suria

Doa dapat suami sebaik malaikat makbul, tapi cerai selepas 7 tahun! Wanita serik taksub dalam berdoa

Setiap pasangan mengimpikan perkahwinan yang bahagia. -Gambar hiasan

SETIAP wanita pasti mahu jodoh yang sempurna dan terbaik untuk dirinya.

Setiap individu mempunyai hak untuk memilih pasangan hidupnya dalam membina rumah tangga, namun berdoa perlulah berhati-hati agar tidak berlebihan atau melampaui batas.

Sebagaimana kisah mengenai seorang wanita ini, dia begitu taksub setiap kali berdoa tentang ciri-ciri jejaka pilihannya.

“Ada seorang kawan ni, kalau dia berdoa pasal jodoh, dia mesti akan sertakan sekali ciri-ciri jodoh yang dia nak tu.

“Maklumlah, orang kata kalau kita nak jodoh kita baik daripada awal lagi kita kenal berdoa. Dan dia selalu doa, dia nak jodoh yang baik macam malaikat,” cerita Ayu yang berkongsi kisah jodoh seorang wanita, di laman sosial.

Jodoh dan pertemuan adalah ketentuan Ilahi. -Gambar hiasan

Dari zaman sekolah sehingga menyambung pengajian di universiti, wanita berkenaan terus berdoa agar dipertemukan jodoh seperti yang diingininya.

“Sehinggalah dia bertemu jodoh seperti yang dia doakan. Macam ‘malaikat’ baik suami dia tu dan mereka pun berkahwin.

“Suami dia memang cukup pakej. Handsome, imam masjid, rajin pergi masjid, rajin baca al-Quran, memang rajin beribadat... memang baik teramat sangat,” kata Ayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Doa pakcik penjaja jalanan jadi asbab, wanita batal niat ambil nyawa sendiri - “Saya hampir gila, tak nak hidup dah!”

ARTIKEL BERKAITAN: Ada beratus ribu pengikut, suami mengaku belajar al-Quran, doa qunut daripada isteri - “Dia tak like status saya di media sosial”

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan apabila wanita itu membuat keputusan untuk berpisah dengan suaminya selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Penceraian itu sekali gus menimbulkan tanda-tanya dalam kalangan rakan-rakan kerana pasangan itu sering dilihat sangat bahagia meskipun tidak dikurniakan cahaya mata.

“Namun dia beritahu suami ni memang cukup pakej, tapi ada satu pakej je di mana suami dia tak sentuh dia langsung sepanjang tujuh tahun perkahwinan.

“Bukan suami dia tak pernah cuba, tapi setiap kali nak ‘bersama’ je, setiap kali tu memang tak dapat ‘bersama’. Sampai suami dia pun sendiri menangis,” jelasnya.

Seorang lelaki membaca al-Quran. -Gambar hiasan The Star

Malah, pasangan itu turut menjalani rawatan perubatan alternatif kerana pada mulanya mereka menyangka ia disebabkan oleh perbuatan sihir, namun itu bukan puncanya.

“Tak ada sihir pemisah, tak ada (masalah) mati pucuk. Yang jadi masalahnya adalah suami dia memang tak ada selera langsung dengan wanita, seolah-olah sama seperti malaikat.

“Sekarang ni dia benci gila dekat suami dia sebab tak nak terus-terang sebelum kahwin. Tak pasal-pasal dah membazir tujuh tahun kahwin," katanya.

Wanita itu kini berusia 30-an selepas berkahwin selama tujuh tahun dan faktor usia yang meningkat ternyata membimbangkannya untuk bertemu jodoh baharu.

Erti melampau ketika berdoa adalah meminta sesuatu yang khusus dan dengan sifat yang tertentu.

USTAZ WADI ANNUAR

PENDAKWAH BEBAS

Susulan perkongsian tersebut, Ayu menasihatkan sesiapa sahaja yang mencari jodoh terutama wanita supaya lebih berhati-hati dalam menetapkan ciri-ciri pilihan ketika berdoa.

“Hati-hati bila berdoa. Takut nanti bila dimakbulkan, kita pula yang tak bersedia.

“Dalam berdoa tu, mintalah doa yang mungkin tidak melampau sangat. Berdoalah mengikut kemampuan kita sebagai manusia juga. Jangan lebih-lebih,” kata Ayu menitipkan pesanan di TikTok junaidah_ayuu.

Penceraian merupakan jalan terakhir dalam konflik rumah tangga. -Gambar hiasan

Menurut laman web Maktab Al-Bakri yang sering mengupas soal jawab berkaitan agama, malaikat diciptakan hanya mempunyai akal dan tidak memiliki nafsu.

Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub dalam ceramahnya sebelum ini berpesan agar tidak berlebihan atau melampau dalam berdoa.

“Erti melampau ketika berdoa adalah meminta sesuatu yang khusus dan dengan sifat yang tertentu. Jangan melampau ketika berdoa.

“Minta boleh, selepas itu Allah akan pilih yang terbaik untuk dunia dan akhirat. Mintalah apa saja walaupun benda-benda kecil, dan kemudian usaha.

“Mintalah 1,000 kali sehari pun, Allah tidak akan jemu bahkan Allah sangat suka orang yang rajin minta (doa). Rajin minta dengan Allah, kena usaha tapi jangan melampau ketika berdoa,” kata Ustaz Wadi Annuar lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain