DUGAAN berat dihadapi seorang usahawan apabila salah satu daripada reban ayam yang diternaknya roboh dalam kejadian petang Selasa. Pemilik syarikat pembekal ayam segar, Baharudin Ahmad, berkata usia reban ayamnya yang sudah melebihi 30 tahun dipercayai menjadi punca berlakunya insiden ini. Ketika dihubungi mStar, Baharudin yang membekalkan ayam segar di sekitar Johor menjelaskan ujian pada bulan Ramadan ini menyebabkan dia mengalami kerugian dianggarkan RM200,000. Reban ayam runtuh dalam kejadian pada Selasa petang. "Saya anggap apa yang berlaku ni sebagai dugaan bulan puasa. Reban ayam berkapasiti 14,000 ekor tu 'rebah'. "Reban tu roboh berpunca daripada faktor kayu kayan yang sudah banyak reput disebabkan usianya yang 'tua'. Jadi reban tu tak mampu nak menampung berat ayam sedia ada. "Sepanjang saya mengusahakan perniagaan, ia merupakan kali pertama kejadian ini berlaku," ujarnya. Bercerita lanjut, katanya, ada juga ayam ternakannya yang turut terkorban dalam runtuhan tersebut gara-gara dihempap kayu dan terperangkap di bawah reban. ARTIKEL BERKAITAN: Idea tercetus ketika kerjakan umrah, wanita ini dedah punca bersedekah tak kira siapa... sayu kenangkan keluarga dipaksa keluar rumah ARTIKEL BERKAITAN: Enggan terus alami kerugian besar, pengilang pakaian di Leicester berdegil buka premis ketika ‘lockdown’ Menguruskan syarikat Ayam Norliza bersama isteri, Norliza Muhd Yunos, Baharudin berkata dia akan membina semula reban baharu dengan binaan lebih kukuh. Bagaimanapun, pembinaan reban baharu yang menggunakan konkrit itu bakal mengambil masa sekitar satu tahun dan menelan kos sebanyak RM300,000. "Saya ada lapan lagi reban ayam yang memuatkan 65,000 ekor ayam. Buat masa sekarang, ayam yang masih hidup dipindahkan ke dalam reban yang masih kukuh. "Reban ayam yang akan dibina nanti akan lebih kukuh dan baik. Saya dan isteri juga merancang untuk membina sistem tertutup iaitu close house dengan menggunakan pendingin hawa di dalam," ujarnya lagi. Setakat ni masih dalam kawalan walaupun satu reban sudah roboh. BAHARUDIN Walaupun insiden tersebut sedikit sebanyak memberi impak kepadanya, namun operasi membekalkan ayam tetap berjalan setiap hari. Apatah lagi musim raya bakal tiba, jumlah ayam yang disembelih adalah sekitar 50,000 ekor setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan. "Dianggarkan ayam yang akan keluar (pasaran) dalam 1.5 juta ekor untuk memenuhi permintaan orang ramai sekitar Johor dan berdekatan dengannya. "Setakat ni masih dalam kawalan walaupun satu reban sudah roboh. Ladang di kawasan lain masih ada ayam dan mencukupi menjelang Hari Raya," jelasnya lagi. Masih terdapat bangkai ayam pada celahan kayu pada hari ketiga. Menurut Baharudin, proses untuk membersihkan reban ayam yang roboh masih berterusan selepas hari ketiga kejadian. Katanya, masih terdapat bangkai ayam ditemukan dalam celahan kayu yang dikutip. Bagaimanapun kejadian tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengembangkan perniagaan dari semasa ke semasa. "Saya berharap untuk masa akan datang syarikat ini lebih dikenali dan berkembang dengan pelbagai aspek baik ternakan mahupun kilang pemprosesan. "Semoga syarikat saya menjadi salah satu kilang pembekal ayam bumiputera yang membekalkan ayam halal di seluruh negeri suatu hari nanti," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube