NAMPAK senang, tapi bukan mudah mencari rezeki sebagai penghantar makanan. Selain cabaran berpanas dan meredah hujan, golongan ini juga perlu berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan. Jika bernasib baik, pelanggan yang bermurah hati akan memberikan sedekah atau tip menerusi aplikasi yang mana pemberian tip boleh dilakukan begitu mudah hanya di hujung jari. Namun bagi seorang penghantar makanan, dia ditawarkan pemberian tip daripada pelanggan ketika membuat satu penghantaran. Pemberian wang sebagai satu sedekah. -Gambar hiasan Bukan melalui aplikasi, sebaliknya pelanggan wanita itu memberi tip dipercayai diletakkan di lokasi penyerahan makanan di kediamannya. Bagaimanapun, tindakan pemuda berkenaan tidak mengambil tip tersebut mencetuskan tanda tanya dalam diri pelanggan itu sehingga dia bertanyakan mengenai perkara itu dalam aplikasi. Pelanggan wanita tersebut menjelaskan pemberiannya itu dengan niat untuk bersedekah. “Kenapa tak nak ambil? Saya sedekah, tak baik tahu. Kena ambil kalau sedekah,” soalnya. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya takut sumber tak halal” - Lelaki mulut celupar, tak jaga hati orang nak belanja nasi lemak... Tergamak tolak cara kasar! ARTIKEL BERKAITAN: Guna modal ‘sedekah’, akhirnya susahkan pelajar tahfiz! Mudir ada peringatan untuk tuan rumah kenduri, tolak lebihan lauk bukan sebab sombong Menerusi tangkap layar perbualan yang dikongsi di grup Facebook, penghantar makanan itu membalas bahawa dia sudah dibayar gaji oleh pihak syarikat, termasuk pemberian bonus. Wanita itu sekali lagi menjelaskan bahawa pemberian wang tersebut sebagai tanda sedekah. “Itu syarikat bayar awak gaji. Semoga rezeki awak melimpah ruah dan sentiasa dalam lindungan Allah, amin,” ujarnya. Mesej antara penghantar makanan dan pelanggan wanita. Dalam hantaran sama, penghantar makanan itu tampil menjelaskan sebab dia tidak mengambil wang sedekah daripada pelanggan itu. “Segan nak ambil kecuali tip online. Tapi memang betul, kalau orang dah niat sedekah kita kena ambil. Nasib pagar rumahnya bertutup. Kalau tidak, berkeras juga suruh ambil,” katanya, namun tidak mendedahkan jumlah sedekah daripada pelanggan. Di ruangan komen, rata-rata netizen terkejut dengan tindakannya menolak pemberian tip yang dianggap sebagai sedekah oleh pelanggannya. “Sombonglah tu. Tolak rezeki. Jangan amalkan selalu. “Rider terpaling pelik. Lepas tu nak beritahu terpaling tak nak terima sedekah. Orang bagi, kita ambil dengan hati terbuka. Jangan kita yang meminta-minta. NETIZEN “Orang tu nak sedekah untuk pahala, ambil jangan tolak. Jika tak perlu sekalipun, sedekah pula duit tu ke tabung masjid. Sesungguhnya dia ingin mengejar pahala dan berkongsi rezeki. “Orang bagi, kita ambil dengan hati terbuka. Jangan kita yang meminta-minta,” komen netizen. Seorang pelanggan terkejut dengan tindakan penghantar makanan menolak sedekahnya. -Gambar hiasan Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor yang mengupas mengenai soal jawab agama, perbuatan menolak pemberian hadiah daripada orang lain adalah menyalahi sunnah Nabi Muhammad SAW berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Umar RA. Maksudnya: Aku telah mendengar Umar berkata: Rasulullah SAW telah memberiku sebuah hadiah, lalu aku berkata: Berilah kepada orang yang lebih fakir dariku, maka Baginda berkata: Ambillah apabila datang kepadamu sesuatu dari harta, sedangkan engkau tidak tamak dan tidak pula memintanya, maka ambillah, dan jika engkau tidak diberi, maka janganlah engkau mengikut kehendak nafsumu (iaitu meminta-minta). (Riwayat al-Bukhari). “Dikhuatiri menolak pemberian hadiah tersebut boleh menyebab rasa kecil hati orang yang ingin memberi. Terdapat juga hadis yang melarang daripada menolak pemberian orang lain sebagaimana daripada Khalid bin 'Adi RA yang melarang daripada menolak pemberian orang. “Maksudnya: Siapa sahaja diberi sesuatu oleh saudaranya tanpa dia meminta mahupun mengharapkan maka hendaklah dia menerimanya. Kerana sesungguhnya itu adalah rezeki yang Allah datangkan untuknya. (Riwayat Ahmad),” katanya. Namun menurut jabatan itu, seseorang dituntut menolak pemberian sekiranya ia berupa sesuatu perkara yang ditegah seperti barang-barang yang mempunyai unsur haram, rasuah, mendatangkan fitnah atau seumpama dengannya. “Di samping itu juga, perbuatan tidak menerima hadiah kerana ingin diniatkan pemberian tersebut diberikan kepada fakir miskin adalah diharuskan sekiranya perkara tersebut tidak menyebabkan si pemberi berasa kecil hati,” menurut jabatan mufti. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube