suria

Keluarga masih sedih, pilih hitam warna tema Aidilfitri... Kakak dedah perbualan dengan Bella beberapa hari sebelum hilang

Norisham (hujung, gambar kanan) mengakui sambutan Aidilfitri kali ini sangat berbeza buat keluarganya selepas pemergian Bella.

"AIDILFITRI tahun ini sangat berbeza buat keluarga kami."

Demikian kata Norisham Samsusah, kakak kepada Mila Sharmila atau lebih dikenali sebagai Bella, yang mati dibunuh dengan kejam pada Disember tahun lalu.

Tiada lagi keriuhan suara arwah saat membuat kuih raya, menyediakan juadah dan berdandan bersama-sama di kampung halaman sebelah bapa mereka di Kuala Selangor sebagaimana tradisi tahun-tahun sebelumnya.

"Kami memang akan sambut raya di Kuala Selangor setiap tahun. Selalunya dua hari sebelum Aidilfitri, kami dah sampai di kampung untuk buat persiapan.

"Arwah Bella selalu turun padang membantu buat biskut raya. Salah satu biskut kegemarannya adalah cip coklat.

bella 2

Allahyarhamah Mila Sharmila atau Bella yang mati dibunuh dengan kejam pada Disember tahun lalu.

"Pagi raya pula, riuh suara kami berdandan dan menyiapkan anak masing-masing. Tapi kali ini tiada lagi kelibat satu-satunya adik saya.

"Gambar raya kami sekeluarga juga dah tak lengkap. Saya antara yang paling terkesan sebab hampir semuanya kami buat bersama-sama... dah macam belangkas. Tapi semuanya hanya tinggal kenangan," ujar wanita berusia 37 tahun ini kepada mStar.

Menurut Norisham, beberapa hari sebelum kehilangan Bella, mereka dua beradik sempat berbincang mengenai tema warna baju raya kerana sering menggayakan rona sedondon setiap tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Rangka manusia: Kakak harap bukan Bella... Ibu berat hati, mahu keadilan sewajarnya

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu 2 anak kecil lihat arwah Bella kali terakhir, jenazah selamat dikebumi

"Bella ada tanya saya, 'raya nanti nak pilih tema warna apa?'. Tapi masa tu saya cakap 'nantilah kita bincang'. Sebab biasanya kami akan beli dan hantar kepada tukang jahit dua atau tiga bulan lebih awal.

"Ada hikmah sebenarnya kami belum sempat pilih warna tema dan beli kain ketika itu. Kalau dah beli dan hantar kepada tukang jahit, mesti saya tak keruan tengok baju rayanya.

"Memandangkan kami sekeluarga masih diselubungi kesedihan dengan pemergiannya, tema tahun ini warna hitam," ujar Norisham.

Tambah wanita ini lagi, rutin Aidilfitri kali ini dirasakan begitu sayu apabila mereka mengunjungi pusara Bella.

bella 3

Gambar kenangan sambutan Aidilfitri sebelum ini di mana keluarga Norisham dan Allahyarham Bella (barisan belakang, kanan) akan mengenakan pakaian tema warna sedondon.

"Sebelum berangkat ke Kuala Selangor, kami dah ziarah dahulu pusaranya di Batu Pahat. Selepas pulang nanti sekali lagi kami akan ziarah.

"Anak-anak arwah pun semakin faham dan menerima ketiadaan mummy mereka. Anaknya yang sulung tak tanya tapi dia cakap 'mummy tak ada kan ummi?'

"Dekat kampung pun ramai budak-budak jadi dia leka bermain. Sesekali bila dia sebut mummy dia, saya tahu dia rindu dan terus minta dia sedekahkan Al-Fatihah," katanya lagi.

Sejujurnya sehingga kini kami rasa macam sukar nak percaya Bella dah tiada sebab tak nampak mayatnya.

NORISHAM SAMSUSAH

KAKAK ALLAHYARHAM BELLA

Berkongsi serba sedikit mengenai perkembangan kes arwah Bella, Norisham berkata mereka sekeluarga tidak akan berputus asa menuntut keadilan atas kematian ibu tunggal dua anak itu.

"Sejujurnya sehingga kini kami rasa macam sukar nak percaya Bella dah tiada sebab tak nampak mayatnya. Semuanya hanya ditentukan dengan ujian DNA.

"Namun kami reda atas apa yang berlaku dan berdoa agar kematiannya mendapat pembelaan. Ketika ini kami memerlukan kos yang agak tinggi untuk melantik beberapa pihak bagi melancarkan perjalanan kes ini.

"Kami bukanlah daripada keluarga yang senang. Justeru atas nasihat peguam, kami menggerakkan tabung sumbangan bagi memohon jasa baik rakyat Malaysia dalam menuntut keadilan buat Bella," akhiri Norisham sambil menambah, dia boleh dihuhubungi berkaitan sumbangan di talian 012-7516760.

bella 4

Norisham (kiri) dan keluarganya tidak berputus asa menuntut keadilan untuk Allahyarham Bella.

Untuk rekod, pada 14 Disember tahun lalu, Bella yang merupakan ibu tunggal kepada dua anak, dilaporkan hilang selepas tidak dapat dihubungi.

Mayat Bella kemudian ditemukan dalam keadaan rangka tidak sempurna pada 19 Januari lalu di sebuah rumah sewa terbiar di Batu 7, Tongkang Pechah di Batu Pahat.

Susulan itu, teman lelakinya, Mohammad Haikal Mahfuz ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada 24 Januari atas pertuduhan bunuh.

Mahkamah Majistret Batu Pahat pada 11 Mac lalu menetapkan 22 April ini bagi mendengar permohonan izin memindahkan kes Mohammad Haikal yang didakwa membunuh Bella, ke Mahkamah Tinggi Muar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain