suria

Suami dipenjara, isteri hamil syukur ubah keputusan gugur kandungan saat akhir! Bayi akhirnya selamat lahir

Dugaan seorang wanita mengandung perlu membesar tiga orang anak tanpa suami disisi. -Gambar hiasan.

LULUH hati seorang ibu apabila mendapat tahu kandungannya yang berusia 16 minggu perlu digugurkan kerana dirinya mempunyai masalah jantung.

Wanita berkenaan, Emma Yaniey ketika dihubungi mStar berkata, dia menghidap penyakit injap jantung sejak berumur 11 tahun.

Menurut Emma, ketika hamil dua anak sebelum ini kandungannya tidak mempunyai apa-apa masalah, namun berbeza untuk anak ketiga apabila dia perlu menyara keluarga seorang diri dan sering mengalami sesak nafas dan alahan teruk.

Akibatnya, masalah jantung menjadi lebih teruk dan pada Jun 2023 doktor menyarankan agar kandungan digugurkan dan dia bersetuju walaupun dalam hati tidak rela.

Emma Yaniey menghidap penyakit jantung sejak berumur 11 tahun.

Emma Yaniey merupakan pesakit jantung sejak berumur 11 tahun.

Disebabkan fasiliti yang tidak mencukupi dan kekurangan doktor pakar, Emma yang pada mulanya ditahan di wad Hospital Tanah Merah dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan untuk proses menggugurkan kandungan.

"Ketika di wad, saya sudah reda dan tidak berfikir panjang sebab takut untuk teruskan hamil.

"Tetapi, dua hari ditahan, tak ada satu pun tindakan dari pihak hospital, jadi saya merayu untuk minta balik ke rumah kerana saya risaukan dua lagi anak yang berusia enam dan dua tahun di rumah.

"Doktor beri kebenaran untuk pulang tetapi saya perlu kembali selepas dua hari dengan pemantauan jantung dibuat di klinik terdekat," kata Emma ketika dihubungi mStar.

Menurut Emma, dia perlu membuat keputusan sendiri kerana dirinya kini bergelar 'ibu tunggal sementara' disebabkan suaminya sedang menjalani hukuman penjara.

Artikel berkenaan: Ibu terpaksa gugur kandungan ketika ambil Master! Hamil kali kedua, air ketuban pecah selepas hantar tesis... Syukur lulus cemerlang

Artikel berkenaan: Diminta gugur kandungan, ibu berkeras teruskan... selepas bayi lahir banyak keajaiban berlaku - “Sebelum ni apply loan tak pernah lulus”

Seperti yang telah dipersetujui, Emma kemudian dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dan di situlah dia mula diberikan penerangan tentang keadaannya oleh pasukan pakar.

Perbincangan dilakukan melibatkan pakar bius, pakar Obstetrik dan Ginekologi, pakar jantung, pihak dari Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ustazah.

"Waktu tu pakar jantung tidak hadirkan wakil dan ustazah sudah terangkan satu persatu proses gugurkan dan ia dibolehkan dalam Islam sebab saya ada penyakit," katanya.

Bagaimanapun dia serta merta mengubah keputusan apabila pakar Obstetrik dan Ginekologi sekali lagi mendapatkan kepastian sama ada dia benar-benar mahu menggugurkan kandungan.

"Serta merta saya jawab dah tak nak gugurkan sebab saya takut, saya cakap saya masih boleh (terus hamil), insyaAllah," katanya.

Saya dah tak nak gugurkan sebab saya takut.

Emma Yaniey

Dia amat bersyukur kerana selepas membuat keputusan tersebut, ada doktor yang memahami dan menyokong serta mengambil berat tentang keadaannya.

"Setelah keluar dari hospital saya meneruskan kehidupan seperti biasa dan Alhamdulillah boleh bekerja seperti biasa," katanya yang mencari rezeki dengan menjadi runner dan pembantu kedai makan.

Tanggal 30 Oktober 2023 dia selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.7kg secara normal dan diberi nama Muhd Ali Daffa.

"Selepas bersalin jantung akan sedikit demi sedikit sakit tapi tak apa hilang segala sakit saya dan rasa menyesal mungkin menyelubungi jika saya gugurkan dia dulu.

"Hai nama saya Muhd Ali Daffa, saya bayi yang doktor nak gugurkan tu... Alhamdulilah usia saya dah 4 bulan," katanya dalam posting di Facebook.

Muhd Ali dilahirkan sihat dan cukup sifat namun Emma masih perlu menjalani pemeriksaan berkala dengan pakar jantung di Hospital Kota Bharu.

Dalam pada itu Emma turut mengakui dia kini sedang menghadapi masalah kewangan dan mengharapkan ihsan orang ramai yang bermurah hati untuk menghulurkan bantuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain