suria

Adik-beradik kutuk beli rumah lelong, dilabel bodoh berhabis duit untuk hartanah buruk! Lepas 5 bulan sibuk tanya siapa kontraktor

Zam berkongsi pengalaman membeli rumah lelong di TikTok.

MEMBELI rumah lelong memang menjimatkan kerana ia dijual pada harga rendah berbanding nilai pasaran.

Namun begitu, tidak kurang juga yang mempunyai tanggapan buruk mengenai hartanah lelong.

Situasi itulah yang dialami individu dikenali sebagai Zam apabila dia dipandang rendah oleh keluarga terdekat kerana memilih hartanah sekunder sebagai tempat kediamannya.

"Dihina mentua sebab tak ada rumah besar. Inilah kisah saya dan isteri setiap kali waktu raya.

Keadaan bilik air sebelum (kanan) dan selepas (kiri) diubah suai.

“Tapi saya dan isteri nekad tahun ni untuk buktikan yang kami pun mampu ada rumah cantik.

“Alhamdulillah rezeki kami menang rumah lelong RM170,000,” ujarnya menerusi perkongsian di media sosial.

Bercerita lanjut, lelaki itu berkata dia terpaksa melakukan proses baik pulih kediaman berkenaan kerana ia berada dalam keadaan uzur.

Kerana itu juga, lelaki berkenaan mendakwa dia dan isteri pernah diherdik oleh adik-beradiknya kerana membeli hartanah lelong dalam keadaan sedemikian.

“Rumah agak teruk, barai. Mula-mula isteri tak setuju (beli). Tapi lepas dah bincang, isteri setuju.

ARTIKEL BERKAITAN: Gaji RM3,000 layak beli rumah macam mana? Ini formula ringkas sebelum melawat ‘showroom’

ARTIKEL BERKAITAN: Termakan cakap ejen, wanita beli rumah harga lebih RM200,000 tanpa modal... Bulan-bulan ‘sesak’ bayar komitmen, suami pula gaji kecil

“Kami ada simpanan sikit hasil daripada bisnes atas talian. Alhamdulillah, rezeki.

“Tapi apabila dah beli rumah macam ni, ramai pula adik-beradik kata kami bodoh beli rumah barai,” ujarnya lagi.

Enggan mengambil hati dengan kritikan tersebut, pasangan yang bekerja dalam bidang hartanah ini memulakan operasi mencantikkan semula rumah yang dibeli mereka.

Transformasi tersebut mengambil masa lima bulan.

Sebagaimana dikongsikan menerusi beberapa foto di TikTok, kelihatan rumah tersebut sudah berubah sepenuhnya.

Gaji RM6,000 buatlah gaya macam orang bergaji RM2,500.

ZAM

“Susah nak puaskan hati semua. Kadang pelik, duit kita punya... kenapa orang lain pula nak sibuk.

"Inilah hasilnya, cantik gila, hasil kerja kemas. Adik-beradik mula sibuk tanya mana buat. Eh, dulu bukan main kata macam-macam.

“Ni kawan kontraktor kami buat. Dapat raya di rumah baharu tahun ni. Okey la hutang bank pun tak banyak,” ujarnya.

Tambah lelaki itu lagi, pengubahsuaian rumah terbabit memakan belanja sebanyak RM87,000 menjadikan kos bagi memiliki kediaman berkenaan adalah RM257,000.

Jumlah kos perbelanjaan turut dikongsikan Zam di TikTok.

Katanya, dengan membeli rumah lelong komitmen bulannya rendah kerana hanya perlu membayar pinjaman bank kira-kira RM1,000 setiap bulan.

“Sekarang zaman susah, jadi kena pandai rancang kewangan.

“Gaji RM6,000 buatlah gaya macam orang bergaji RM2,500. Insya-Allah tenang hidup,” katanya.

Untuk makluman, hartanah lelong secara amnya ialah rumah yang dijual oleh pihak bank ataupun pihak individu secara lelongan.

Ia termasuklah kediaman seperti flat, apartmen, banglo dan lain-lain.

Lelongan ini biasanya dilaksanakan oleh pihak pelelong berlesen yang dilantik bank atau pihak individu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain