suria

Ramai hairan gadis ini terlalu tenang kongsi cerita kereta kena pecah, ‘Android player’ hilang - “Melawan hukum perempuan ni kak”

Zahirah menunjukkan keadaan keretanya selepas dipecahkan pencuri.

SIKAP tenang seorang gadis tatkala berdepan ujian selepas kereta jenis Perodua Myvi miliknya dipecahkan pencuri ketika parkir di kawasan kediamannya di Pangsapuri Aman Puri di Kepong, Kuala Lumpur menarik perhatian ramai.

Sungguhkan peranti Android kereta miliknya hilang dalam kejadian pada Sabtu lalu itu, gadis yang hanya ingin dikenali sebagai Zahirah berkata tiada apa yang boleh dilakukan melainkan sabar dan reda.

Ketika dihubungi mStar, Zahirah, 23, berkata dia hanya menyedari tentang hal berkenaan ketika hendak keluar berjumpa rakannya.

Keadaan sebelum dan selepas peranti kereta Android milik Zahirah dicuri.

"Ketika sedang berjalan untuk ke kereta yang diparkir dekat kawasan apartment, saya mula perasan dari jauh yang pintu kereta terbuka. Saya sudah mula panik.

"Apabila saya sudah hampir dengan kereta, barulah nampak atas jalan tu penuh dengan kaca cermin pintu kereta. Saya berdiri di tepi kereta dan terdiam untuk beberapa saat.

"Lepas tu barulah saya tengok barang apa yang hilang dan sedar Android car player dah ditanggalkan. Barulah saya rakam video dan muat naik di media sosial hingga viral tu," ujarnya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Cermin kereta kena pecah, pencuri rembat 2 joran! Kecewa pengurus cuma ‘sembang’ nak ambil tindakan

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta dipandu wanita terjunam dari parkir tingkat satu, bumbung kenderaan pecah!

Terdahulu Zahirah mencuri perhatian lebih 3.8 juta pengguna TikTok selepas dia berkongsi tentang insiden mengejutkan itu dengan penuh sabar dan tenang.

Dengan tutur kata bersahaja tanpa beremosi, Zahirah begitu tenang bercerita tentang kejadian malang yang menimpanya itu.

"Pelik juga ni sebab macam tenang sangat la kak. Melawan hukum perempuan ni kak, nampak tenang.

"Mungkin hati akak ni lagi remuk daripada kereta yang kita nampak.

Saya belajar untuk reda dengan apa yang terjadi, mungkin ada silap saya juga... jadi saya terima.

ZAHIRAH

"Santai sangat ni, akak lupa cara marah ke? Pertama kali jumpa perempuan setenang ini," demikian usia warga maya.

Dalam pada itu Zahirah berkata, susulan kejadian dia mengalami kerugian sebanyak RM1,000 dan sudah membuat laporan polis.

"Masa buat laporan polis tu, saya diberitahu saya adalah mangsa kedua kes pecah kereta. Walaupun banyak kereta lain diparkir dekat kawasan gelap tu, tapi saya yang kena.

"Nak dijadikan cerita, selama tiga tahun sebelum ni saya guna tinted gelap dengan kadar gelap 90 peratus. Tapi saya baru tukar selepas ditegur Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Lepas buat laporan, saya dan ayah uruskan pula bab gantikan cermin pecah pada hari yang sama sebab risau kalau hujan nanti air masuk dalam kereta," ujarnya lagi.

Wanita ini terkejut apabila melihat keadaan keretanya selepas diceroboh.

Mengulas tentang komen netizen yang rata-ratanya kagum dengan sikap penyabar yang ditunjukkan, Zahirah berkata dia sekadar belajar untuk reda dengan segala ujian yang dihadapi.

Jelasnya, walaupun terkilan dengan apa yang berlaku dia menganggap ia sebagai ujian sempena bulan Ramadan.

"Untuk minggu ni saja memang banyak ujian yang mendatang dan saya hadapi seorang diri. Jadi saya belajar untuk reda dengan apa yang terjadi. Mungkin ada silap saya juga, jadi saya terima.

"Sebelum ni ibu dan bapa selalu bagi teguran agar jangan parkir dekat tempat gelap tapi saya agak degil tak dengar cakap mereka. Jadi ini ujian untuk saya sebab tak dengar cakap mereka," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain