suria

Menjelang Aidilfitri, penggal baharu persekolahan... Peguam dedah ada bapa culas bagi nafkah, suruh anak pakai baju sekolah masa raya

Golongan bapa perlu bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak. -Gambar hiasan (kiri)

TERLALU banyak perkongsian di media sosial mengenai kisah golongan suami atau bapa yang culas menjalankan tanggungjawabnya menyediakan nafkah untuk keluarga.

Dalam sesetengah kes, ada segelintir lelaki yang tergolong dalam kategori kurang berkemampuan sehingga tahap terpaksa 'mencatu' nafkah untuk anak isteri, tetapi mampu pula berkahwin lain atau pasang skandal.

Lebih menyedihkan, nafkah tahunan anak seperti keperluan sekolah atau hari raya pun gagal untuk disediakan.

Banyak mengendalikan kes berkaitan masalah kekeluargaan Islam terutamanya tuntutan di Mahkamah Syariah, peguam, Suriati Ghani berkongsi nasihat untuk para bapa sebagai peringatan agar tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap anak.

"Begini ye ayah-ayah, keperluan sekolah anak setiap kali nak buka sekolah banyak nak pakai duit, kalau anak seorang OK lah lagi, tapi kalau anak tiga hingga empat orang, jenuh juga ibu nak fikir seorang nak cari mana, semua nak kena beli.

nafkah new

Segelintir wanita berstatus ibu tunggal perlu bekerja keras menyara anak gara-gara bekas suami culas memberi nafkah -Gambar hiasan

"Ini contoh pembelian barang keperluan untuk anak-anak mula sekolah. Untuk tiga orang anak baru beli beg dan kasut sekolah dah RM200.

"Belum lagi barang-barang lain. Baju, kain, seluar, tudung, anak tudung, stoking sekolah, baju sukan, baju aktiviti, buku dan alat tulis, yuran sekolah.

"Paling kurang pun mungkin RM300 untuk seorang anak. Itu pun pandai-pandaila jimat," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami tak kerja, culas bayar nafkah tapi mampu pasang 6 skandal! Pecah tembelang lepas isteri periksa telefon masa tidur

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kongsi kes tunggakan nafkah 10 tahun, sampaikan mesej anak tak dibalas... tak sangka ramai dedah alami nasib sama - "Happy birthday ayah..."

Bersama hantaran tersebut, peguam berkenaan berkongsi sekeping resit pembelian barangan keperluan sekolah yang bernilai lebih RM200.

Tambahnya, golongan bapa sewajarnya peka dengan tanggungjawab menyediakan perbelanjaan untuk membeli barangan keperluan sekolah memandangkan sesi persekolahan baharu akan bermula tidak lama lagi.

Nafkah bulanan pun ke laut, inikan pula nak bagi belanja raya dan belanja persediaan buka sekolah.

NETIZEN

"Tak payah tolak tanggungjawab tu kepada ibu, malu jadi ayah kalau yang setahun sekali pun berkira sangat.

"Memang dalam hukum syarak tanggungjawab sara nafkah anak atas ayah, lainlah kalau bukan ayah kandung.

"Tambah nak dekat raya pula, baju raya tu keperluan anak. Dah la baju harian pun berkira, apa salahnya beli baju raya untuk anak.

"Yang bukan keperluan adalah duit raya. Jangan terkejut ada je kes dekat Mahkamah tu ayah kata 'pakai je lah baju sekolah (bila) raya nanti. Dah tahun 2024 kot,'" tulisnya lagi.

komen 1

Antara komen warga maya terhadap perkongsian berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan supaya golongan ibu atau isteri supaya menyimpan setiap resit pembelian barangan anak-anak untuk digunakan di mahkamah kelak ketika membuat tuntutan nafkah.

Posting peguam berkenaan meraih 470 perkongsian selain dibanjiri dengan komen netizen yang rata-ratanya berkongsi pengalaman masing-masing.

"Kadang bukan tak bersyukur, tapi itu la bila fiirkan balik memang tak cukup. Anak saya seorang dapat RM400 je. Tahun ni perbelanjaan untuk tahun enam, dua sesi sekolah memang rasa terlebih bajet.

"Rasa dah tawar hati nak buat apa-apa tuntutan... sebab makan masa bertahun juga nak selesai.

"Dah merasai semua, 16 tahun sebagai single mom with 4 kids... Nafkah bulanan pun ke laut, inikan pula nak bagi belanja raya dan belanja persediaan buka sekolah... ke laut paling dalam la jawabnya," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain