suria

Ucapan ‘assalamualaikum’ di kubur abah tiba-tiba dijawab, anak rungkai misteri suara halus - “Mungkin arwah gembira kami datang”

Wanie berkongsi peristiwa terdengar suara seseorang ketika menziarahi kubur arwah bapanya, minggu lalu.

JIKA ditelusuri hantaran di media sosial, ramai individu pernah berkongsi pengalaman 'aneh' sewaktu menziarahi atau berada di tanah perkuburan.

Antaranya, terdengar bunyi seakan-akan jeritan meminta pertolongan, kelibat haiwan di dalam liang lahad dan sebagainya.

Malah mereka turut berkongsi video sebagai bukti untuk tatapan warga maya.

Baru-baru ini tular satu video dikongsikan seorang individu di laman TikTok yang tanpa sengaja merakam suara 'misteri' seakan-akan seseorang menjawab salam.

Berkongsi dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Wanie berkata, video tersebut dirakam ketika dia menziarahi pusara arwah bapanya, petang 21 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Masa ziarah tenang je suasana tanah perkuburan, dari mana datang ‘suara lain’ dalam video? Wanita anggap Allah beri peluang rakam alam kubur

ARTIKEL BERKAITAN: Melepas rindu di pusara! Tak puas 2 kali ‘jumpa’ atok abah, cucu tak nak tinggalkan kubur selagi tak dapat ziarah kali ketiga

"Saya dan ahli keluarga sememangnya kerap menziarahi pusara arwah abah sejak dia meninggal dunia pada 12 September 2022. Mak selalu pesan, seeloknya ziarahlah pada waktu yang disunatkan seperti petang Khamis selepas Asar dan hari Jumaat.

"Khamis lepas, saya bersama mak, suami, kakak, adik lelaki dan seorang anak saudara menziarahi kubur arwah. Seperti rutin sebelum ini, saya akan memberi salam ketika ziarah pusara abah.

kubur 3

Gambar kenangan Wanie bersama arwah abah dan ibunya.

"Turun je motor, terus saya bergerak menuju pusaranya. Saya memang gemar rakam video dan ketika itu memang rekod untuk simpanan peribadi.

"Beberapa hari kemudian, saya muat naik di status WhatsApp. Tiba-tiba seorang anak buah tegur... katanya dengar macam orang jawab salam di dalam video tu. Apabila saya teliti semula, memang terkejut sebab jelas suaranya," ujar wanita yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini.

Menurut Wanie, dia turut meminta kepastian daripada ahli keluarganya dan mereka turut terkejut apabila melihat rakaman video tersebut.

Secara tak langsung, ia buat saya rasa membuak-buak nak ziarah selalu.

WANIE

"Saya pasti memang saya saja yang jalan dahulu ke kubur ketika itu, yang lain masih berada dekat motor di belakang. Mereka pun mengiyakannya.

"Dan waktu itu, tiada orang lain berdekatan kubur... keluarga kami sahaja yang menziarahi kubur waktu itu. Ketika di kubur, saya tak dengar apa-apa pun. Apabila teliti rakaman je baru dengar.

"Waktu dengar suara jawab salam tu, perasaan saya bercampur baur... lebih banyak sebak. Tertanya-tanya 'abah ke tu?'. Kami memang kerap ziarah pusaranya.

"Mungkin arwah gembira kami datang. Diberi peluang pengalaman macam ni pada bulan Ramadan pula tu. Secara tak langsung, ia buat saya rasa membuak-buak nak ziarah selalu," ujar wanita berusia 32 tahun ini.

Bercerita serba sedikit mengenai bapanya, Wanie berkata arwah meninggal dunia selepas mengadu sakit dada.

kubur 2

Wanie kerap menziarahi pusara arwah bapanya yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

"Abah jatuh sakit pada 2016... ketika itu dia diserang minor stroke. Kami bawa berubat, berurut. Alhamdulillah ada perubahan.

"Arwah dalam keadaan baik dan sihat sahaja sebelum dia 'pergi'. Pada pagi itu, arwah sempat bersarapan sebelum tiba-tiba mengadu sakit dada dekat mak.

"Tak lama lepas tu, dia hembuskan nafas terakhir. Semuanya berlaku dengan pantas... seolah-olah begitu mudah sahaja dia 'pergi'," cerita anak ketujuh daripada sembilan orang adik-beradik ini lagi.

Wanie menambah, dia sekadar mahu mengabadikan video berkenaan sebagai kenangan di laman sosial, namun tidak menyangka tular sehingga meraih ratusan ribu jumlah tontonan.

"Apa yang boleh say katakan, selagi orang tua masih ada, cubalah buat kebaikan sebanyak mungkin. Balik kampung selalu, raikan dan hargai mereka. Kita rasa macam remeh, tapi pada mereka mungkin besar nilainya," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain