suria

Masak 28 jenis lauk, lelaki reda hujung Ramadan bos bagi gaji ciput! Tanpa disangka dibayar mahal kerja part time jadi imam

Janganlah kita lalai dengan dunia sehingga lupa kepada Allah yang memberi rezeki. -Gambar hiasan

SETIAP insan di dunia ini berbeza ujiannya, dengan ada yang diuji dengan masalah kewangan, kehilangan orang tersayang dan bermacam dugaan lain.

Namun setiap ujian sudah tentu ada hikmahnya dan kemanisannya atau ganjarannya hanya akan dinikmati jika ujian dihadapi dengan penuh kesabaran.

Seorang lelaki telah membuat perkongsian di Facebook miliknya. menceritakan tentang fasa dalam kehidupannya yang penuh onak dan duri.

Katanya, sebagai seorang ketua keluarga dia diuji ketika bulan Ramadan dan terpaksa tabah demi melihat keluarganya gembira di pagi Syawal.

"Teringat tahun-tahun sebelum ini, di bulan Ramadan saya bersungguh-sungguh mencari rezeki buat anak isteri saya. Niat saya hanya nak hiburkan hati mereka pada 1 Syawal sahaja.

Setiap individu perlu bersabar berdepan ujian Allah - Gambar hiasan

"Ini kisah tentang saya yang bekerja di sebuah kafe di Langkawi ketika itu. Mula sahaja pukul 6 pagi, lepas subuh terus saya akan cuci bekas kotor dari jualan malam tadi, kemudian terus sediakan bahan mentah untuk jualan di bazar nanti. Penatnya tak pernah habis," ujar individu itu.

Dia berkata tidak mudah mencari rezeki di bulan Ramadan kerana ujian yang datang adakalanya tidak pernah terlintas dalam fikiran.

Menurut lelaki tersebut, dia ditugaskan untuk memasak 28 jenis lauk setiap hari untuk dijual di bazar namun hatinya cekal melakukan tugasan itu demi mencari rezeki.

"Setiap hari saya ditugaskan untuk masak 28 jenis lauk semuanya, tambah lagi kepanasan berada di dapur, dengan makcik yang selamba dia je minum depan kita yang puasa, memang menguji betul.

"Siap semua dah jam 2 petang, terus naik tukar baju dan solat. Tepat jam 3 petang angkat semua barang untuk berniaga di bazar, berniagalah aku di bawah terik mentari hingga habis waktu berbuka, kemas-kemas semua, dah jam 8 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah luah emosi masa tazkirah, satu surau senyap ustaz mengalir air mata.... Rupanya ‘senasib’ nak 10 akhir Ramadan baru dapat job

ARTIKEL BERKAITAN: Bersyukurlah ketika diuji dengan musibah kerana hidup menjadi nikmat jika Allah halalkan redaNya

"Tiba-tiba kawan aku datang dan tanya kalau aku boleh imamkan tak sekolah sukan mereka. Sebab mereka semua tak dibenarkan tarawih di luar, lepas sahaja tarawih terus kena kejar waktu latihan, katanya pertandingan dah nak dekat." ceritanya lagi.

Ternyata dia tidak dapat menolak permintaan rakannya itu walaupun badannya penat dan lesu.

Dia menganggap tawaran menjadi imam itu bakal menambah wang untuk digunakan pada hari raya.

Apabila bersetuju dengan tawaran rakannya, bermakna dia sudah terikat dengan dua tugas harian iaitu menyediakan lauk pada waktu siang dan menjadi imam di sekolah sukan pada sebelah malam.

"Sewaktu malam terakhir saya menjadi imam tarawih, sesudah sahaja tazkirah malam itu, kami semua bersalaman, kemudian ketua programnya datang berjumpa saya," katanya.

Ketua program memaklumkan mengenai keadaan mereka yang tidak mempunyai bajet mencukupi justeru tidak dapat membayar khidmat yang diberikannya selama ini.

Sentiasalah ingat Allah ketika susah mahupun senang. -Gambar hiasan

Dia hanya mampu terdiam dan tersenyum selepas diberitahu tentang perkara itu.

Kemudian dia, isteri dan anak terus bersiap untuk pulang ke kampung pada malam raya.

"Kami siapkan semua barang, kemudian saya berjumpa dengan pengurus saya. Dia kemudian menghulurkan sampul duit yang mempunyai gaji sepanjang saya berniaga di situ sambil ucapkan terima kasih.

"Ketika saya pegang sampul itu, saya dah rasa tak sedap hati. Alangkah terkejut saya apabila membuka sampul itu dan melihat hanya RM150 sahaja yang diberi," ujarnya.

Menurut pengurusnya, dia menerima bayaran RM150 kerana semua keperluan seperti baju raya, kuih raya termasuk sewa rumah ditanggung oleh majikan.

Pengurusnya turut memberitahu tentang pulangan yang diperolehi untuk tahun itu tidak seberapa dan dia diminta bersyukur kerana ada pekerja lain yang tidak mendapat sebarang bayaran.

"Awak syukurlah dapat, orang lain tak dapat bayaran pun. Sale tahun ini kurang sangat, cukuplah tu. Kalau tak puas hati, nanti balik raya kita sembang lain," kata pengurusnya.

Aku mahu menjadi orang yang reda.

HAMBA ALLAH

Lelaki itu hanya mampu memegang sampul yang diberi dengan tangan yang menggeletar. Ingin sahaja dia melepaskan tumbukan tepat pada muka pengurusnya, namun dihalang oleh isteri.

Sedih diuji sedemikian rupa, dia merasakan dirinya tidak berguna sepanjang bulan Ramadan.

"Tuhan, sungguh aku sudah berusaha. Moga berkat Ramadan ini, aku mahu terus menjadi orang yang baik. Aku tak mahu marah-marah. Aku mahu menjadi orang yang reda. Orang yang sabar. Jagalah imanku wahai Allah," pintanya sambil menangis sehingga tertidur.

Lelaki itu kemudian dikejut oleh isterinya yang memberitahu bahawa dia telefonnya tidak henti-henti berdering.

Rupanya panggilan tersebut daripada sekolah sukan yang diimamkan solat tarawih dan dia melihat notifikasi mesej yang masuk.

"Ustaz, maaf ganggu. Saat akhir ada penaja yang beri sumbangan untuk kami. Banyak ustaz. Saya terus teringat ustaz. Jadi, saya terus masukkan duit tadi. RM2,000 untuk jasa ustaz isi program dan imam di sini," demikian mesej yang diterimanya.

Dia terkesima apabila menyedari berkat kesabarannya telah dibalas oleh Allah yang mana kerja sampingan yang pada mulanya ingin ditolak itu, telah memberi hasil lebih daripada apa yang disangka.

Melalui perkongsiannya, dia berharap umat Islam sedar tentang Ramadan yang mengajar kita erti bersyukur, sabar dan juga reda.

Dia turut berasa malu dengan diri sendiri kerana sibuk bekerja sehingga lupa bahawa Allah yang memberi rezeki buat hambanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain