suria

Jurujual Proton bawa bahan ritual cuma penuhi permintaan pelanggan, masih tahu hukum dalam Islam

Tangkap layar video dikongsikan Eira meraih perhatian netizen di TikTok.

SETIAP individu mempunyai cara tersendiri dalam memastikan kenderaan yang baru dibeli 'dilindungi' daripada kemalangan atau perkara-perkara yang tidak diingini.

Kisah seorang jurujual kereta tular di media sosial apabila dia dilihat membawa beberapa bahan untuk seorang pelanggan berbangsa India melakukan ritual terhadap kenderaan yang dibeli.

Nazirah Hasan Sharbini, 40, ketika dihubungi mStar mengesahkan pelanggan berkenaan membuat pembelian dengannya di Proton Pengangkutan Sedar 3S di Kulim, Kedah.

"Kejadian pada Rabu pukul 10.30 pagi. Saya cuma bawa dulang dan serahkan kepada pelanggan itu yang beragama Hindu.

Eira menjadi jurujual kereta sejak 2009.

"Hanya guna kelapa dan limau, tiada sebarang bahan atau unsur pemujaan. Bahan-bahan tu saya minta kawan berbangsa Cina yang sediakan.

"Ritual sempena pembelian kereta baharu tu dibuat oleh ibu kepada pelanggan saya yang beragama HIndu," ujarnya yang lebih mesra dengan gelaran Eira.

Eira yang berkhidmat sejak 2009 di syarikat tersebut berkata, dia bukan kali pertama melihat ritual dilakukan terhadap kereta yang baru dibeli sebaliknya telah menyaksikan pelanggan bukan Islam melakukannya beberapa kali.

Bagaimanapun, dia yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu tidak menyangka perkongsian video di laman TikTok akan tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan tengking pekerja ‘carwash’, siap heret sebab tak puas hati... Lepas puas mengamuk hanya bayar RM10

ARTIKEL BERKAITAN: Gaji 2K beli X50, jurujual serba salah bantu pelanggan sampai lulus loan! Ramai agak ada income lain

"Sebelum ni saya pernah tengok pelanggan berbangsa Cina buat. Mereka minta sediakan nanas.

"Bagi saya, perkara itu tidak membawa apa-apa maksud dan tidak ada kena mengena dengan agama Islam dan kaum Melayu. Apa yang saya buat tu sebagai cara menghargai pelanggan berlainan bangsa dan adat.

"Sebagai rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum dan agama kita perlu saling menghormati. Bagi kaum India, mereka percaya cara itu dapat 'membuang' perkara tak baik daripada berlaku," jelasnya.

Di sebalik pujian yang diterima, hantaran tersebut turut mendapat komen negatif daripada netizen.

Saya sebagai umat Islam mestilah tahu nak menjaga iman dan akidah saya.

NAZIRAH

Tidak cepat melatah, wanita ini menjelaskan tindakannya tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

"Bagi mereka yang mempersendakan mengenai video tu, bagi saya... tak salah pun kita menghormati bangsa dan adat orang lain. Kita kan satu Malaysia berbilang bangsa dan kaum.

"Sebagai umat Islam pula, mestilah saya tahu tentang iman dan akidah. Janganlah kita mengecam tanpa mengetahui niat saya tu," ujarnya memberi penjelasan.

Dalam video dikongsikan, kelihatan ibu kepada pelanggan Eira menghempas sebiji kelapa yang disediakan di hadapan kereta baharu jenis Proton Persona berkenaan.

Dulang berisi bahan-bahan tersebut dibawa sendiri oleh Eira sebelum diberikan kepada pelanggannya.

Eira sentiasa menghargai setiap pelanggannya.

Pelanggannya kelihatan gembira menerima bahan-bahan yang diminta untuk upacara yang bakal dilakukan, di mana kelapa dicampak ke lantai untuk dipecahkan di hadapan kereta.

Kemudian, empat biji limau nipis yang disediakan diletakkan di setiap tayar untuk dilanggar oleh kereta baharu tersebut sewaktu pemilik mahu membawanya keluar dari pusat jualan.

"Selepas mereka balik membawa pulang kereta, tukang cuci yang kemas semula.

"Apa-apa yang dibuat selepas delivery sama ada belon atau sampah-sampah semuanya tukang cuci bersihkan," ujarnya.

Menurut portal Maktabah Al-bakri, pada adat sebahagian pihak, amalan ini dilakukan dengan kepercayaan menolak bala yang bakal menimpa dan melindungi pemilik kereta daripada perkara yang tidak diingini.

Malah, ada di antara mereka yang meletakkan kaifiyat (syarat perlu dipenuhi) khusus untuk amalan ini.

Selepas kereta tersebut dimandikan dengan air Yasin, ia perlu dibiarkan selama tiga hari tanpa dimandikan dengan air biasa.

Ia merupakan perkara khurafat yang dicampur adukkan agama dan kepercayaan mengarut padanya.

Perbuatan ini juga jelas tiada sandarannya daripada al-Quran atau Sunnah Nabi SAW.

Sesuatu amalan, meskipun ia disangka baik, akan tetapi tidak mempunyai sebarang dalil yang membenarkannya maka amalan tersebut tertolak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain