suria

Laptop uzur, wayar nak putus! Tukang baiki menangis suami isteri cuma ada RM28, anak makan sebungkus keropok kongsi berempat

Seorang wanita meminta bantuan untuk membaiki komputer riba. -Gambar hiasan kanan Freepik

MELIHAT kondisi sebuah komputer riba yang sudah lusuh dengan wayar pengecas hampir putus, sesiapa sahaja dapat mengagak bahawa pemiliknya bukanlah orang senang.

Situasi itulah yang dilalui oleh seorang lelaki ketika pergi ke sebuah rumah untuk membantu pasangan suami isteri membaiki komputer riba yang rosak.

Terletak di satu kawasan perumahan kos rendah di Hulu Selangor, Selangor, dia tiba di kediaman itu yang turut dihuni empat anak mereka, sekitar pukul 8 malam.

"Biasanya waktu ni saya sudah di rumah bersama ahli keluarga. Sampai terus saya bagi salam. Berlari-lari empat anak keluar. Sepasang suami isteri keluar.

"Isterinya memegang satu laptop yang dia minta tengokkan. Laptop kawan bagi. Cuma laptop uzur, charger pun dah nak putus tali. Nampak macam lama sangat laptop ni," tulis Muhammad Abu Hurairah Roslan di Facebook.

Suami isteri berdepan masalah kewangan. -Gambar hiasan

Berkongsi cerita, usahawan yang mesra disapa Ustaz Abu itu berkata, pasangan berkenaan baru berjinak-jinak mengusahakan bisnes dalam talian selepas si suami diberhentikan kerja.

"Suami saya baru diberhentikan kerja ustaz. Jadi, kami nak cuba buat bisnes online. Apa-apa la. Janji dapat menyara hidup. Itu yang saya minta tengokkan (laptop). Maaf susahkan ustaz, kata wanita itu," katanya yang mengimbas kembali perbualan dengan pasangan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider minta baiki skrin telefon, janji bayar ansuran RM10... Bos kedai komputer tersentuh terpandang lampu motor pecah, tempat duduk diikat

ARTIKEL BERKAITAN: Tukang baiki laptop sanggup berhutang beli charger, wanita terselamat daripada dicaj RM450! Kedai lain kata ‘motherboard rosak’

Ketika membaiki komputer riba pasangan itu, kata Ustaz Abu, lorong di kawasan rumah meriah seketika dengan kehadiran peniaga roti yang menaiki motosikal sehingga menarik perhatian anak-anak mereka.

"Saya perhatikan saja gelagat anak-anak tu. Saya nampak anaknya beli satu keropok udang, dan kemudian adik-adik lain bawa keluar pinggan dan susun depan saya, di meja yang saya sedang servis laptop ibu ayah mereka ni.

"Anak-anak ini duduk tertib je. Anak sulung buka plastik keropok udang, ambil segenggam, letak pada setiap pinggan adik-adik. Dia ambil satu pinggan, letak untuk saya," katanya sambil menambah pasangan itu hanya mendiamkan diri tanpa menjamah keropok yang dibeli anak mereka.

Ustaz Abu mengusahakan bisnes membaiki komputer riba.

Tidak cukup sekadar keropok udang, anak bongsu pasangan itu kemudian mengadu lapar, 'Mak, kita lapar lagi la. Kita nak nasi'.

"Wajah puan dan suaminya berubah. Saya kalau lihat wajah tu, memang teringat masa saya dan isteri susah dulu. Saya tahu, waktu tiada apa-apa, bila anak meminta sesuatu, rasa down sangat tak dapat sediakan," ujarnya lagi.

Memahami situasi keluarga itu, Ustaz Abu menawarkan diri untuk membelikan keluarga itu makan malam.

Susah yang mereka hadapi, memang real. Setiap hari berjuang untuk mencari rezeki.

MUHAMMAD ABU HURAIRAH ROSLAN

"Laptop pun dah nak siap ni, tinggal saya install software. Saya keluar berlari terus ke kereta, dan menangis.

"Memang saya tak mampu tahan sebak, itu yang saya nekad nak belikan juga nasi goreng untuk mereka sekeluarga. Entah satu hari ini tak makan lagi rasanya," katanya.

Selepas menerima komputer riba yang siap dibaiki, pasangan suami isteri menyerahkan sejumlah wang yang termampu untuk membayar caj servisnya.

"Ustaz, maaf sebab kami ada ini saja. Saya dan suami dapat buat bisnes, saya bayar perlahan-lahan ya. Itulah ustaz, itu duit baki kami. Maaf ustaz, dalam tangan saya ada RM28 sahaja," kata suami isteri itu.

Sedekah merupakan amalan mulia. -Gambar hiasan

Ustaz Abu bagaimanapun menolak bayaran caj baiki komputer riba itu, sebaliknya dia pula memberikan sumbangan kepada suami isteri berkenaan.

"Yang soal kerja saya tadi, tak apa. Saya buat percuma saja. Nanti guna beli barang dapur. Tak banyak, tapi InsyaAllah. Mereka ambil duit tu, dan cium," katanya.

Menurut Ustaz Abu, dalam seminggu ini ramai yang datang di kedainya untuk datang membaiki, dan kebanyakan mereka mahu berhutang dahulu dari segi caj membaiki.

"Mereka tak mampu bayar lagi sebab memang mereka tiada duit langsung. Kalau ada, tinggal untuk anak-anak.

"Saya tak tahu bagaimana nak menolong, cuma saya ada kedai, saya ada tenaga dan kalian yang baik hati memberi (sumbangan).

"Susah yang mereka hadapi, memang real. Setiap hari berjuang untuk mencari rezeki. Perlu kepada komputer atau telefon untuk menyambung rezeki," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain