suria

Peniaga sedekah tepung pelita tak laku ke pusat tahfiz... Guru sebak anak didik diberi makan makanan hancur

Memberi sedekah makanan yang sudah rosak adalah sesuatu yang amat dikesali.

KETIKA bulan Ramadan, digalakkan untuk memperhebatkan amal jariah seperti menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Pelbagai bentuk sedekah mengikut kemampuan boleh diberikan seperti makanan, pakaian dan wang ringgit.

Namun, terdapat segelintir masyarakat yang sepertinya salah faham dengan konsep sedekah sehingga menyebabkan penerimanya teraniaya.

Melalui satu hantaran tular di laman Facebook, seorang lelaki yang juga pengurus pusat tahfiz menzahirkan rasa sedih dan kecewa kerana anak muridnya menerima saki-baki tepung pelita daripada seorang peniaga bazar Ramadan.

Bazar Ramadan menjadi kemestian setiap kali tibanya bulan mulia ini. -Gambar hiasan

Menurutnya, mereka sememangnya bersyukur dengan apa yang direzekikan, cuma sedikit terkilan kerana kerap dijadikan sebagai tempat 'pembuangan' lebihan makanan.

"Inilah rezeki moreh anak-anak tahfiz. Sering kali terjadi tetapi dunia luar kurang maklum.

"Tatkala pengusaha bazar Ramadan kelam-kabut untuk pulang berbuka, mereka singgah sebentar ke madrasah bagi meninggalkan kuih-muih yang tidak habis dijual.

"Para pelajar tetap bersyukur kerana mereka sudah dididik sebegitu. Tetapi kami para guru dan pengurusan hampir mengalirkan air mata.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Leng chai’ untung besar sepanjang Ramadan! Buat live TikTok boleh jual 700 pasang baju Melayu sehari

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kerja biasa-biasa’, tapi grup anak muda ini semangat membara nak tolong orang susah - “Ada yang baru keluarkan duit BPN, mereka sanggup derma”

"Saya amat sarankan jika anda hendak berikan sesuatu seperti makanan khususnya, berilah yang terbaik untuk anak-anak ini," ujar lelaki itu.

Turut disertakan bersama hantaran itu adalah sekeping gambar menunjukkan beg plastik berisi kuih tepung pelita yang sudah tunggang terbalik seperti 'tongkang pecah'.

Tambah lelaki tersebut, dalam bersedekah adalah penting untuk mempunyai keikhlasan hati.

"Jika hendak diberikan makanan kepada orang lain, beli atau buat yang segar. Jangan hanya sisa-sisa jualan yang diberikan. Insya-Allah pasti rezeki anda berkat dan dilimpahi rahmat," tegurnya.

Perlu dikesali apabila ada penderma menjadikan pusat tahfiz sebagai tempat pembuangan barang yang tidak digunakan.

PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pelayar berasa hiba melihat pelajar tahfiz berkenaan terpaksa menjamah makanan yang sebegitu rupa.

"Ya Allah sedihnya, terbayang kalau anak aku dijamu dengan hidangan macam tu, luluh hati ni. Dah tak rupa makanan gamaknya.

"Kalau macam saya dulu buat kenduri jemput anak-anak tahfiz, saya akan bagi mereka makan dulu sebelum tetamu yang lain sampai.

"Walaupun bagi percuma makanan, bungkuslah betul-betul. Ini sekolah tahfiz yang ada manusia di dalamnya, mereka bukan tong sampah," ujar warga maya.

Sebahagian komen warga maya.

Sebagai peringatan bersama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah mengupas tentang topik memberi sedekah lebihan makanan kepada pusat tahfiz.

Katanya amalan bersedekah adalah sesuatu yang mulia dan disukai oleh agama Islam.

Namun perbuatan sengaja menyedekah barang-barang yang boleh mendatangkan kemudaratan dan bahaya kepada penerima adalah satu perkara yang haram dan dilarang disisi syarat.

"Perlu difahami, pusat-pusat pengajian seperti ini bukanlah satu tempat buangan barang yang tidak lagi dikehendaki.

"Perkara ini perlu dikesali apabila ada penderma menjadikan pusat tahfiz sebagai satu pusat pembuangan barang-barang yang tidak digunakan lagi," demikikian menurut perkongsian di portal berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain