suria

Dugaan Ramadan... Model lelaki hilang ‘job’ sebelum azan Maghrib, buka cerita sepak terajang dunia glamor!

Mutalib Mubin berkongsi realiti kehidupan sebagai model dan 'talent'. -Foto Faridz Salleh

KETIKA umat Islam menunggu azan Maghrib berkumandang yang menandakan waktu berbuka puasa, seorang pemuda diuji dengan berita yang mengejutkan.

Pada masa itu dia sudah tidak dapat menahan sebak apabila dimaklumkan mengenai kerja yang ditawarkan kepadanya dibatalkan pada saat akhir.

“Awal-awal suruh lock tarikh... esok hari patut shoot, tahu-tahu dapat mesej WhatsApp waktu nak berbuka.

“Terpaling syahdu, dah locked tapi dibatalkan begitu saja. Terikat namun tak bertali, mencuba mencari rezeki, namun dibuang jua,” luah seorang pemuda menerusi video yang dimuat naik di laman sosial.

Berkongsi luahan hatinya, Abdul Mutalib Abdul Mubin berkata, perkara itu berlaku pada bulan Ramadan ketika umat Islam hendak berbuka puasa.

Sebagai model dan talent, pemuda berusia 33 tahun ini memberitahu namanya digugurkan bagi satu tawaran kerja melibatkan iklan video korporat.

“Masa tu saya dalam perjalanan pulang ke rumah untuk berbuka puasa. Sikit je lagi nak sampai rumah, dah nak waktu Maghrib.

“Sekali dapat mesej menyedihkan macam tu, job untuk saya batal saat akhir sehari sebelum shooting (penggambaran). Pihak produksi terpaksa potong bajet. Saya berhenti tepi jalan sekejap, tarik nafas untuk tenangkan diri, saya tanya kenapa jadi macam ni?” katanya kepada mStar.

Antara mesej 'pembatalan saat akhir' diterima Mutalib Mubin.

Dikenali sebagai Mutalib Mubin, dia terkilan dengan keputusan mengejut daripada pihak agensi mengenai pembatalan itu dan menyifatkan pemberian token sebagai ‘pampasan’ adalah tidak setimpal.

“Dua hari sebelum kejadian, saya menerima mesej mengena satu job lain yang turut dibatalkan. Patut shooting malam, tapi petang tu dapat mesej nak cancel. Senangnya beritahu dah ada pengganti.

“Lagi satu job iklan, dah deal awal tapi terpaksa tolak sebab terikat dengan satu job lagi. Akhirnya yang sedang tunggu batal, yang nak masuk pun batal,” ujarnya yang berasal dari Cheras, Selangor.

Mutalib Mubin berpengalaman dalam bidang peragaan sejak 2016.

Berpengalaman dalam bidang peragaan sejak 2016, pemuda berketinggian 181 sentimeter ini reda berdepan ujian sebanyak tiga kali tawaran kerja dibatalkan dalam bulan Ramadan.

Mewakili Malaysia bagi pertandingan Man of The Globe 2022, Mutalib Mubin lebih kesal dengan tindakan dan sikap pihak agensi dan ‘orang tengah’ yang tidak profesional.

Orang hanya melihat kerjaya sebagai model dan talent boleh jadi terkenal dan buat duit.

MUTALIB MUBIN

MODEL DAN PELAKON

“Saya kesal, kenapa dilayan begitu. Benda ni adalah kerja, bukan main-main, jadi perlu profesional. Ini baru isu batal job saat akhir. Belum lagi masalah lain membabitkan bayaran tertunggak kepada talent dan tukar tarikh saat akhir hingga bertindih dengan job lain.

“Kalau kita tak datang, mereka burukkan kita, kalau mereka yang batal saat akhir boleh pula. Mereka fikir untung saja, tanpa fikir kami punya rugi,” soalnya sambil menambah pampasan yang diberikan seharusnya setimpal atau diberikan bayaran lebih tinggi.

Beraksi di pentas peragaan.

Untuk rekod, Mutalib Mubin berpengalaman dalam pelbagai iklan komersial dan papan iklan gergasi jenama terkemuka, serta pentas peragaan termasuk membintangi beberapa drama dan filem.

ARTIKEL BERKAITAN: Tampan di pentas peragaan, ‘Man of The Globe Malaysia’ selesa nikah gadis biasa! Sabar bantu isteri turun berat badan

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Sweet’ cucu manja dengan nenek umur 93 tahun... Pandai mengaji, mahir tajwid! Dulu belajar al-Quran sebab nak dapat upah 50 sen

Antara bakat lakonan yang ditonjolkan adalah sebagai pelakon tambahan menerusi drama Lelaki Itu dan Khilaf Yang Tertulis, malah pernah memegang watak antagonis dalam filem Badang.

Antara pencapaian Mutalib Mubin sepanjang bergelar model dan 'talent'.

Bagaimanapun, ujian yang berlaku tidak mematahkan semangat penerima Anugerah Model Asia pada majlis Asia Fashion Runway Collection di Kuala Lumpur, pada Disember lalu untuk terus mengembangkan karier dalam peragaan termasuk bakatnya dalam bidang lakonan.

“Bagi saya ini bukan isu hitam putih. Sebab kalau ada hitam putih pun ada juga ‘langgar’. Apa yang terbaik adalah melakukan kerja secara berperikemanusiaan dan profesional.

“Benda macam ni banyak berlaku terutamanya pada talent. Tak sihat dan tak betul, jadi perlu dihentikan. Saya bersuara sebab kasihan dekat semua talent.

“Kami ni manusia, cari makan. Kami buat kerja dengan sempurna tapi dilayan macam pakai buang. Manusia ada hati dan perasaan, akal fikiran. Jadi, respek antara satu sama lain,” katanya.

Mutalib Mubin mahu terus melangkah ke hadapan bagi mengembangkan kerjaya.

Jelas Mutalib Mubin lagi, dia sebenarnya selesa bekerjasama dengan kru produksi dan kebanyakan mereka yang terlibat juga amat profesional.

“Saya tak akan pernah serik kerana tak semua produksi yang macam tu (bermasalah). Kebanyakan mereka profesional. Yang bermasalah ini hanya segelintir.

“Orang hanya melihat kerjaya sebagai model dan talent boleh jadi terkenal dan buat duit, banyak produksi nak tawar job. Itu adalah yang baik mengenainya. Tapi kalau ada isu dan masalah, ia tidak memberi keadilan kepada talent.

“Saya tidak akan berputus asa. Saya akan terus melangkah ke hadapan dan melihat kepada yang positif dan mengetepikan negatif dalam mengembangkan kerjaya,” katanya mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain