suria

Abang kurier ralat tak sempat hantar ‘baju raya terakhir’! Seharian tak tenang, malam lalu depan rumah arwah tanpa tujuan

Ajal boleh menjemput seseorang itu pada bila-bila masa. -Gambar hiasan

AIDILFITRI merupakan masanya untuk kita berhimpun bersama keluarga tersayang di kampung halaman bagi meraikan hari kemenangan umat Islam.

Walaupun begitu, tidak semua mampu bergembira pada hari lebaran ini, ada juga yang terpaksa berduka berdepan ujian.

Seperti kisah meruntun jiwa dan emosi ini yang diceritakan melalui ciapan di laman X, yang mana seorang pekerja kurier bertugas menghantar bungkusan ke sebuah kediaman beralamat di Perlis.

Aneka baju raya menjadi kemestian dengan menjelangnya Syawal. -Gambar hiasan

Menurut lelaki itu, bungkusan yang berisi baju raya tersebut dikirim dari Pulau Pinang oleh seorang anak kepada bapanya di kampung, namun tidak sempat diterima kerana bapanya telah menghembuskan nafas terakhir.

"Cerita sedih hari ni. Aku hantar bungkusan baju raya dekat rumah seorang pelanggan ni. Anak dia duduk Pulau Pinang belikan baju untuk ayah dia sebagai hadiah surprise.

"Aku hantar waktu petang tapi pakcik tu dah meninggal tengah hari. Aku rasa terkilan yang amat. Aku telefon anak arwah untuk maklumkan, dia cakap dia dalam perjalanan balik Perlis sambil kedengaran suaranya menangis teresak-esak.

ARTIKEL BERKAITAN: Impian tercapai sebelum ‘pergi’! Suami merasa kerja ‘gomen’ walau cuma 23 hari, isteri dedah arwah tak jemu tunggu panggilan

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis kucing terkena parvo dibuang di klinik berserta nota penuh emosi, doktor veterinar tak maafkan pelaku

"Ketika aku hantar bungkusan tu, isteri arwah yang datang ambil. Waktu aku hulur tu, isteri arwah siap cakap lagi, pakcik tak ada dah, tak sempat dia nak tengok baju raya anak dia beli.

"Aku bila dengar macam tu terus otak bercelaru. Aku berhentikan motosikal tepi jalan, rehat sekejap dekat bawah pokok untuk tenangkan fikiran. Aku tak kenal arwah secara peribadi, tapi benda ni macam mendalam," ujar pekerja kurier itu.

Bagi meredakan gelora di hati, lelaki itu memutuskan untuk sekali lagi melewati rumah arwah pada sebelah malamnya.

Kita tengok daripada sisi cerahnya, arwah pergi waktu bulan Ramadan, semoga pintu syurga terbuka luas untuk pakcik tu.

WARGA MAYA

"Lepas solat tarawih malam tu, aku lalu sekali lagi depan rumah arwah. Nampak pakcik tu dah selamat dimasukkan ke dalam van jenazah. Berangkatlah dia ke negeri abadi.

"Aku doakan semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Aku memang berserabut otak ni daripada mula aku dapat perkhabaran tu.

"Waktu dah berbuka barulah aku boleh hadam sikit apa yang berlaku," kata pekerja kurier berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya terkesima dengan perkongsian kisah tersebut.

Sebahagian ciapan balas warga maya.

"Teringat ada orang pernah cakap dulu, apabila kita meninggal, ibarat rezeki kita dah habis dekat dunia ni. Maksudnya baju raya yang anak tu belikan tak termasuk dalam rezeki arwah.

"Sedih betul rasa kalau aku dekat tempat anak dia. Tapi tak mengapa, kita tengok daripada sisi cerahnya, arwah pergi waktu bulan Ramadan, semoga pintu syurga terbuka luas untuk pakcik tu.

"Sama kisah waktu aku kerja bahagian sales dulu, ada seorang makcik ni datang tengok-tengok ubat untuk anak dia yang sakit, nak beli belum ada bajet. Seminggu selepas tu aku call makcik tu untuk follow-up, rupanya anak dia dah meninggal.

"Kosong terus rasa bila dengar macam tu. Aku keluar pergi bakar sampah dan tenung je api," ujar sebahagian warga maya

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain