suria

Bapa tak ajar Fattah Anas dan adik-adik bermewah sambut Aidilfitri, selalu ingatkan nasib rakyat di Gaza

Firdaus sering mengingatkan anak-anak mengenai erti bersyukur ketika menyambut Aidilfitri.

BERTAHUN menyepi, si cilik Muhammad Fattah Anaz Mohamad Firdaus atau lebih dikenali sebagai Fattah Anas kembali aktif di media sosial mengubati kerinduan ramai terhadap dirinya.

Kemunculan semula personaliti media sosial ini menerusi video-video aktiviti bersama bapa dan adik-adiknya terus menghiburkan dan mencuit hati netizen.

Seperti kanak-kanak lain, Fattah Anas yang merupakan murid Tahun Dua ini turut teruja menyambut Aidilfitri.

Fattah Anas (kanan) bersama adik perempuannya.

Berkongsi cerita, bapa Fattah Anas iaitu Mohamad Firdaus Mohamed berkata, mereka sekeluarga pulang beraya ke kampung isteri di Felda Chini di Pekan dan di kampungnya di Felda Bukit Goh di Kuantan, Pahang.

“Fattah Anas ikut papanya, adik-adik dia pun ikut papa, mak dia lagilah. Jadi apa pun aktiviti papanya, itulah aktiviti kami bersama.

“Sudah tentu saya akan bawa keluarga pergi beraya. Jumpa mana yang sempat... adik-beradik, saudara-mara, jiran-jiran, kawan-kawan.

“Aktiviti tu lebih kepada luangkan masa bersama dengan yang tersayang. Kadang ada yang jauh balik, jadi masa tu la nak lepak borak makan minum sama-sama,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Bertahun sepi, Fattah Anas buat ‘comeback’ ubati kerinduan ramai... Bapa dedah tempuh ‘bermacam perjalanan’

ARTIKEL BERKAITAN: Patutlah lama sepi, bapa Fattah Anas jual akaun IG ada 1.2 juta followers dan barang dalam rumah demi bayar hutang

Menurut Firdaus, Fattah Anas yang merupakan anak sulung daripada empat beradik turut membantu membuat persiapan menyambut raya.

“Mana yang boleh kita minta tolong atau suruh. Alhamdulillah Fattah Anas rajin tolong. Dia seronok tolong orang.

“Fattah Anas ni kanak-kanak aktif dan rajin. Dia paling rajin jaga adik-adiknya,” ujarnya yang menetap di Kuantan.

Firdaus sekeluarga beraya di Felda Chini di Pekan, dan Felda Bukit Goh di Kuantan, Pahang.

Semakin mendapat perhatian setelah kembali aktif di media sosial, keluarga ini turut dihargai para pengikut sempena sambutan Aidilfitri, termasuk menerima sumbangan dan hadiah raya.

“MashaAllah, lepaslah belikan untuk Anas dan adik-adiknya baju raya. Alhamdulillah, hebat rezeki Allah bagi.

Moga kita buat persediaan diri semampunya untuk hadap hari-hari dan ujian mendatang.

MOHAMAD FIRDAUS MOHAMED

“Ada yang beritahu nak datang beraya kat rumah. Tapi ya Allah, kami tak standby apa pun. Kami pun menumpang beraya kat rumah orang, balik kampung.

“Perasaan kami tak keruan. Bukan sombong, tapi malu kat orang ramai yang nak datang rumah. Banyak kekurangan, kami pergi rumah korang jelah,” ujarnya secara berseloroh.

Fattah Anas (belakang, tengah) seronok beraya bersama keluarga dan saudara-mara.

Dalam keterujaan menyambut Syawal, Firdaus sering mengingatkan anak-anak mengenai erti bersyukur kerana terdapat umat Islam lain yang kurang bernasib baik seperti warga Palestin.

“Kita hari-hari dihidangkan dengan penderitaan orang Islam. Saya sering ingatkan pada isteri dan anak-anak. Contoh bila ada Allah, bagi makan lebih sikit, sedap sikit.

“Saya akan selit ingatkan keadaan saudara kita di Gaza. Aidilfitri kali ini, Fattah Anas akan simpan sebahagian duit rayanya untuk disumbangkan ke sana,” katanya sambil menambah lemang merupakan menu raya kesukaan Fattah Anas.

Fattah Anas merupakan abang yang penyayang.

Dalam pada itu, Firdaus sekeluarga turut menitipkan pesanan kepada semua umat Islam terutama pengikutnya sempena musim perayaan ini, sambil meluahkan kesyukuran meraikan Aidilfitri.

“Syukur Alhamdulillah, moga kita semua sambut petunjuk-petunjuk daripada Allah dan sama-sama buat persediaan diri semampunya untuk hadap hari-hari dan ujian mendatang.

“Jangan berlebihan, sama-sama jimat-cermat. Barang makin mahal, jangan habis raya kita ternganga minta ‘oksigen’, Allahu. Sama-sama bersederhana, ingat saudara kita di sana.

“Sama-sama doa, sama-sama kita kembali pada Allah. Selamat hari raya,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain