tertunggak beberapa bulan. Mujur tuan rumah memahami dan sekarang kami bayar tunggakan sikit-sikit setiap bulan.

“Saya dan isteri serta anak-anak pernah cuma makan sehari sekali, nasi berlaukkan telur goreng selama berhari-hari,” ujarnya yang dikurniakan tiga cahaya mata berusia tujuh, lima dan empat tahun.

Selain serunding, Hafizh turut menjual kurma.

Bersyukur dengan hasil sumbangan orang ramai, bapa kepada tiga anak ini kemudian dapat meneruskan bisnes serunding yang kini dijual menerusi platform e-dagang, Shopee.

Dia memulakan jualan amal untuk produk serunding termasuk bisnes kurma sejak tahun lalu dan sepanjang tempoh itu dia sering berkongsi kisah peribadi bagi meraih perhatian pembeli.

Nak bangkit semula ni bukan mudah.

HAFIZH KHAN AMIRUDDIN KHAN

“Nak bangkit semula ni bukan mudah, saya teruk dikecam netizen sebab mereka marah apabila saya menggunakan ayat yang sama untuk setiap posting.

“Saya hanya menceritakan apa yang berlaku, sebab mungkin ada orang yang belum pernah mengetahui kisah saya sebelum ini dan dia boleh jadi pembeli baharu,” katanya, namun reda dengan kecaman demi kelangsungan hidup sekeluarga.

Berniaga siang dan malam demi mencari rezeki.

Dari hanya menumpukan jualan amal untuk mereka yang mahu membeli sambil bersedekah, kata Hafizh, pilihan turut dibuka kepada jualan biasa.

“Bagi mereka yang baru hendak membeli, boleh support jualan amal. Jualan biasa juga disediakan untuk semua, cuma saya hanya untung sedikit disebabkan kenaikan harga barang.

“Jika mereka kata serunding tu sedap dan okay, mahu beli lagi... mereka boleh saja terus ke jualan biasa. Terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan masing-masing,” katanya.

Hafizh mahu memastikan kehidupan keluarga kembali seperti sediakala dan lebih baik.

Jujurnya, Hafizh tidak kisah 'tebal muka' berkongsi kesusahan kepada umum demi meneruskan kelangsungan hidupnya sekeluarga.

“Biar saya malu atau tebalkan muka, tapi saya cuba untuk tidak meraih simpati orang ramai dengan hanya meminta sumbangan semata-mata. InsyaAllah saya harap pilihan jualan itu nanti hanya jualan biasa sahaja, tanpa jualan amal apabila keadaan kembali sediakala.

“Mana tahu nanti ada pula rezeki lebih untuk kami ada tempat sendiri atau gerai tetap untuk mencari rezeki dan mengembangkan perniagaan,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain