suria

Wanita buntu dapat suami pelik! Baik hati tapi rancak buka aib, jaja buruk isteri depan orang... Menangis bila minta cerai

Seorang isteri kecewa dengan suami yang bercerita tentang keburukannya. -Gambar hiasan kiri Freepik

KONFLIK rumah tangga adalah lumrah dalam perkahwinan, bak kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan suami isteri.

Namun, kini bagai sudah jadi trend apabila suami atau isteri suka membuka aib pasangan secara terbuka menggunakan pelbagai cara termasuk di media sosial.

Menurut seorang wanita, suaminya mempunyai sikap suka menjaja masalah rumah tangga mereka kepada orang lain terutamanya pihak luar.

“Bukan hanya famili, tapi department tempat kerja, kawan-kawan joging atau pada sesiapa je yang bertanya pasal perkahwinan kami.

“Kalau sedang berantakan, bergaduh saya boleh juga cuba untuk faham. Tapi bila berbaik, tetap dia cerita kekurangan saya,” luahnya.

Kehidupan berumah tangga tidak lari daripada ujian dan dugaan. -Gambar hiasan

Membuat luahan itu di grup Facebook, wanita itu memberitahu di sebalik sikap buruk tersebut, suaminya melayan dirinya dengan baik.

“Nak kata dia benci saya, dia layan saya dengan baik. Selalu bawa pergi bercuti, tidur di hotel tanpa saya yang minta.

“Tapi kenapa suami burukkan saya di mata ramai, tapi depan saya dia suami yang baik pada saya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita nikahi perogol demi jaga aib! Rasa tak adil nafsu buas suami ‘tertutup’ sebab mengaku terlanjur suka sama suka

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri balas sumpah laknat, pertahan maruah diri nafi lakukan zina! Gugur air mata, suami buat tuduhan paling keji

Sikap suaminya itu membuatkan dirinya semakin hilang sabar, malah pernah terdetik untuk berpisah.

“Sampai ke satu tahap, saya hilang sabar dan minta lepaskan saya memandangkan banyak kekurangan saya sampaikan dia terpaksa jaja sana sini,” ujarnya.

Namun, reaksi suami ternyata di luar jangkaan apabila isu cerai berbangkit.

“Dia menangis tak nak cerai. Saya sedihlah, apa masalah sebenarnya, saya tak faham,” katanya yang buntu dengan situasi yang dihadapinya itu.

Suami kerap berkongsi kisah rumah tangga dengan orang luar. -Gambar hiasan

Di ruangan komen, rata-rata netizen bersimpati dengan nasib wanita itu dan pada masa sama turut terkejut apabila si suami tergamak memburukkan isterinya sendiri.

Sikap suaminya itu turut menimbulkan kesangsian dalam kalangan netizen sehingga dianggap sengaja meraih perhatian ramai.

“Memang ada suami jenis macam ni. Bagi saya, mungkin dia nak perhatian orang dan dia nak dilihat ‘hebat’ dan ‘terbaik’ berbanding pasangan dia.

“Baik macam mana pun, menyebarkan aib isteri sendiri tu teruk sangat dah tu,” demikian antara komen netizen.

Baik macam mana pun, menyebarkan aib isteri sendiri tu teruk sangat.

NETIZEN

Dalam pada itu, segelintir netizen turut memberitahu mungkin ada sebab si suami berkelakuan sedemikian.

“Suami awak sebenarnya pendam perasaan. Sama ada dia memang jenis macam tu atau sebab di rumah tak ada ruang dia nak timbulkan perasaan dia.

“Mungkin suami puan orangnya suka bersembang tapi ketandusan idea untuk fikir topik apa yang nak disembangkan. Apa-apa pun sangat tak patut untuk buka aib isteri, lebih-lebih lagi dengan orang luar,” komen netizen lagi.

Tiada persefahaman antara suami isteri. -Gambar hiasan

Menurut penceramah bebas, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan, dalam Al-Quran, Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 187: Mereka (isteri-isterimu) merupakan pakaian bagimu dan kamu merupakan pakaian bagi mereka.

Ayat itu mengisyaratkan, suami atau isteri adalah pakaian yang sepatutnya dijaga dengan cermat dan menutupi hal peribadi agar tidak diketahui orang lain.

Jika seorang suami atau isteri mudah mendedahkan aib pasangannya, tanpa sedar mereka membiarkan diri seolah-olah tanpa berpakaian.

Sepatutnya, suami dan isteri perlu saling menjaga kekurangan diri kerana di sebalik kekurangan itulah yang akan melengkapkan kehidupan antara dua insan yang dihalalkan melalui perkahwinan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain