suria

Dah beratur 20 minit nak beli martabak, lelaki Cina terkejut kena ‘sound’ pakcik di belakang... Nasib baik peniaga pasang telinga!

Martabak merupakan antara juadah yang popular di bazar Ramadan. -Gambar hiasan

SABAN tahun bazar Ramadan adalah antara aktiviti jualan yang paling dinanti-nantikan bukan sahaja umat Islam, malah penganut agama lain.

Pada waktu inilah masyarakat tanpa mengira bangsa mengambil peluang untuk menjamu mata sambil membeli aneka juadah yang diniagakan ibarat pesta makanan.

Bagaimanapun dalam keseronokan menyaksikan keharmonian pengunjung berbilang kaum, tidak dinafikan terselit juga insiden kurang enak yang sedikit sebanyak 'merosakkan' kemeriahan bazar Ramadan.

Dalam satu hantaran di laman X, seorang individu tampil berkongsi pengalaman kurang enak yang dialaminya di bazar Ramadan hanya kerana dia bukan penganut agama Islam.

bazar 1

Masyarakan berbilang kaum tidak melepaskan peluang untuk membeli aneka juadah di bazar Ramadan. -Gambar hiasan

"Tahun lepas saya pergi ke bazar TTDI (Taman Tun Dr Ismail) dan sedang beratur sekitar 20 minit untuk membeli martabak.

"Kemudian seorang pakcik yang berada di belakang tanya saya, 'Cina tak puasa pun tak boleh bagi kita beli dulu ke?'," tulisnya dalam bahasa Inggeris, mengimbas kembali insiden yang dialaminya.

Meskipun agak terkejut dengan kata-kata tersebut, individu itu bagaimanapun lega apabila peniaga martabak di gerai berkenaan tampil mempertahankan haknya sebagai pembeli.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 tahun tak ibadat, bisnes kencang bazar Ramadan jatuh merudum! Suami isteri malu, baru sekali baca al-Quran Allah beri semula nikmat

ARTIKEL BERKAITAN: “Sejuk macam masak semalam” - Serik beli makanan tak kena dengan tekak, dah setahun individu ini boikot bazar Ramadan

"Pemilik gerai atau makcik cakap kepadanya, 'beratur je la, bukan kita (nak) berbuka puasa dalam masa lima minit pun'. Terima kasih, makcik," kongsinya lagi.

Individu berkenaan malah berkata dia sendiri tidak kisah untuk memberi keutamaan kepada pengunjung yang ingin berbuka puasa sekiranya waktu ketika itu sudah hampir menjelang Maghrib.

"Tapi ketika itu sekitar 6 petang dan saya juga terlalu lapar, jadi apakah yang memberi anda hak atau alasan untuk memotong barisan saya?," tulisnya lagi.

Perangai apa ni? Dah 2024 guys, jangan kolot sangatlah.

NETIZEN

Bagaimanapun ujarnya, dia tidak mengambil hati dengan kata-kata lelaki berkenaan malah tidak menganggap ia sesuatu yang biadab.

"Boleh faham (tindakan itu disebabkan) rasa lapar tetapi saya hanya terkejut dengan permintaan tiba-tiba pakcik (itu)," jelasnya lagi.

Perkongsiannya menjadi tular sehingga meraih lebih 4,300 ulang kicau.

Sementara itu di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kesal terhadap sikap yang ditunjukkan oleh pengunjung lelaki berkenaan.

komen bazar

Antara komen netizen terhadap perkongsian individu berkenaan.

"Kesal dengan apa yang berlaku pada kamu. Sebetulnya bulan puasa ni ajar Muslim lebih bersabar.

"Orang yang mulut tak jaga memang macam tu bro. Teruskan enjoy bazar Ramadan!

"Perangai apa ni? Dah 2024 guys, jangan kolot sangatlah," demikian komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain