SEBAIK sahaja tiba di Tanah Suci, para jemaah biasanya akan 'meninggalkan' seketika hal duniawi demi memberi fokus kepada ibadah umrah. Begitulah yang terjadi kepada seorang individu selepas telefon pintar iPhone miliknya hilang ketika berada di Madinah. Meskipun kehilangan barangan berharga, dia mengakui tidak mempunyai sebarang perasaan sedih kerana beranggapan ia mustahil untuk ditemui kembali. Apabila dilanda ujian, kita perlulah berdoa dan memohon kepada Allah. -Gambar hiasan "Hilang iPhone pertama saya yang baru dibeli di Madinah. Saya dah niat nak fokus betul-betul ibadah umrah kali ini. Disebabkan selalu bersama ibu, ibu je yang ada internet, saya tak ada. "Pada satu petang tu, lepas balik solat Asar, tiba-tiba telefon saya tiada. Periksa dalam beg pun tak ada. Saya ingatkan diri mana saya letak fon tu. "Sebelum tu masa jalan ke masjid tak pegang telefon dan letak dalam poket. Kemudian selepas dah hilang saya memang tak ada perasaan langsung. Sedih pun tak sebab dah hilang, nak cari dekat mana? Masjid Nabawi tu luas kot," ujarnya. Berdoa di bumi Rasulullah tiada hijabnya, doalah apa-apa... pasti dimakbulkan. PEMILIK IPHONE HILANG Menerusi perkongsian di laman X, individu itu berkata dia turut memohon doa dalam linangan air mata dan reda sekiranya tiada rezeki untuk mendapatkan peranti itu semula. "Adik tolong selongkar bilik, kot-kot jatuh bawah katil tapi tak jumpa. Saya masih tenang. Lepas je solat Maghrib, masa nak berdoa tu, baru saya ada perasaan dan menangis teruk. "Saya berdoa, kalau telefon tu bukan terbaik untuk saya, saya reda ia hilang. Saya siap mengadu kat Allah yang saya menabung lama untuk beli telefon tu. Saya tiada duit banyak nak beli telefon baru sebab tak ada kerja lagi," ceritanya. ARTIKEL BERKAITAN: Tukar iPhone setiap tahun sebab minat! Hak masing-masing, hutang tanggung sendiri - “Kenapa sibuk hal orang?” ARTIKEL BERKAITAN: Hanya guna iPhone, pemuda tawar khidmat video kahwin dengan harga RM200 je... Jadual ’shoot’ pengantin penuh sampai Mei tahun depan! Tambah individu itu lagi, alangkah terkejutnya dia kerana berlaku satu keajaiban apabila ibunya menerima mesej daripada seorang individu memaklumkan tentang penemuan peranti miliknya. "Malam tu balik hotel macam biasa. Adik-adik bekerja keras cari telefon guna aplikasi Find My iPhone tapi tak dapat. Mungkin tak boleh kesan sebab tiada internet. "Jadi sebelum tidur, terdetik nak periksa telefon mak dan tiba-tiba nampak WhatsApp daripada unknown. Apabila buka chat, dia hantar gambar telefon saya. Ya Allah sangat tak sangka. "Adik saya chat dengan orang tu dalam bahasa Arab sebab yang jumpa tu penduduk Madinah dan dia kontraktor area masjid. Dia jumpa telefon saya jatuh tepi jalan. Dia check dekat bahagian emergency, ada nombor telefon ibu saya," ujarnya lagi. Semua umat Islam memasang impian untuk menjejakkan kaki ke tanah suci. -Gambar hiasan Menurut pemilik akaun X itu, dia sukar melupakan detik berkenaan dan berharap masih ada rezeki untuknya menjejakkan kaki lagi ke tanah suci. "Esoknya lepas Asar dia datang pulangkan dekat hotel. Nak bagi upah pun dia tolak. Ya Allah, itulah detik paling saya tak akan lupa sampai bila-bila. "Kalau ikutkan macam mustahil nak dapat balik tapi kuasa Allah kan. Berdoa di bumi Rasulullah, tiada hijabnya, doalah apa-apa, pasti dimakbulkan. Moga ada rezeki lagi nak ke sana," ceritanya. Perkongsian individu itu meraih hampir 3,000 ulang kicau di platform X. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube